Assalamu’alaikum dan salam sejahtera. Terima kasih Tuhan yang Maha Baik. Mohon keampunan dan rahmat Mu Ya Allah. Mohon maaf, mohon izin daripada Rasulullah saw, Saiyidi Imamul Mahdi dan Putera Bani Tamim.
Moga tulisan ini mendapat perkenan dari Abuya, Saiyidi dan Rasulullah saw.
Umat Islam kini sedang bercerai berai. Perpecahan bukan sahaja berlaku di peringkat antarabangsa atau di sesebuah negara, malah di peringkat keluarga juga. Sedangkan keluarga merupakan komponen terkecil dalam struktur sesebuah masyarakat.
Abuya telah berjaya membina sebuah jemaah yang menjadikan Iman, Ukhwah (kasih sayang), kesefahaman dan keselarasan sebagai asas kekuatannya. Melalui jemaah Abuya terbinalah sebuah model masyarakat Islam dengan menjadikan Islam sebagai satu cara hidup yang praktikal dan berkasih sayang.
Abuya merupakan guru, pendidik, contoh ikutan, pemimpin dan pengasas kepada seluruh sistem hidup Islam dalam jemaah Abuya. Melalui mindanya, Islam berjaya dizahirkan dalam semua aspek kehidupan. Maka hakikatnya semua murid-murid lebih-lebih lagi pengikut Abuya adalah orang yang mengikut jalan Abuya atau bermazhabkan Abuya.
Dakwaan ini tentulah tidak popular bahkan boleh mengundang polemik. Umumnya umat Islam di Malaysia bermazhab Syafie dalam fekah, pengikut Imam Abu Hassan Al Asya’ari dalam usuluddin dan tasawuf mengikut Imam Al Ghazali.
Persoalannya jika diperhatikan, ternyata umat Islam berpecah belah dan bercerai-berai sekalipun mengaku menjadi pengikut kepada sesebuah mazhab yang sama. Jika sumber rujukannya sama, maka sudah tentu praktikalnya juga sama. Tetapi kenyataan yang kita lihat, umat Islam berpecah belah walaupun dalam satu keluarga dan bermazhab yang sama. Di mana yang tak kenanya?
Sepertilah halnya dengan Al Quran dan Hadis. Wahabi menolak konsep bermazhab kerana mendakwa mazhab menjadi punca perpecahan di kalangan umat Islam. Maka Wahabi pun menyeru agar umat Islam kembali kepada Al Quran dan Hadis sahaja tanpa bergantung kepada mana-mana mazhab. Hujah mereka ialah berdasarkan sabda Rasulullah saw;
“Sesungguhnya aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara, tidak akan kamu sesat selama kamu berpegang dengan keduanya: Kitabullah dan Sunnah Rasulnya” [Riwayat Imam Malik]
Apakah Wahabi berjaya bersatu dan selaras dalam berfikir, bertindak dan berperasaan sekalipun sekadar dalam lingkungan mereka? Tidak! Malah di kalangan pengikut Wahabi sendiri, mereka berpecah kepada ribuan cabang dan aliran. Kononnya mereka menolak mazhab, hakikatnya mereka pencetus kepada kepelbagaian mazhab. Menolak berpegang kepada satu-satu mazhab tertentu yang kemudiannya melahirkan ribuan mazhab pula. Kenyataannya apa yang terjadi ialah perpecahan yang lebih kronik dan lebih parah lagi.
Sebenarnya rata-rata umat Islam sudah tidak bermazhab kepada mazhab muktabar. Umat Islam telah terputus sanad dengan mazhab Syafie, Hambali, Hanafi atau Maliki. Mazhab-mazhab tersebut diasaskan sekitar kurun ke-2 Hijriah. Sekarang ini umat Islam sedang berada di kurun ke-15 Hijriah.
Sudah terlalu jauh kita dengan zaman ulama yang mengasaskan mazhab muktabar iaitu seperti Imam Syafie, Imam Hambali, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Tidak dapat dinafikan bahawa kita telah terpisah jauh dari mazhab-mazhab muktabar sekalipun kita memang dan masih mengaku sebagai pengikut mazhab tertentu.
Kesimpulannya umat Islam pada masa ini sebenarnya sedang bermazhab kepada tuan-tuan guru mereka, yang mana tuan-tuan guru mereka itu mengambil daripada guru-guru mereka pula. Generasi demi generasi yang sambung-menyambung itulah yang mendakwa mereka bermazhab kepada mazhab tertentu. Terjaminkah ketulenannya? Tentu sekali tidak!
Maka yakinlah bahawa umat Islam pada hari ini sudah kehilangan mazhab. Ertinya umat Islam sudah tidak bermazhab melainkan mereka bermazhab kepada guru-guru yang diambil ilmunya dan juga dijadikan rujukan setiap kali timbulnya masalah.
Bagi pengikut Abuya yang taat dan setia sudah tentulah mengambil ilmu dan merujuk seluruh persoalan hidup kepada Abuya. Bila terjadi demikian, maka secara tepatnya mereka menjadikan Abuya sebagai sandaran dalam hal ilmu dan amalan. Teori dan praktikal Abuya itu sendiri. Samada ilmu atau mindanya, kehidupan sehariannya maupun kepimpinan dan perjuangannya. Semuanya dirujuk kepada Abuya Ashaari Muhammad Attamimi.
Jika demikian, maka tentulah Abuya jauh lebih berwibawa di zaman ini berbanding ulama-ulama atau tuan-tuan guru yang hakikat sebenarnya mereka juga adalah merupakan rujukan ‘mazhab’ masing-masing.
Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad Attamimi adalah seorang mursyid, Sohibuzzaman, Putra Bani Tamim dan mujaddid di kurun ini. Berdasarkan ilmu, ketaqwaannya, perjuangan, kepimpinan dan pengaruh Abuya pada masa ini, tidak syak lagi Abuya merupakan seorang yang layak diikuti dan sangat layak dijadikan rujukan oleh umat Islam di zaman ini.

0 comments:
Catat Ulasan