Khamis, 20 Oktober 2011

Laknatullah, Berbohong Atas Nama Rasulullah

Assalamu’alaikum dan salam sejahtera. Terima kasih Tuhan yang Maha Baik.Mohon keampunan dan rahmat Mu Ya Allah. Mohon maaf, mohon izin daripada Rasulullah saw, Saiyidi Imamul Mahdi dan Putera Bani Tamim.

Moga tulisan ini mendapat perkenan dari Abuya, Saiyidi dan Rasulullah saw.

Kali ini kita cuba menganalisa perbuatan, ungkapan, ucapan atau tulisan yang melabelkan seseorang dengan label ‘laknatullah”.

Allah telah melaknat iblis, lalu malaikat juga turut melaknat iblis. Ertinya perbuatan melaknat atau mengutuk iblis termasuk perkara makruf. Iblis laknatullah. Laknat Allah ke atas kamu wahai iblis. Bermakna melaknat iblis ialah satu perbuatan melaknat apa yang telah dilaknat oleh Allah.

Ungkapan “laknatullah” adalah untuk ditujukan kepada sesuatu yang telah Allah laknat. Ertinya kita dituntut untuk  turut sangat bersetuju bahkan sangat melaknat apa-apa yang telah Allah laknat.

Sejak akhir-akhir ini, khususnya dalam tulisan-tulisan di laman sosial kita dapati ada orang yang terlalu mudah menggunakan perkataan “laknatullah”. Mereka menghamburkan tuduhan, kecaman, penghinaan, caci maki dan berbagai bentuk perasaan dengan sewenang-wenangnya menggunakan perkataan “laknatullah”.

Apakah laknat tersebut merupakan laknat Allah? Yakni kita turut melaknat setelah mana Allah terlebih dahulu melaknat apa yang kita laknat?

Atau kita mahu memaksa Allah melaknat apa yang ingin kita laknat? Yakni seolah-olah kita berkata, “Wahai Allah, Engkau laknatlah orang yang aku laknat ini!”

Apa yang jelas, perkataan laknatullah sering Allah gunakan kepada iblis dan orang kafir musyrikin yang terang-terangan menentang Allah dan Rasul. Sedangkan kepada golongan munafik pun jarang dilabelkan sebagai laknatullah. Bermaksud, Allah sendiri melaknat sesuatu yang telah sangat jelas, bukan yang masih samar walaupun pada hakikatnya di sisi Allah tiada yang samar bahkan segala-galanya sangat jelas lagi nyata.

Berbohong atas nama Rasulullah

Antara tuduhan yang sangat berat dituduhkan kepada Abuya ialah kononnya Abuya berbohong atas nama baginda Rasulullah saw.

Sipenuduh membawa hadis yang bermaksud;

“Barangsiapa berdusta atasku dengan sengaja, maka hendaklah ia menempatkan tempat duduknya di dalam neraka”-riwayat Jama’ah dari Abu Hurairah. [Mutawatir, Bukhari]

Mereka mengatakan bahawa terdapat beberapa ucapan atau kenyataan Abuya yang pernah disandarkan kepada Rasulullah saw. Seperti contoh,” Rasulullah berkata bahawa daulah akan berlaku dalam tempuh 3 bulan lagi”.[atau dalam lafaz yang berlainan tetapi maksud yang sama]. Ternyata perkara tersebut tidak berlaku setelah tempuh tersebut berlalu. Sedangkan pernyataan itu telah disandarkan kepada baginda Rasulullah saw.

Berdasarkan kepada contoh kenyataan tersebut, maka sipenuduh melaknat Abuya dengan perkataan “laknatullah”. Hujah mereka ialah, kerana kononnya Abuya berbohong atas nama Rasulullah saw. Berpandukan maksud hadis di atas, mereka tidak teragak-agak melaknat Abuya.

Mari kita perhalusi. Bolehkah sekadar bersandar kepada sebuah matan hadis, lalu kita telah dengan beraninya menghukumkan kenyataan Abuya seperti yang dicontohkan itu sebagai sebab terjadinya murtad?

Dalam hal ini sekurang-kurangnya kita kena faham 3 perkara. Pertama hadis. Yang kedua kenyataan tertuduh. Ketiga tuduhan atau tanggapan oleh orang yang menuduh.

Hadis tersebut adalah hadis sahih. Wajib semua pihak terima. Tetapi yang kena difahami ialah hadis tersebut bersifat umum. Contohnya, tidak dinyatakan secara terperinci dan tepat bentuk-bentuk pendustaan yang dimaksud atasku, atau nama pendustanya secara jelas.

Maka bila bersifat umum, perlukan tafsiran. Tafsiran atau huraiannya mestilah oleh pakar yang berwibawa menurut syarak. Dan sekiranya ingin menentukan sesuatu hukum kepada sesuatu perkara atau seseorang individu, huraian atau tafsirannya kenalahbersifat ijmak. Bukan huraian atau tafsiran yang dibuat secara individu.

Perkara kedua. Kenyataan tertuduh, iaitu ucapan Abuya. Kenyataan tersebut perlu diteliti sedalam-dalam dan sehalus-halusnya. Abuya pula perlu diberikan peluang yang secukupnya untuk menjelaskan maksud dan hujah-hujah berkaitan dengan kenyataannya. Proses ini mesti dibuat dalam keadaan yang sangat harmoni dan berkasih sayang. Tiada unsur tekanan dan paksaan. Semua ini tidak pernah diberikan kepada Abuya sebagai tertuduh.

Ketiga, tuduhan. Dalam kes tuduhan terhadapan Abuya ini, pihak yang menuduh membuat tuduhan berdasarkan kefahaman, huraian atau tafsiran yang dibuat secara individu dan lebih teruk lagi pandai-pandai sendiri saja. Tidak pernah ada pihak yang benar-benar adil dan saksama membincangkan secara terperinci menepati disiplin ilmu yang telah ditetapkan oleh ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah untuk menentukan samada kenyataan Abuya tersebut menyalahi syarak atau tidak.

Dalam erti kata yang lain, tuduhan terhadap Abuya kononnya berdusta atas nama Rasulullah saw selama ini, dibuat secara semborono, hasad dengki dan sangat jauh daripada disiplin Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kesimpulannya, tuduhan yang dilemparkan secara amat celupar itu sebenarnya tidak pernah pun melalui proses yang ditetapkan oleh syarak.

Tuduhan yang mengatakan Abuya berbohong atas nama Rasulullah saw hanyalah berdasarkan tafsiran pihak yang menuduh terhadap maksud sebuah hadis sahih. Sementara tuduhan itu pula mengaitkan kenyataan Abuya yang tidak diperhalusi secara mendalam oleh mereka yang berwibawa dalam hal berkaitan.

Cuba perhatikan hadis ini. “Jangan bersembahyang seorang kamu melainkan di Bani Quraizah” [ Riwayat Bukhari]

Nampaknya hadis ini lebih jelas dan terperinci. Namun para sahabat yang mendengar langsung daripada Rasulullah saw pun terbahagi kepada 2 kelompok dalam memahami dan mempraktikkannya.

Kelompok pertama memahamkan hadis tersebut menurut hakikat larangannya, lalu menta’khirkan solat Asar hingga sampai selepas Maghrib.

Manakala kelompok kedua berfahaman bahawa Nabi bermaksud agar bercepat-cepat pergi ke Bani Quraizah, lalu mereka mengerjakan solat Asar pada waktunya sebelum tiba ke Bani Quraizah.

Kedua-dua pendapat tersebut Rasulullah saw akui dan membenarkannya.

Jika dalam hadis yang sangat jelas dan terperinci pun ada khilaf dalam kefahaman dan praktiknya, inikan lagi hadis yang bersifat umum. Maka sebab itu ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah sangat berhati-hati dalam konteks menghukum atau memutuskan sesuatu perkara, keadaan atau seseorang.

Sebab sebarang tuduhan yang tidak menepati syarak, maka tuduhan itu akan berpatah semula kepada sipenuduh.

Kalau tuduhan pun belum sah dari segi syarak, lebih-lebih lagi dengan gelaran “laknatullah”. Menuduh seseoraang bersalah pun bukan suatu perkara mudah, apatah lagi hendak menghukum seseorang sebagai yang dilaknat Allah! Lagi-lagilah tidak layak dibuat sewenang-wenangnya.

Perangai melaknat seperti ini biasa dibuat oleh mereka yang memang jelas jahil dan yang hatinya tidak ada rasa takutkan Allah walaupun sekelumit!

Rasulullah saw sangat berhati-hati, cermat dan teliti dalam menentukan sesuatu hukuman walaupun telah ada pengakuan sukarela daripada pesalahlaku itu sendiri. Sebagai contoh, semasa berhadapan dengan pengakuan zina oleh Ma’az bin Malek, pada mulanya Rasulullah saw tidak memperdulikan dan baginda memalingkan mukanya. Akhirnya setelah tiga kali Ma’az mengaku, barulah Rasulullah saw bersabda;

“Apakah engkau gila? Katanya: Tidak! Sabda baginda lagi: Barangkali engkau mencium atau engkau memberikan isyarat atau pun engkau melihatnya sahaja? Katanya: Tidak, ya Rasulullah!”

Ma’az kemudian menerangkan kesalahannya secara terperinci. Setelah sangat berpuashati dengan pengakuan dan keterangan Ma’az, barulah Rasulullah memerintahkan supaya dijalankan hukuman ke atasnya. 

Lihatlah betapa cermat, teliti dan berhati-hatinya Rasulullah saw dalam memutuskan hukuman ke atas kesalahan zina sekalipun atas pengakuan sendiri. Sedangkan kesalahan zina tidaklah seberat kesalahan sesat, syirik dan murtad. Wallahu'alam.

0 comments: