Assalamu’alaikum dan salam sejahtera. Terima kasih Tuhan yang Maha Baik. Mohon keampunan dan rahmat Mu Ya Allah. Mohon maaf, mohon izin daripada Rasulullah saw, Saiyidi Imamul Mahdi dan Putera Bani Tamim.
Moga tulisan ini mendapat perkenan dari Abuya, Saiyidi dan Rasulullah saw.
Allah jadikan makhluknya berpasang-pasangan. Lelaki berpasangan dengan wanita. Maka setiap pemimpin kebenaran yang Allah datangkan sepanjang zaman, bersamanya ada wanita yang mewarnai kepimpinan serta keajaiban kepada pemimpin utama itu.
Dalam sejarah kebenaran, beberapa wanita Allah angkat martabat mereka sehingga seolah-olah mereka menjadi ‘pemimpin’ kepada kaumnya. Tetapi sebenarnya mereka itu bukanlah pemimpin! Mereka merupakan Ibu Umat di zamannya.
Namun sesekali tidak dapat disangkal, sebahagian daripada perilaku mereka menjadi contoh ikutan bahkan ada yang telah pun Allah syariatkan untuk menjadi ikutan dan amalan oleh umat yang datang kemudian.
Kepada wanita-wanita ini, Allah lalukan ujian dan cobaan yang sungguh hebat. Ini untuk membuktikan ketabahan dan kesabaran mereka sehingga selayaknya mereka diangkat ke beberapa darjat berbanding kaum wanita sezaman dengannya.
Siti Aisyah r.a.
Kisah Siti Aisyah r.a yang difitnah bersama seorang sahabat Safwan r.a. kerana tertinggal dalam barisan tentera kaum muslimin tercatat dalam Al Quran. Kisah yang sungguh memilukan, terharu, cemas dan penuh dramatik bukanlah babak yang asing dalam sejarah Islam.
Selama beberapa waktu, Aisyah berhempas pulas menanggung kepedihan fitnah yang menyelubungi dirinya. Hampir tiada ruang lagi untuk membuktikan, dia di pihak yang benar. Di saat dia sudah tidak berdaya lagi, akhirnya wahyu Allah pun turun. Terbukti dia mendapat pembelaan langsung dari Tuhan Yang Maha Pembela dan Maha Penyantun.
“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahwa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar” [An Nuur: 11]
“(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi Allah adalah besar.” [A Nuur: 15]
Siti Maryam
“Dan ceritakanlah (kisah) Maryam di dalam Al Quran, yaitu ketika ia menjauhkan diri dari keluarganya ke suatu tempat di sebelah timur” [Maryam; 16]
“Maka Maryam mengandungnya, lalu ia menyisihkan diri dengan kandungannya itu ke tempat yang jauh.” [Maryam; 22]
“Maka Maryam membawa anak itu kepada kaumnya dengan menggendongnya. Kaumnya berkata: "Hai Maryam, sesungguhnya kamu telah melakukan sesuatu yang amat mungkar.” [Maryam; 27]
Kisah Ibu Nabi Isa as ini sangat terkenal. Sejarah telah menceritakan bahawa Siti Maryam telah ditohmah oleh kaumnya sendiri. Lantas beliau lari membawa diri menurut ilham dari Tuhannya.
Lalu, Allah menerangkan siapakah Maryam di sisi Allah.
“Dan (ingatlah) ketika Malaikat (Jibril) berkata: "Hai Maryam, sesungguhnya Allah telah memilih kamu, mensucikan kamu dan melebihkan kamu atas segala wanita di dunia (yang semasa dengan kamu).” [Ali ‘Imran; 42]
Ibu Nabi Musa
“Dan kami ilhamkan kepada ibu Musa; "Susuilah dia, dan apabila kamu khawatir terhadapnya maka jatuhkanlah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah kamu khawatir dan janganlah (pula) bersedih hati, karena sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan men jadikannya (salah seorang) dari para rasul.” [Al Qashash: 7]
“Dan menjadi kosonglah hati ibu Musa[1114]. Sesungguhnya hampir saja ia menyatakan rahasia tentang Musa, seandainya tidak Kami teguhkan hati- nya, supaya ia termasuk orang-orang yang percaya (kepada janji Allah).” [ Al Qashash: 10]
Siti Hajar
“Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan shalat, maka jadikanlah hati sebagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezkilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.” [Ibrahim: 37]
“Sesungguhnya Shafaa dan Marwa adalah sebahagian dari syi'ar Allah[102]. Maka barangsiapa yang beribadah haji ke Baitullah atau ber-'umrah, maka tidak ada dosa baginya[103] mengerjakan sa'i antara keduanya. Dan barangsiapa yang mengerjakan suatu kebajikan dengan kerelaan hati, maka sesungguhnya Allah Maha Mensyukuri[104] kebaikan lagi Maha Mengetahui.” [Al Baqarah: 158]
Wanita-wanita tersebut bukanlah seorang pemimpin di kalangan umat mereka. Lebih-lebih lagi, mereka itu bukannya salah seorang Nabi atau Rasul. Tetapi ternyata mereka mendapat pimpinan langsung dari Tuhan. Mereka diberikan ilham oleh Allah dan dipandu untuk bertindak dan berbuat. Juga mereka mendapat pembelaan langsung dari Tuhan dalam setiap ujian yang menimpanya.
Bonda Ummu Jah atau nama daftarnya Katijah binti Aam adalah isteri kedua Abuya Ashaari Muhammad Attamimi. Umum tahu bahawa Bonda Ummu Jah kini sedang mengendalikan jemaah Abuya khususnya di Haromain dan amnya di seluruh dunia. Mentadbir dan membimbing anak-anak Abuya sepeninggalan beliau bukanlah suatu tugas yang mudah. Jemaah Abuya adalah sebuah Keluarga Besar. Abuya dan isteri-isterinya adalah ‘ayah dan ibu’ kepada seluruh jemaah.
Mereka yang sering menempelak dan menghina-hina Bonda Ummu Jah ternyata tidak setanding dalam hal mendidik, membimbing dan menyusun keluarga sendiri walaupun terdiri daripada seorang isteri dan tiga orang anak terutamanya dalam soal memperjuangkan sistem Tuhan di semua aspek kehidupan!
Sebaik sahaja Abuya dimakamkan, belum pun sempat 24 jam berlalu, Bonda Ummu Jah telah pun dengan beraninya tampil mengisytiharkan bahawa Abuya sebenarnya adalah ghaib, bukannya meninggal dunia!
Sepintas lalu pengumuman tersebut dianggap mudah dan ringkas manakala terdapat segelintir yang menganggap melulu bahkan keterlaluan. Tetapi jika dinilai dengan akal yang waras, matang dan tanpa kepentingan, dakwaan seumpama itu bukannya suatu perkara kecil. Bersama dakwaan tersebut, penuh dan sarat dengan tanggungjawab dan risiko!
Lebih 30 tahun Bonda Ummu Jah dididik dan dipimpin langsung oleh Abuya sebagai isteri dan serikandi. Bergelanggang sepenuh masa dalam perjuangan yang memperjuangkan Tuhan serta mendaulatkan Islam. Perjuangan yang telah memamah seluruh kehidupannya. Novel yang ditulis bersama Abuya “Selamat Tinggal Duniaku’ adalah isyarat awal yang menggambarkan sebuah kehidupan yang sedang dan bakal dilalui oleh Bonda Ummu Jah.
Bonda Ummu Jah telah dipercayakan oleh Abuya untuk menulis segala minda-minda Abuya lalu dibukukan. Namanya digandingkan bersama hampir dalam setiap buah buku Abuya. Lebih seratus judul buku Abuya adalah tulisan atau dalam bahasa halusnya susunan Bonda Ummu Jah. Buku “Abuya Pemimpin Paling Ajaib Di Zamannya” adalah susunan Bonda Ummu Jah yang telah menggegarkan kepimpinan dunia. Impak yang sangat besar kepada kepimpinan dunia di luar jemaah Abuya, tidak kurang juga menggongcang kepimpinan dalam jemaah!
Abuya juga sangat ketara memberikan kepercayaan yang cukup tinggi kepada Bonda Ummu Jah untuk membangunkan projek-projek fizikal dalam jemaah. Beberapa bandar Islam model telah berjaya dibangunkan langsung oleh Bonda Ummu Jah sekalipun di sesetengah keadaan dilihat sangat mencabar kelompok kepimpinan lelaki. Tetapi situasi tersebut sebenarnya sangatlah dipantau dan dikawal oleh Abuya, tuan punya perjuangan dan jemaah.
Abuya menononjolkan watak Bonda Ummu Jah sebagai Ibu Perjuangan sejak sekian lama. Dimulai dengan membantu menghuraikan matan minda, menulis buku, mengikuti hampir setiap ekspedisi perjuangan terutamanya di luar negara sehinggalah menjadi penterjemah kepada bahasa pertuturan Abuya semasa Abuya mengalami sakit mulut. Di peringkat terakhir, Bonda Ummu Jah adalah jurucakap penuh Abuya di dalam setiap pertemuan kepimpinan utama jemaah di era Abuya berjuang dengan gaya baringnya. Peranan ini telah terbukti tidak mampu dilakukan oleh mana-mana pemimpin kanan sekalipun.
Proses yang Abuya lakukan terhadap Bonda Ummu Jah amat terancang, terususun dan bertahap-tahap. Sungguh rapi dan sesempurna mungkin. Itulah kerja seorang Sohibuzzaman yang di tangannya Allah janjikan terbangunnya tapak bagi kebangkitan Islam kali kedua.
Terkini Bonda Ummu Jah yang telah bermukim lebih setahun di Haromain sedang menyaksikan keajaiban demi keajaiban dari Allah, Tuhan yang mengilhamkannya untuk beliau sampai berada di sana sehingga ke tahap ini. Benarkah semua itu ilham dari Tuhan?
Jika bukanlah ilham, tetapi sekadar rekaan akal atau trial and error, perjuangan dan jemaah Abuya tidak mungkin sampai ke Haromain apatah lagi untuk menciptakan kejayaan pada tahap yang dicapai kini.
Maka tidak keterlaluan, bahkan sangat bertepatan lagi sangat munasabah jika Bonda Ummu Jah digelarkan sebagai Ibu Roh, Ibu Agama, Ibu Perjuangan dan Ibu Kebangkitan Islam di akhir zaman. Beliau juga merupakan Wasilah Kebenaran di akhir zaman yang menghubungkan perjuangan ini dengan tiga pemimpin roh yakni Rasulullah SAW, Imamul Mahdi Al Muntazar dan Putera Bani Tamim.
Ibu Roh kerana dia berperanan menghubungkan kembali roh umat ini terutamanya mereka yang sedang menagih janji untuk menjadi Ikhwan, dengan roh baginda Rasulullah SAW. Nur Muhammad kembali berperanan menghidup dan menguatkan jiwa atau roh pejuang kebenaran. Ini hanya dapat dilakukan oleh orang yang dilantik menjadi wasilah oleh ketiga-tiga pemimpin roh tersebut!
Bonda Ummu Jah sangat gigih dan bersungguh-sungguh dalam membangunkan sekecil-kecil perkara hingga kepada projek-projek mega untuk menjadikannya Islam model sebagai bukti jemaah ini menepati ciri jemaah kebenaran yang dijanjikan. Tugas dan usaha ini sudah cukup melayakkan beliau digelarkan sebagai Ibu Agama.
Perjuangan yang penuh liku, ranjau, halangan dan rintangan, luar dan dalam ditempuh oleh Bonda Ummu Jah dengan penuh strategi, bijaksana, tabah, sabar dan pasrah. Bukan sedikit ujian dan mehnah yang dilemparkan, namun masih berani mengiystiharkan perang terhadap Yahudi dalam segala aspek. Dialah Ibu Perjuangan yang belum ada tokoh wanita lain di zaman ini berjaya mencabarnya.
Perjuangan Abuya yang sangat diyakini adalah merupakan perjuangan yang dijanjikan sebagai tapak kepada kebangkitan akhir zaman diperjuangkan oleh Bonda Ummu Jah bermati-matian. Seolah-olahnya beliau mempunyai lebih dari satu nyawa, sangat berani mempertahankan Abuya, jemaah dan perjuangannya walau apa bentuk ancaman pun yang diterimanya. Tangkapan, ISA, dikata, dihina, dilabelkan dengan bermacam-macam label, disesatkan malah tidak kurang yang telah dengan berani dan bodohnya memurtadkan beliau. Namun semua itu dihadapinya dengan penuh keyakinan bahawa perjuangan ini ada masa depannya. Itulah yang selalu diungkapkan oleh Abuya, suami dan juga mursyidnya tercinta. Bukti Bonda Ummu Jah adalah Ibu Kebangkitan Islam di akhir zaman.
Maka, terbuktilah bahawa pengisytiharan oleh Bonda Ummu Jah bahawa Abuya adalah Lelaki Ghaib yang bakal muncul semula bagi menyempurnakan tugasnya sebagai Putera Bani Tamim bukanlah satu omongan kosong. Lebih-lebih lagi bukannya sebuah ungkapan yang sengaja untuk meleburkan seluruh prinsip dan keyakinan terhadap kebenaran yang sekian lama diperjuang dan dipertahankan. Hakikatnya ia adalah satu pengisytiharan dan tindakan yang benar-benar bersumberkan ilham dari Tuhan!

0 comments:
Catat Ulasan