Setiap kali harga barang naik, seolah-olah satu kesempatan yang cukup baik untuk rakyat menyalahkan pemerintah atau pemimpin. Pemimpin dan penyokong parti pembangkang sudah tentu lebih lagilah galaknya.
Sepintas lalu, pemimpin negara atau pihak pemerintah memang sangat logik untuk dipersalahkan. Merekalah yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga kebajikan serta kemakmuran rakyat dan negara. Rakyat dan negara semesti diberikan pembelaan yang sebaik-baiknya. Inilah tanggungjawab setiap pemimpin atau pemerintah negara.
Kenaikan harga terutamanya kepada barangan keperluan asas memang sangat memberi kesan kepada rakyat. Kehidupan rakyat yang berpendapatan rendah dan miskin akan semakin terhimpit dan tersepit. Keadaan akan menjadi lebih parah bilamana rakyat hidup nafsi-nafsi, iaitu sikap yang sangat mementingkan diri. Kasih sayang sudah tiada, cinta dunia menjadi budaya.
Benarkah kenaikan harga barangan keperluan adalah kesalahan pemimpin atau pemerintah semata-mata? Atau benarkah dengan menukar kepimpinan negara atau parti yang memerintah akan mengubah secara automatik masalah-masalah yang timbul?
Setiap masalah yang timbul dalam kehidupan adalah merupakan musibah, mehnah, ujian atau bala kepada manusia. Allah menurunkan ujian atau balanya sekurang-kurangnya atas tiga tujuan.
“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan dibiarkan, sedang Allah belum mengetahui (dalam kenyataan) orang-orang yang berjihad di antara kamu dan tidak mengambil menjadi teman yang setia selain Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”[At Taubah: 16]
Katakanlah: " Dialah yang berkuasa untuk mengirimkan azab kepadamu, dari atas kamu atau dari bawah kakimu[482] atau Dia mencampurkan kamu dalam golongan-golongan (yang saling bertentangan) dan merasakan kepada sebahagian kamu keganasan sebahagian yang lain. Perhatikanlah, betapa Kami mendatangkan tanda-tanda kebesaran Kami silih berganti[483] agar mereka memahami(nya)".[ Al An’aam:63]
Tujaun pertama ialah agar manusia sedar dan insaf akan kemurkaan Tuhan. Maka mereka yang sedar dan insaf ini akan kembali bertaubat lalu membaiki diri. Kepada mereka, Allah sediakan keampunan dan jalan keluar yang tidak di sangka-sangka. Antara contoh jalan keluar yang Allah sediakan, diberikNya tambahan rezeki atau mudah mendapatkan rezeki untuk menghadapi ujian tersebut.
Maksud yang kedua pula ialah untuk mereka yang bersih daripada dosa. Mereka ini tentu akan redha dan tenang menghadapi ujian yang Allah datangkan. Justeru itu mereka berpeluang mendapat kenaikan pangkat dan darjat di Akhirat nanti. Kenaikan pangkat di dunia pun manusia bangga, betapalah dengan kenaikan pangkat dan darjat di Akhirat. Bagi mereka yang faham dalam hal ini, maka setiap kali ada ujian, amat mudah mereka mengatasinya bahkan mereka tidak terkesan langsung dengan ujian tersebut.
Yang ketiga kenapa Allah datangkan ujian, mehnah, cabaran atau bala dalam kehidupan manusia adalah untuk menempelak atau menghina manusia yang sudah melupakan Tuhan. Tuhan bukan lagi tujuan kehidupan mereka. Tuhan tidak lagi menjadi keperluan utama mereka. Tuhan hanya keperluan semasa atau keperluan di waktu-waktu tertentu. Bukan lagi keperluan setiap masa dan setiap ketika.
Sikap golongan ini dalam menghadapi ujian, mehnah dan bala dalam kehidupan ialah sanagat mudah menyalahkan orang lain. Mereka akan mencaci, menghina, mengutuk dan menuduh-nuduh pihak lain yang bersalah tanpa mereka rasa bersalah kepada Tuhan.
Sedangkan Tuhan yang menurunkan ujian atau bala tersebutlah yang lebih faham kenapa ujian atau bala itu diturunkan. Tuhan bertujuan untuk membezakan antara manusia yang mendapat hidayah dan taufik Allah dengan mereka yang lalai dan derhaka kepada Allah.
“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan pra-sangka (kecurigaan), karena sebagian dari pra-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa di kalangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Al Hujurat: 12-13]
Kenaikan harga barangan keperluan merupakan salah satu bentuk ujian atau bala kepada kehidupan manusia. Salah satu faktor atau sebab Allah turunkan ujian atau bala, adalah keranan dosa dan kesalahan manusia.
Tidak kira dosa di kalangan golongan bangsawan maupun golongan bawahan. Samada dosa dan kesalahan pemerintah, juga kerana dosa dan kesalahan rakyat. Bahkan antara dosa dan kesalahan yang Allah sangat murka adalah dosa dan kesalahan dari golongan ulama atau cendikiawan yang mengetahui kebenaran tetapi menyembunyikannya. Malah yang lebih dahsyat, ada dari kalangan mereka yang menjadi penentang kebenaran atas nama agama!
Jika begitu, menukar kepimpinan negara atau parti pemerintah bukanlah satu-satunya jalan menyelesaikan masalah. Malah tidak ada jaminan langsung dari Allah masalah kehidupan manusia akan selesai semata-mata dengan menukar kepimpinan negara atau parti pemerintah.
Selagi manusia tidak kembali kepada Tuhan, menyerah diri kepada Tuhan lalu sangat tunduk dan patuh kepada peraturan Tuhan, maka selagi itu akan ada ujian dan bala silih berganti yang Tuhan timpakan kepada kehidupan manusia.
Kesedaran, perubahan dan penghayatan kepada Allah dan agama Allah perlu berlaku di semua peringkat. Dari rakyat jelata hinggalah kepada pemimpin negara. Tidak hanya boleh pihak berkuasa sahaja yang perlu bertaubat dan kembali kepada Allah dan peraturan Allah. Rakyat juga wajib sama-sama ke arah itu.
Tidak mungkin pemimpin yang baik akan lahir dari kalangan rakyat yang jahat. Maka untuk mendapatkan pemimpin yang baik, rakyat juga mesti baik. Bila rakyat jahat, maka tentulah pemimpin yang dipilih juga dari kalangan yang jahat.
Tentu ada yang berpendapat bahawa pemimpinlah yang patut berperanan mengubah sikap rakyat daripada jahat kepada baik. Memang betul dan ada kebenarannya. Namun rakyat juga mesti menentukan sikap untuk tidak memilih atau mengikuti pemimpin yang jahat.
Pemimpin yang sekadar baik tidak mampu mengubah sikap rakyat. Hanya pemimpin yang bertaqwa mampu dan ada jaminan Tuhan dapat memimpin manusia kepada kebaikan.
Pemimpin yang bertaqwa adalah pemimpin yang memperjuangkan Tuhan dan hak-hak Tuhan. Rakyat atau pengikutnya dididik hingga sangat takut dan cintakan Tuhan. Lantas seluruh peraturan Tuhan dizahirkan dalam kehidupan bermula keluarga, jemaah, masayarakat dan negara. Pemimpin yang bertaqwa akan sentiasa mengingatkan tentang dosa dan pahala. Pemimpin yang bertaqwa mendidik pengikut setianya menjadi abid di malam hari dan pejuang di siang harinya.
Sikap pemimpin bertaqwa dan pengikut-pengikutnya terhadap ujian atau mehnah Allah ialah sangat tenang dan redha. Lalu Allah kurniakan kepada mereka jalan keluar sehingga ujian dan mehah tidak lagi dibesar-besarkan malah mereka mampu bersyukur kerana merasa Tuhan sentiasa membantu melepasi setiap ujian menimpa.
Kehidupan mereka sangat tenang dan tidak tergugat oleh ujian, mehnah dan cabaran hidup. Beginilah watak pemimpin bertaqwa dan mempunyai pengikut-pengikut yang bertaqwa juga. Mereka inilah yang sebenarnya mampu menyelesaikan masalah kehidupan manusia.
“Bila seseorang Islam tak senang dengan ujian dan terlalu marah pada orang yang mendatangkan ujian padanya tadi, ini bererti ia belum mengenal sifat Allah.” ~ Abuya
Manusia sudah meluat dengan pemimpin yang mengajak penyokong-penyokongnya menyalahkan orang lain. Setiap kali datangnya ujian, maka mereka terus menuding kepada musuh politik mereka.
Pemimpin seperti ini bukan sahaja ketandusan idea, malah pemimpin seumpamanya ini hanya memiliki pemikiran taraf rakyat jelata, bukan pemikiran seorang pemimpin yang hebat. Lebih-lebih lagi pemimpin yang suka menyalahkan orang, mereka jelas bukan pemimpin bertaqwa.
Jadi tidak hairanlah, jika Allah terus menerus menempelak dan menghina melalui ujian kehidupan, kerana rata-rata pemimpin yang ada di dunia pada ketika ini bukan lagi pemimpin yang bertaqwa. Hanya pemimpin yang bertaqwa juga yang mempunyai pengikut bertaqwa sahaja yang akan mendapat bantuan dan pembelaan Allah.
Kenaikan harga barangan khususnya di Malaysia adalah fenomena kerana sudah tiadanya pemimpin yang bertaqwa. Samada dari kalangan pemerintah maupun di kalangan pemimpin pembangkang. Kalau sekadar baik, belum cukup mampu untuk mendidik penyokong-penyokongnya untuk menjadi orang yang betaqwa. Ertinya belum layak mendapat bantuan dan jaminan Tuhan.
Selagi Tuhan belum dibesarkan, ditakuti dan dicintai, maka selagi itulah kita akan terhina dan menderita. Kenaikan harga barangan keperluan hanyalah merupakan ujian kecil untuk mengingatkan manusia agar kembali kepada Tuhan. Larilah kepada Tuhan, jangan lari dari Tuhan.
“Kehidupan dunia dijadikan indah dalam pandangan orang-orang kafir, dan mereka memandang hina orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertakwa itu lebih mulia daripada mereka di hari kiamat. Dan Allah memberi rezki kepada orang-orang yang dikehendaki-Nya tanpa batas.”[Al Baqarah: 212]
Kesimpulannya, semua pihak ada dosa dan kesalahan yang perlu ditaubatkan lalu memperbaiki hubungan dengan Tuhan. Jika hanya segelintir yang melakukannya, maka bala Tuhan pasti akan turun dan menimpa semua manusia tanpa terkecuali.
Cuma yang berbeza ialah kepada golongan yang bertaubat dan membaiki diri, Allah ampunkan dan diberikan kepada mereka jalan keluar tanpa diduga. Jika mereka mati, mereka berpeluang memperolehi pahala mati syahid.
“Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah- megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu. Berlomba-lombalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai karunia yang besar.” [Al Hadiid: 20-21]

0 comments:
Catat Ulasan