Selasa, 2009 November 10

Kuasa Minda vs Kuasa Politik

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan penahanan Dr. Asri mantan mufti Perlis. Kecoh, riuh rendah dan gempar seketika dunia ilmuan, ulama, pentadbir atau pihak berkuasa agama dan gerakan-gerakan Islam samada yang berbentuk NGO maupun parti politik. Tokoh pembangkang dan kerajaan saling membuat ulasan dan tanggapan. Keliru sebentar masyarakat khusus umat Islam di Malaysia.

Dr Asri dalam reaksi balasnya meminta pihak berkuasa agama atau orang yang mempunyai kuasa dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam jangan menyekat atau menghalang sesuatu fahaman atau pemikiran melalui kuasa. Beliau juga mendakwa sistem pentauliahan yang diamalkan oleh pihak berkuasa agama sebagai sistem yang ketinggalan, karut malah tiada dalam Islam. Begitulah telatah mantan mufti Perlis yang sering dikaitkan dengan fahaman Wahabi itu dalam usahanya mempertahankan diri.

Yang hairannya pada masa yang sama beliau beria-ia mempertahankan sijil-sijil sebagai bukti kelayakan atau pencapaian beliau yang didakwa oleh setengah pihak sebagai palsu. Apakah sistem sijil yang dibanggakannya itu ada dalam Islam? Apa bezanya sistem sijil dengan tauliah pejabat agama?

Ada pula pihak yang mendakwa jangan cepat menolak atau bertindak jika hanya berbeza pendapat. Perbezaan pendapat memang sering terjadi dalam apa jua perkara. Dalam Islam perbezaan pendapat di kalangan ulama dalam perkara furu' atau cabang memang dibenarkan bahkan membawa rahmat. Tetapi perbezaan dalam perkara pokok terutama aqidah sememangnya tiada kompromi.

Seingat kita, mereka yang berfahaman Wahabi sangat menolak perbezaan pendapat. Pendukung fahaman Wahabi sering membangkit persoalan kilafiah menjadi asas perbincang sehingga dianggap perkara tersebut sebagai persoalan pokok. Perbincangan yang sering kali mengundang polemik seperti persoalan talkin, tahlil, maulid, bacaan qunut, tawasul, istighasah dan sebagainya selalu sahaja diperbahaskan sehingga membawa kepada tuduhan-tuduhan melampau.

Kenapa dalam perkara seumpama itu puak-puak Wahabi ini tidak boleh berlapang dada atau bertolak ansur dengan perbezaan pandangan atau perselisihan pendapat. Sedangkan persoalan tersebut kebanyakannya sudah pun diperbahaskan oleh ulama muktabar secara terperinci dan dengan penuh kasih sayang.

Kes Dr Asri ini mengimbau kembali kita kepada kes Al Arqam. Al Arqam sehingga kepada pengharamannya tidak langsung dapat dibuktikan terlibat dalam melakukan sebarang bentuk kesalahan jenayah. Samada jenayah sivil maupun jenayah agama. Kes Al Arqam adalah kes perbezaan pendapat dan fahaman. Pihak berkuasa agama tertutamanya Pusat Islam kemudiannya Jakim berbeza pendapat dalam beberapa isu seperti tawasul, istighasah, Imam Mahdi, tariqat, mimpi bertemu Rasulullah, yaqazah dan seumpamanya.

Dalam isu Al Arqam, pihak berkuasa agama ternyata tidak mampu berhadapan dengan kekuatan Al Arqam khususunya Ustaz Ashaari (sekarang lebih dikenali sebagai Abuya) dalam menyebarkan pandangan mereka. Jentera dan sistem penyampaian Abuya dan Al Arqam cukup terancang, tersusun, komited dan menyeluruh.

Justeru dalam kes ini jelas pihak berkuasa agama tidak mampu berhadapan kuasa minda Abuya dan Al Arqam. Lalu akhirnya mereka menggunakan kuasa politik untuk menghalang, menyekat dan cuba membunuh kuasa minda Abuya dan Al Arqam. Ternyata hanya jenama Al Arqam yang dapat dimusnahkan. Roh Al Arqam masih segar dan subur dalam minda umat kini.

Apakah kekecohan yang tercetus antara golongan ulama, cendikiawan Islam, pihak berkuasa agama dan mantan mufti ini merupakan salah satu kifarah akibat mubahalah di atas penindasan dan kezaliman mereka? Wallahu'alam.

Mungkin tidak lama lagi Tuhan akan lakukan peristiwa yang lebih menggemparkan umat Islam terutamanya golongan agama!

0 comments: