Selepas berlakunya tsunami politik pada Mac 2008, politik tanahair terus bergelora tanpa ada tanda bila akan berakhir.
Seperti tsunami yang melanda Aceh terutamanya, ribuan malah mungkin puluhan ribu gempa susulan pula berlaku di seluruh dunia pada skala kecil mau pun skala besar.
Kita sudah menyaksikan gelora dalam UMNO sehingga membawa kepada penggantian kapten parti. Gelora MCA bertambah bercelaru dan semakin kusut. Gelodak dalam parti PPP belum pun selesai sebenarnya walaupun beritanya sudah tertimbus oleh isu yang lebih sensasi. MIC pula memang meluat dengan sikap presidennya. Gerakan juga tidak mampu mengelak daripada kepincangan dalaman. Komponen BN dari Sabah dan Sarawak juga dipercayai sedang diancam berbagai perbalahan dalaman yang akan meletus bila-bila masa terutamanya hampir pemilihan parti juga sekiranya ada pilihanraya kecil atau pilihanraya negeri. BN yang menjangkau usia 60 tahun semakin ketara keuzuran, tenat dan boleh dikatakan sebagai sedang nazak.
Harapan yang dibawa oleh PR pula dilihat hanya tinggal harapan apabila satu persatu masalah dalaman parti gabungan tidak rasmi PKR, PAS dan DAP menjadi bahan perbincangan dan penilaian umum.
PKR yang menghadapi masalah pertembungan dan kecelaruan nilai, budaya, fahaman dan kepentingan anggota teutamanya kepimpinan menyebabkan banyak berlaku perbalahan dalaman.
PAS pula sebuah parti yang berulang kali berada dalam situasi tersepit, terhimpit dan dalam persimpangan setiap kali mengadakan kerjasama dengan parti lain berhadapan dengan krisis keyakinan ahli terhadap barisan kepemimpinan parti. Pertembungan aliran fahaman tua dengan pendekatan kaum muda semakin menjadi-jadi. Senario ditelan mati emak diluah mati bapak dalam meraih sokongan majoriti umat Islam berbanding minoriti bukan Islam tidak menemukan formula atau jalan keluar yang meyakinkan.
DAP yang lebih konsisten dan komited terhadap gagasan dan wawasan mereka dilihat lebih berjaya menyembunyikan masalah dalaman mereka walaupun tidak dapat dinafikan berlaku macam-macam 'perkara'.
Gabungan PR yang berlaku di atas matlamat bersama menjatuhkan BN dengan masing-masing parti mempertahankan prinsip dan dasar yang bertentangan satu sama lain nampaknya semakin rapuh dan pincang. Benarlah harapan tinggal harapan atau lebih tepat harapan berterbangan bersama angan-angan!
Persoalannya, ke manakah arah tuju politik tanahair?
Rakyat terus dipertontonkan dengan adegan-adegan panas, karut dan tahyul dalam episod gelora politik yang terlalu panjang. Rakyat sudah bosan, kecewa, hilang kepercayaan, marah, benci, tidak peduli dan akhirnya lebih banyak fikir diri sendiri. Nafsi-nafsi. Bila umat Islam terutamanya hidup nafsi-nafsi maka waktu itulah saat kehancuran umat sekalipun kedudukan musuh pada waktu itu juga terlalu lemah.
Harapan sebenar umat hanyalah kepada Tuhan. Tuhan telah menjanjikan akan adanya penyelamat di akhirzaman yang akan menyatukan semula umat Islam seterusnya menaungi dunia dari penzaliman dan penindasan. Imamul Mahdi adalah pemimpin yang ditunggu-tunggu segenap lapisan. Tetapi sebelum Imamul Mahdi muncul, Putra Bani Tamim terlebih dahulu diangkat sebagai pemimpin yang akan membuka laluan.
Kita yakin episod gelora politik yang sedang ditayangkan adalah merupakan antara intisari skrip Tuhan untuk akhir zaman. Semakin hampir gelaran ikhwan menjadi milik mereka yang berjuang dalam jemaah kebenaran. Kemenangan yang dijanjikan Tuhan sememangnya perlu menempuh berbagai ujian terutamanya ujian keyakinan. Ayuh! Bangunlah wahai pejuang kebenaran yang yakin dengan janji Tuhan untuk hidup mati bersama 'Orang Tuhan'!
Khamis, 2009 November 12
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

0 comments:
Catat Ulasan