Dalam Islam politik terkandung dalam persoalan siasah. Siasah membawa maksud yang lebih luas berbanding politik apa yang kita faham selama ini. Politik hari ini mumnya difahamkan persoalan berkaitan dengan perjuangan parti khususnya dalam proses pemilihan pemimpin melalui undi. Politik dalaman berkaitan hal dalaman parti, manakala politik nasional pula perkara yang berkaitan dasar, sikap, perjuangan dan aktiviti parti yang melibatkan masyarkat umum. Pada umumnya begitulah yang kita faham tentang perkataan politik.
Siasah menurut Islam mudah tetapi menyeluruh. Siasah bermaksud tadbir. Mentadbir apa jua hal kehidupan bermula dengan mentadbir diri, keluarga, masyarakat, negara seterusnya alam sejagat. Mentadbir aktiviti kehidupan seperti ekonomi, pendidikan, pertanian, kebudayaan, kesenian, kesihatan, perniagaan, perhubungan, kemasyarakatan, kebajikan, penerbitan, hiburan dan apa jua aktiviti kecil atau besar yang semuanya perlu ditadbir atau perlu ada pentadbiran.
Matlamat pentadbiran dalam Islam adalah agar semua perkara yang ditadbir itu kembali kepada kehendak Tuhan atau lebih mudah lagi kembali tunduk dan patuh pada kehendak Allah swt Tuhan yang menjadi, memiliki dan mentadbir seluruh alam ini. Tuhan tidak perlukan kepada faedah daripada semua pentadbiran tersebut melainkan manaafatnya akan kembali kepada manusia selaku khalifah di muka bumi ini. Manusia akan hidup berpadu, berkasih sayang, harmoni, tenang dan bahagia. Itulah buah atau natijah daripada pentadbiran dalam Islam.
Jika politik atau siasah atau pentadbiran dalam Islam difahami dan dihayati hampir mustahil orang politik akan bergaduh dan bercakaran sesama sendiri. Lebih-lebih lagi jika politik tersebut didakwa politik Islam. Sejarah telah memaparkan terutamanya dalam masyarakat yang berada dalam lingkungan tiga ratus tahun atau tiga kurun yang dijamin Rasulullah saw, kisah pergolakan dalam pentadbiran atau politik waktu tersebut terlalu minima. Jika ada pun berlaku hanya disebabkan istihadulfikri yang mudah diselesaikan dalam masa yang singkat.
Kenapa dalam dunia politik masa ini sering berlaku pergaduhan, percakaran, pertembungan, perbalahan, persengketaan, cantas mencantas, tikam belakang, kawan makan kawan, perpecahan seterusnya sehingga pembunuhan?
Kenapa wujud suasana bercelaru dan haru biru dalam kita nak melaksanakan satu pentadbiran bagi menjamin keamanan, keselamatan dan kebahagian hidup kepada masyarakat semenjak dunia mengguna pakai sistem politik terkini?
Dalam Islam urusan pentadbiran atau jawatan dalam pentadbiran bukanlah sesuatu yang menjadi rebutan dan hambatan samada secara individu maupun berkelompok. Masyarakat Islam zaman salafusoleh iaitu sepanjang tigaratus tahun sekitar Rasulullah saw sangat bimbang dengan jawatan dan banyak tokoh yang besar-besar telah menolak untuk menerima jawatan yang mahu diberikan walaupun mereka memang layak menerimanya. Mereka terlalu cemas memikirkan akibat dan kesan daripada bebanan amanah yang terlalu berat samada di dunia ini apatah lagi bila di Akhirat kelak. Inilah sikap sebenar orang yang layak atau patut menerima amanah dalam urusan pentadbiran terutamannya mentadbir sebuah negara.
Berbeza dengan politik kepartian dan politik pilihanraya ahli politik dan penyokong parti berebut-rebut jawatan dan kuasa dengan dakwaan mereka lebih layak dan patut menguasai pentadbiran tidak kira pentadbiran dalam parti maupun pentadbiran negara. Inilah punca mereka sering atau sentiasa bercakaran, bertentangan, hentam-menghentam, cantas mencantas, berbalahan dan ada ketikanya sehingga sanggup berbunuhan. Kenyataan yang kita saksikan pergaduhan atau persengketaan dalaman parti biasanya lebih parah berbanding antara parti-parti. Perpecahan di kalangan ahli parti dilihat lebih hebat kesannya kepada masyarakat berbanding perpecahan atau perbalahan antara parti.
Sebagai contohnya pertembungan antara DAP dengan UMNO sejak dulu belum pernah menyaksikan berlaku peristiwa besar di peringkat nasional berbeza dengan perpecahan dalam UMNO sewaktu krisis Tengku Razaliegh dengan Tun Dr Mahathir dan juga krisis Dato' Seri Anwar Ibrahim. Ini sangat menghairankan kerana ahli politik bergaduh sesama mereka lebih buruk walaupun dalam satu parti dan satu fahaman sedangkan mereka mendakwa mampu menyatukan masyarakat luar yang berpegang kepada berbagai kefahaman, keyakinan dan aliran kehidupan.
Dalam Islam kriteria utama seorang pemimpin ialah adil. Adil dalam dirinya iaitu sangat menjaga dan memelihara hukum Allah dalam kehidupan sehariannya hatta tidak melakukan perkara fasik sekali pun. Antara contoh perbuatan fasik bagi lelaki ialah tidak menutup kepala semasa keluar rumah atau memakai pakaian yang menyerupai pakaian tradisi orang bukan Islam seperti memakai tali leher. Adil dalam rumahtangga dan keluarga. Sebab itu kebanyakan tokoh Islam terutamanya Khalifah ArRasyidin mereka mengamalkan poligami. Lelaki yang berpoligami sahaja terbukti mampu adil dalam rumahtangga dan berjaya mendidik dan mentadbir wanita. Jika dalam rumahtangga sudah gagal sudah tentu tidak layak untuk mentadbir masyarakat. Inilah kayu ukur asas dan mudah menurut Islam dalam memilih pemimpin tidak kira peringkat mana sekali pun.
Daripada rumusan ringkas ini fahamlah kita kenapa buah atau natijah daripada sistem politik masa kini dengan siasah Islam jauh berbeza seperti langit dengan bumi. Secara ringkasnya perbezaan dasar, matlamat dan pendekatan sahaja pun sudah cukup untuk menjawab persoalan ini.
Persoalan yang jarang diperkatakan adalah faktor pemimpin dan janji Tuhan. Sebenarnya kemelut politik atau dunia hari ini ada kaitan dengan pemimpin dan janji Tuhan pada setiap zaman. Kita percaya kerosakan menyeluruh yang terjadi dalam sistem kehidupan pada masa ini terutamanya persoalan politik hanya akan mampu diselesaikan atau diselamatkan oleh pemimpin yang Tuhan datangkan bersama pakej janji-janji Tuhan yang sedang dan akan berlaku di zaman ini.
Kemusnahan politik Barat dan kembalinya siasah Islam sebenar akan berlaku tidak lama lagi berdasarkan perkembangan yang sedang kita sama-sama saksikan. Yakinlah kebenaran yang Tuhan janjikan pasti berlaku dan ianya sudah terlalu hampir.
Khamis, 2009 Oktober 29
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

0 comments:
Catat Ulasan