Selasa, 2009 Oktober 13

Kenapa PAS tidak dibantu?

Terlebih dahulu memohon maaf jika analisa dan apa jua pandangan berdasarkan tajuk di atas menyinggung khususnya pemimpin, ahli dan penyokong PAS. Tetapi jauh dari di sudut hati setiap mereka yang mengharapkan Islam terbela pasti akan sedikit sebanyak terkesan dengan prestasi dan reputasi PAS dahulu, semasa dan akan datang.

Setelah PAS kalah atau lebih tepat tertewas di DUN Bagan Pinang, maka ada baiknya kita cuba membantu dari sudut masing-masing untuk mengembalikan kekuatan dan keutuhan sebenar perjuangan Islam atau perjuangan kebenaran jika yang demikian itulah kedudukan sebenar perjuangan PAS.

Selepas membaca dan mengikuti ulasan juga analisa politik dari pelbagai pandangan tokoh-tokoh berhubung kekalahan PAS khususnya belum ada yang menyentuh mengenai kegagalan PAS disebabkan kegagalan dalam mendapatkan bantuan Allah untuk menang pada setiap pertarungannya.

Perjuangan Islam walau bagaimana hebat sekali pun pejuangannya, anggota-anggotanya, peralatan serta kelengkapannya, persenjataan, strategi, teknik dan taktik itu semua adalah usaha lahir semata-mata yang tidak memberi kesan apa-apa melainkan dengan izin Allah jua. Keizinan Allah bahkan pertolongan Allah adalah faktor kemenangan utama dalam perjuangan Islam atau lebih tepat perjuangan kebenaran.

Allah menjanjikan kemenangan dan kejayaan kepada perjuangan kebenaran adalah berdasarkan kekuatan taqwa. Sementara kemenangan dan kejayaan kepada perjuangan selain perjuangan kebenaran adalah atas dasar 'quwwah'  iaitu kekuatan lahir atau usaha ikhtiar. 

Sebagai perbandingannya, jika perjuangan kebenaran mempunyai kekuatan taqwa yang solid daripada pejuangnya, usaha ikhtiar yang sekadarnya pun mampu mengalahkan perjuangan kebatilan yang memiliki berganda-ganda lebih hebat kekuatan lahir mereka. Ini terbukti dalam hampir setiap peperangan di zaman Rasulullah dan para sahabat. Kebanyakan peperangan yang dilancarkan oleh baginda Rasulullah saw adalah terdiri daripada perajurit yang lebih kecil jumlahnya berbanding bilangan musuh. Bukan sekadar bilangan tentera Islam jauh lebih kecil tetapi kelengkapan dan keperluan untuk peperangan juga jauh lebih lemah dan serba kekurangan berbanding tentera musuh.

Semasa perang Hunain bilangan tentera Islam masih kurang berbanding tentera musuh tetapi nisbahnya tidak begitu besar. Dalam Al Quran diceritakan bahawa peperangan Hunain menjadi iktibar apabila tentera Islam gagal mencapai kemenangan yang gemilang walau pun kekuatan lahirnya hampir sama dengan kekuatan musuh adalah kerana sudah ada antara para sahabat yang merasa yakin bahawa kemenangan akan memihak kepada mereka berdasarkan kekuatan lahir sehingga hampir terlupa bahawa kemenangan-kemenangan sebelumnya adalah atas faktor bantuan Allah kerana kekuatan taqwa.

Allah menegaskan dalam firman Nya yang bermaksud, "Tidakkah kamu lihat (sebelum ini) betapa golongan sedikit dapat mengalahkan golongan yang lebih besar dengan izin Allah..."

Kepada PAS marilah kita koreksi kenapa perjuangan kita tidak mendapat pertolongan Tuhan?

Syaidina Umar pernah berpesan kepada tentera-tenteranya dengan berkata yang membawa maksud lebih kurang begini, " Aku lebih takut dosa-dosa kalian daripada musuh-musuh kerana jika kalian berdosa maka Allah akan biarkan kalian dikalahkan oleh musuh sebagai balasan terhadap dosa kalian. Tetapi jika kalian menjaga diri dengan bertaqwa, nescaya Allah akan mengalahkan musuh-musuh Nya juga merupakan musuh-musuh kalian dan memberikan kemenangan kepada kalian."

Nah inilah prinsip asas dan utama atau amanat yang paling penting kepada tentera atau pejuang-pejuang kebenaran demi menagih kemenangan yang dijanjikan Allah kepada perjuangan kebenaran. Selagi PAS yakin dan mempertahankan bahawa perjuangan PAS adalah perjuangan kebenaran maka jalan ini perlu ditempuh dan dijadikan agenda utama setiap masa dalam perjuangannya.

Penekanan kepada setiap anggota betapa pentingnya sifat taqwa diusahakan sungguh-sungguh untuk menjadi pakaian setiap peribadi adalah langkah yang wajar selagi PAS benar-benar ingin memperjuangkan Islam agar didaulatkan di muka bumi ini. Tetapi sebaliknya jika perjuangan PAS sekadar untuk memenangi pilihanraya, maka saranan mengusahakan taqwa perlulah dikesampingkan sebaliknya tumpukanlah kepada usaha-usaha untuk memenuhi kemahuan-kemahuan pengundi samada mereka yang sedia tunduk mau pun mereka yang mengingkari Tuhan!

0 comments: