Selasa, 2009 September 08

Senang kahwin, cerai dan poligami

Perkahwinan yang berkat adalah yang urusannya mudah dan senang. Elakkan daripada menyukarkan urusan perkahwinan. Pada masa ini budaya dan sikap yang berlebihan dalam atau semasa menganjurkan sesuatu majlis perkahwinan adalah antara sebab mengapa urusan perkahwinan menjadi begitu sukar.

Bakal pengantin perlu memikirkan perbelanjaan dan persiapaan majlis perkahwinan kadang-kadang beberapa tahun sebelumnya lagi. Sedangkan majlis yang akan diadakan hanya untuk beberapa ketika atau beberapa hari sahaja. Inilah budaya yang tidak pasti sumbernya daripada mana masyarakat Islam kita contohi. Termasuk anak orang-orang besar agama.

Perkahwinan patut dipermudah atau disenangkan. Tapi tidak boleh pula senang-senang je nak kahwin. Berkahwin kerana semata-mata untuk bersenang-senang biasanya akan menemui kegagalan perkahwinan kerana realiti hidup berumahtangga tidak berlaku sepanjang masa hati terasa senang walau pun orang tersebut hidup senang.

Dalam dunia artis mereka sudah biasa senang-senang kahwin semasa berlakon. Sebenarnya perkahwinan tidak wajar dilakon-lakonkan. Mereka juga selalu menguar-uarkan perkahwinan sering menjadikan hati dan rezeki mereka juga semakin senang. Namun tidak dapat dinafikan bahawa rumahtangga golongan ini juga senang bercerai berai. Dengar-dengar baru setahun dua kahwin dah bercerai. Boleh tahan, ada yang hanya bertahan beberapa bulan sahaja!

Kahwin bukan semata-mata untuk bersenang-senang bersama pasangan. Perkahwinan adalah tanggungjawab. Antara hikmah besar perceraian diharuskan adalah kerana Islam tidak mahu sesuatu perkahwinan diikat semata-mata dengan 'paksaan' hukum seperti jika haram atau makruh sekali pun. Walau bagaimana pun keharusan bercerai adalah satu keharusan yang paling dibenci Allah!

Melayari bahtera perkahwinan untuk kekal sehingga akhir hayat perlukan sekurang-kurangnya ilmu, sabar dan toleransi yang secukupnya antara pasangan. Suami mesti ada cukup ilmu sebagai seorang pemimpin keluarga sebaik-baiknya mampu pula mengajar dan membimbing isteri-isteri dan anak-anak. Isteri pula kena menimba ilmu dari semasa ke semasa untuk memandu menjadi isteri yang solehah.

Sabar adalah ubat yang paling mujarab dalam menghadapi situasi bermasaalah atau meruncing. Kesabaran sebenarnya tiada had. Ungkapan mengatakan bahawa sabar ada had tertentu hakikatnya itu tidak atau belum cukup sabar.  Jadi dalam banyak keadaan suami atau isteri wajib bersabar dengan karenah pasangan masing-masing. Yang lebih baik jika kita boleh mengamalkan sikap berlapang dada dengan sikap atau perangai pasangan yang tidak menyenangkan hati. Kesabaran yang ditunjangi iman dan sabar kerana atau untuk Allah pasti mendapat balasan setimpal sehingga ada keterangan mengatakan pahala sabar itu sehingga 'bighairihisab' yakni tanpa hisab. Sabar juga merupakan ibadah yang tidak perlukan masa, tempat, modal dan kaedah tertentu. Orang yang sabar dijamin Allah bersama-samanya selagi ianya mempertahankan kesabaran tersebut.

Toleransi atau tolak ansur yang tinggi perlu untuk mengstabilkan antara keperluan dan keinginan pasangan masing-masing. Tolak ansur mestilah berdasarkan ilmu, yakni dapat mengenalpasti mana yang lebih utama dan kurang utama. Tidak boleh sesuatu perkara itu hanya didasari oleh perasaan atau kecenderungan masing-masing.

Bagi mereka yang ingin membuktikan bahawa keadilan dan kasih sayang adalah kemuncak hubungan suami isteri maka eloklah senang dengan amalan berpoligami. Bagi isteri senangkan suami yang memang berhasrat untuk berpoligami. Sementara sisuami pula didiklah isteri yang tidak senang dengan poligami agar memahami pengertian dan hikmah besar poligami.

Poligami adalah gelanggang mendidik hawa nafsu terutamanya bagi wanita. Bagi wanita yang telah berpoligami bermakna mereka telah ada gelanggang untuk mendidik hawa nafsu yang sememang kewajipan bagi setiap muslim.

Nafsu jika tidak didik akan merajai diri kita dan sudah tentu menjauhkan diri kita dari Tuhan. Nafsu sifatnya sangat membawa kepada kejahatan. Menurut keterangan hadis, punca segala kejahatan adalah cinta dunia. Kerana cinta dunialah manusia hilang kasih sayang. Jadi orang yang nafsunya tidak terdidik sudah tentu sukar untuk menghilangkan cinta dunia dalam hati mereka. Bila ada cinta dunia sudah tentu tiada kasih sayang. Maka sebab itu hakikatnya suami isteri yang tidak berpoligami bukannya kerana mereka terlalu sayangkan pasangan masing-masing tetapi kerana sangat kuatnya kepentingan diri yang tersembunyi dalam hati mereka.

Jelaslah bahawa wanita yang belum dipoligamikan ertinya mereka belum ada gelanggang untuk mendidik hawa nafsu. Kalau pun ada hanya terlalu minima dan bermusim. Tetapi bagi wanita yang berpoligami, mereka berada selama 24 jam dalam gelanggang. Tentulah hasilnya tidak sama.

Jika kita faham dan benar-benar ingin merasai kemanisan kasih sayang dan keadilan dalam berumahtangga, maka poligami adalah jalannya. Berpoligami sepatutnya senang bagi mereka yang ada cita-cita besar Islam dan mereka yang mengejar cinta Tuhan. Tetapi yang senang berpoligami bukanlah senang sahaja mendapat cinta Tuhan melainkan mesti menempuh syarat-syaratnya terutama mujahadahtunnafsi. Jika telah berpoligami pun sukar mendapat cinta Tuhan betapa yang belum berpoligami, betul tak?

0 comments: