Selasa, 2009 September 15

Sejadah berdiri: Hikmah kejadian pelik

Hari ini ada berita dikeluarkan oleh sebuah akhbar harian tentang kejadian sejadah berdiri di Pasir Mas. Dalam bulan Februari 2008 kejadian hampir serupa berlaku di Meru. Sebelum itu pernah disiarkan dalam Youtube kejadian yang sama terjadi di Muscat, Oman.

Semua yakin perkara yang tak mampu dihuraikan oleh akal adalah tanda kebesaran Tuhan. Allah boleh lakukan apa sahaja. Itulah rata-rata pandangan dan tanggapan yang diluahkan apabila menyaksikan atau mendengar kejadian pelik seumpama ini.

Sebenarnya bukan sahaja perkara pelik kita perlu sandarkan kepada kebesaran Tuhan. Bagi mereka yang mempunyai mata hati atau mata hatinya hidup apa sahaja kejadian mereka akan nampak kebesaran Tuhan.

Kejadian alam, langit dan bumi, siang dan malam, tumbuh-tumbuhan, haiwan, panas, hujan dan seluruh kejadian dan peristiwa adalah antara tanda-tanda kebesaran dan kehebatan Tuhan. Jika demikian kenapa bila ada perkara pelik sahaja baru kita tersentak dan terpanggil untuk menyandarkan kejadian tersebut dengan kehebatan Tuhan?

Bila hati telah mati, hati sudah lupakan Tuhan. Padahal setiap saat dan setiap detik ada sahaja kebesaran Tuhan berlaku pada diri kita dan di sekeliling kita. Tetapi hati yang telah bersalut dengan cinta dunia tidak terasa bahawa setiap kejadian terutamanya kejadian diri sendiri sebagai tanda kebesaran Tuhan. Sebab itu Syaidina Ali pernah berkata,"Barangsiapa kenal dirinya  maka dia akan kenal Tuhannya".

Ungkapan ini pendek tetapi mendalam. Jika kita belum kenal Tuhan itu tandanya kita belum kenal diri sendiri. Jika kita kenal diri sendiri maka mudahlah untuk kenal Tuhan. Begitulah kehebatan orang yang mempunyai mata hati atau hati mereka hidup. Hanya dengan melihat dan memikirkan kejadian dirinya mereka sudah dapat merasa kehebatan dan keagungan Tuhan.

Kejadian pelik yang sering terjadi sebahagiannya adalah cara Tuhan perli atau sinis manusia. Tuhan telah datangkan utusan Nya daripada kalangan jenis manusia sendiri untuk mengajar, mendidik dan memimpin agar manusia kenal Tuhan. Tetapi utusan Nya selalu sahaja dibiarkan, dibuat endah tak endah, dibohongi,  dicerca, dihina malah adakalanya ditolak dan tentang oleh manusia terhadpa utusan Tuhan. Itulah yang sering terjadi kepada para Rasul Allah.

Selepas tiadanya Rasul maka silih berganti para mujaddid di datangkan kepada umat pada setiap zaman menyeru manusia supaya kembali mengagung dan membesarkan Tuhan setelah mereka tenggelam dalam kelalaian dan cinta dunia.

Kejadian pelik seperti sejadah berdiri bolehlah diibaratkan seperti mengajar budak tadika. Jika dengan ilmu, kefahaman dan pimpinan guru pun kamu tidak mahu bersembahyang, nah sekarang cuba perhatikan sejadah yang tidak bernyawa pun mau sembahyang.

Jika kita baca sejarah beberapa para wali juga dilahirkan melalui peristiwa pelik yang dialami mereka. Ini merupakan salah satu kaedah Tuhan menyedarkan manusia. Walau bagai mana pun kebanyakan para sahabat terutamanya yang kanan-kanan adalah dilahirkan melalui didikan terus yang diterima daripada Rasulullah saw.

Jika demikian marilah kita berasa malu dengan Tuhan kerana Tuhan ajar kita melalui contoh yang pelik setelah mana akal dan hati kita tertutup dan terpesong daripada seruan 'orang Nya'.

0 comments: