SHAH ALAM - Pengamal ajaran sesat yang mengaku dirinya 'Rasul Melayu', Abdul Kahar Ahmad, 59, bakal beraya di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam mengeluarkan waran tahanan ke atasnya sehingga tarikh perbicaraan 7 Oktober ini.
Antara yang jelas sebahagian daripada ajaran "rasul Melayu" ialah tidak berpuasa tetapi masih ingin berhari raya. Puasa dan solat sangat cuai malah dipertikaikan tetapi soal menyambut hari raya beliau merayu agar dapat bersama keluarganya. Inilah antara bentuk amalan yang diajar atau dicontohkan oleh sikap Abdul Kahar Ahmad yang mendakwa sebagai "rasul Melayu".
Jika kita teliti intipati daripada kisah ini sebenarnya terlalu ramai yang bersikap begini, cuma mungkin mereka tidak tahu siapakah guru yang membawa ajaran ini. Ajaran yang sesuai dengan hawa nafsu adalah ajaran yang dibawa oleh pencinta dunia. Orang yang mengikuti hawa nafsunya adalah mereka yang di dalam hatinya tiada rasa berTuhan dan rasa kehambaan. Mungkin dari sudut ilmu tentang Tuhan mereka ada tapi rasa beTuhan belum ada. Ilmu baru di akal, mengenali Tuhan dan merasa berTuhan itu mesti di hati.
Jika seseorang itu sudah belajar atau mengaji ajaran yang betul dan benar sekali pun, sebenarnya masih boleh terlibat dalam amalan sesat. Ajaran sesat baru berupa atau dalam bentuk ilmu atau kefahaman yang sesat. Amalan sesat adalah sesuatu amalan yang diamalkan tetapi tiada kaitan dengan Tuhan lebih parah jika amalan itu bertentangan dengan kehendak dan peraturan Tuhan.
Ramai orang tidak sedar yang mereka sedang terlibat dengan amalan sesat walau pun tidak pernah mengikuti mana-mana ajaran sesat. Ajaran sesat baru diperingkat akal belum jadi amalan. Amalan sesat sesuatu yang sudah dipraktikkan walau pun belum pernah kita belajar.
Amalan suka dan sangat suka berhari raya walau pun tidak berpuasa sudah menjadi budaya umum umat Islam di zaman ini. Kalau pun berpuasa, puasa hanya dapat lapar dan dahaga. Puasa sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tidak lebih dari itu. Baik sikit berpuasa kerana mahukan kelebihan samada dari sudut kesihatan maupun dari sudut ganjaran. Berpuasa kerana takut dan cintakan Tuhan hampir tidak pernah diajarkan oleh ulama terutamanya ulama rasmi. Biasanya berpuasa kerana komited kepada hukum atau fardhu. Roh berpuasa sudah tidak difahami apalagi hendak dihayati.
Jika sekadar seronok untuk berhari raya tetapi berpuasa pula sekadar seronok-seronok sahaja, ini sebenarnya termasuk sebahagian daripada penganut ajaran yang sewaktu dengan 'rasul Melayu'. Bukan sekadar ajaran sesat malah menghampiri amalan sesat. Amalan sesat sebenarnya jauh lebih merbahaya kerana pengamalnya sudah dikira berdosa dan jika mati dalam keadaan mengamalkan ajaran sesat boleh jadi sebab terjun ke dalam neraka, wal'iyazubillah. Ajaran sesat baru dalam bentuk ajaran tidak semestinya diamalkan. Yang peliknya amalan sesat jarang orang ambil pusing berbanding ajaran sesat. Sebabnya amalan sesat sudah jadi budaya kadang-kadang termasuk mereka yang memerangi ajaran sesat!
Rupanya pengikut ajaran atau lebih tepat pengamal ajaran yang sewaktu dengan 'rasul Melayu' adalah ramai. Berpuasa tidak atau berpuasa sekadar melepaskan batuk ditangga tetapi berhari raya sakan sampai sanggup berhutang piutang. Yang dibesarkannya ialah sikap berbangga-bangga dan bermegah-megah sekali gus menyuburkan mazmumah yang merupakan sifat keji berpunca daripada nafsu amarah.
Jangan menyangka tidak sesat jika sekadar bukan pengikut 'rasul Melayu'. Takut-takut lebih sesat, kerana berperangai dan mengamalkan sikap yang sama saja dengan 'rasul Melayu'!


0 comments:
Catat Ulasan