Para sahabat apabila mendengar kisah-kisah atau mengenang-ngenangkan tentang kematian boleh menyebabkan mereka hilang selera makan kadang-kadang berhari-hari lamanya. Kematian bagi mereka menjadi penawar terhadap kelazatan hidup dan nikmat dunia. Kematian jika dijadikan fokus dalam bertafakur boleh menjinakkan hawa nafsu yang asalnya begitu rakus terhadap dunia.
Benarlah ungkapan salafusoleh bahawa kematian itu satu nasihat dan ingat mati juga kata Imam Al Ghazali boleh menghapuskan panjang angan-angan. Sedangkan panjang angan-angan terhadap kehidupan duniawi adalah salah satu sifat mazmumah kerana akan melekakan kita tentang kedatangan mati yang datang secara tiba-tiba walau di mana dan tanpa di duga.
Kematian sebenarnya sentiasa mengejar kita, sedangkan kehidupan pula sentiasa lari daripada kita. Tetapi anehnya manusia di zaman ini kononnya amat 'kuat' untuk lari dari kematian dan terlalu kuat juga untuk mengejar kehidupan. Biasa kita dengar ada orang yang mampu melawan kanser kononnya, sehingga masih dapat hidup beberapa tahun lagi. Inilah antara contoh keegoan manusia untuk menerima bahawa kematian sebenarnya tidak akan lewat mau pun cepat walau sesaat bila tiba kedatangannya.
Beberapa tahun dahulu saya pernah didatangi oleh seorang agen insuran. Dia mempromosikan takaful Islam katanya. Maka antara topik yang menarik diperkatakan ialah bagaimana atau apa persiapan saya untuk mati? Sebagai seorang yang kurang ilmu, saya lantas bertanya semula apa sepatutnya yang perlu saya persiapkan demi kematian saya?
Beliau bertanya kembali berapa ramaikah tanggungan saya. Kemudian bila telah saya jelaskan, maka gadis genit yang bertudung lingkup itu pun terus 'masuk jarum'. Dia kata saya perlukan satu skim untuk menjamin mereka yang di bawah tanggungan saya tidak akan teraniaya atau terumbang ambing selepas ketiadaan saya kelak. Nampaknya dia sedang bagi 'bola tanggung' tetapi dia belum perasan apa yang dilontarkannya itu bakal menjadi 'peluru' yang boleh kena batang hidungnya semula.
Kalau sekadar bercerita pasal kematian semata-mata untuk menakutkan dan menggertak apa yang bakal terjadi kepada mereka yang ditinggalkan lebih baik tak payah cerita pasal mati yang lengkap dengan hujah Al Qur'an dan Hadis.
Mereka bukan sahaja tidak memikirkan apa nasib orang yang ditinggalkan tetapi sebaliknya orang yang ditinggalkan pula sangat memikirkan dan mengharap agar mereka yang mati atau syahid itu berbahagia di alam barzah.
Itulah bezanya kita dengan para sahabat mengenai kematian. Para sahabat bila ingat mati mereka akan tawar hati dengan dunia dan bertambah-tambah rindunya kepada Akhirat. Kita bila cerita pasal mati lebih memikirkan pasal orang yang bakal ditinggalkan apakah hidup senang atau menderita. Sedangkan jika yang ditinggalkan itu mungkin hidup menderita sekali pun apakah sama dengan penderitaan yang bakal kita tempuh di alam kubur dan seterusnya di Akhirat kelak.
Jika selepas kita mati, keluarga kita hidup susah masih ada harapan dan jalan keluar kerana sekurang-kurangnya masih ada sanak saudara. Tetapi kita yang masuk ke liang lahad seorang diri hanya mengharapkan iman dan taqwa sahaja yang mampu menyelamatkan dari azab yang begitu pedih. Kalau begitu kenapa bila kita didendangkan dengan kisah kematian kita masih fokus untuk yang hidup?
Sungguh terlalu jauh jiwa umat Islam akhir zaman hanyut dengan dunia jika tiada pimpinan orang Tuhan. Kematian pun dijadikan alat atau alasan untuk tujuan kehidupan duniawi.

0 comments:
Catat Ulasan