Isnin, 2009 September 28

Kegembiraan Hari Raya Dan Kematian Di Jalanraya

Semalam iaitu hari Ahad merupakan hari terakhir Op-Sikap 10. Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya jauh melebihi jumlah yang dicatatkan dalam Op-Sikap 9. Sepanjang menyambut hari raya kita bukan sahaja disajikan dengan pelbagai juadah seperti makanan, hiburan, suasana kegembiraan, pembaziran, kemewahan bahkan kita juga dipaparkan dengan berita kematian pada setiap hari akibat kemalangan terutamanya yang melibatkan pengguna jalanraya.

Kegembiraan yang sepatutnya dirasai telah direntap oleh berita kemalangan atau kematian bagi mereka yang terbabit. Inilah fenomena setiap kali musim perayaan. Kegembiraan yang diharap-harapkan sebaliknya kesedihan yang menjelma.

Hari raya sebenarnya bukanlah hari bergembira sakan. Bergembira sehingga lupa Tuhan, lupa syariat Tuhan, lupa akhlak dan hilang kasih sayang adalah budaya songsang yang diamalkan setiap kali menyambut hari lebaran. Hari raya terutamanya hari raya puasa adalah hari mengucapkan kesyukuran dan mengagih-agihkan nikmat pemberian Tuhan.

Hari di mana kita patut rasa bersyukur kerana diberi kesempatan menempuh bulan keampunan, keberkatan dan kerahmatan sepanjang Ramadhan. Bersykur kerana pada masa yang sama ada di kalangan saudara mara, sahabat taulan dan kenalan sudah kembali ke rahmatullah yakni pulang ke kampung asal di Akhirat tidak berkesempatan menyambut Ramdahan.

Pada masa yang sama sepatutnya menyambut hari raya juga perlu ada rasa malu, insaf dan menyesal. Malu kerana ibadah sepanjang Ramadhan tidak seberapa. Kalau pun dibuat mungkin lebih sedikit daripada bulan biasa tetapi hanya ibadah rangka belum ada rohnya lagi. Ertinya ibadah bangkai tidak bernyawa. Walau pun cantik tapi tiada makna apa-apa. Macam ratu cantik bertaraf dunia yang telah tidak bernyawa, hanya layak dikebumikan.

Rasa insaf juga patut ada kerana sepanjang bulan puasa masih melakukan perkara sia-sia bahkan masih banyak buat dosa. Secara sengaja maupun tidak sengaja tapi tetaplah berdosa. Lahir atau batin serupa juga.

Kita juga wajib menyesal kerana nikmat umur yang diberikan kita tidak gunakan benar-benar kembali kepada Tuhan sehingga Tuhan sangat dicintai dan ditakuti yang merupakan intipati taqwa. Sedangkan kesempatan melalui proses Ramadhan sepatutnya kita mendapat taqwa kerana itulah tujuan perintah Tuhan kepada hamba Nya yang wajib berpuasa sebulan dalam setahun iaitu di bulan Ramadhan. Apakah kita tidak rasa menyesal kerana belum memperolehi taqwa sedangkan Ramadhan akan datang belum tentu kita bertemu lagi?

Kematian bukanlah sesuatu yang mesti ditakuti atau di takut-takutkan dengan kematian. Kematian adalah peringatan dan nasihat kepada insan. Kematian merupakan kepastian, sedangkan kehidupan dunia hanyalah angan-angan. Sebenarnya kematian menjadi syarat menemui cinta Tuhan. Bagi orang yang bertaqwa mereka terhibur dengan kematian. Kematian sesuatu yang dinanti-nantikan dengan penuh persiapan lahir dan batin. Mereka sentiasa bersiap sedia untuk hari kematian. Kematian menjadi ingatan dan jarang dilupakan kerana jika mereka melupakan kematian dirasakan bahawa hati telah terpaut dengan kehidupan dunia yang sementara dan sangat menipu. Jika mereka terlupa tentang kematian mereka menghukum diri dengan memperbanyakan zikir, taubat, bersedekah dan berbuat baik sebanyak mungkin kepada insan sebagai tebusan.

Inilah perbandingan yang membezakan orang bertaqwa dengan orang yang hidup penuh dengan kelalaian. Bagi orang yang bertaqwa kegembiraan hanya setelah selamat berada di dalam syurga di Akhirat sementara kematian pula adalah sebahagian daripada peringatan malah menjadi hiburan!

0 comments: