Kemelut politik tanahair nampaknya berterusan, semakin rumit dan kompleks. Rakyat biasa semakin meluat dan hilang keyakinan kepada parti memerintah atau parti pembangkang samada di pusat mau pun di negeri-negeri.
Sebahagian penyokong parti-parti yang semakin banyak di arena politik pilihanraya di negara ini sudah bertambah tawar hati dengan pemimpin-pemimpin mereka. Membosan dan membingungkan dengan gelagat atau politiking yang semakin mengarut dan melalut dari semasa ke semasa.
Pegeseran dan perselisihan antara pemimpin dalam parti-parti politik sudah tidak dapat disembunyikan lagi dari pengetahuan umum. Mereka yang bercakaran sesama sendiri kerana pengaruh, kuasa dan kepentingan tersembunyi tidak dapat menahan perasaan yang terpendam lalu memuntahkan kepada khalayak. Selama ini mereka mendabik dada mampu menyelesaikan masalah jika diberikan kuasa dilihat semakin menambah masalah sementara masalah yang sedia ada pula gagal dan tidak mampu untuk dirawat.
Pemimpin-pemimpin politik sejak dulu hingga sekarang dilihat lebih banyak menimbulkan masalah samada berbentuk peribadi atau pun menyentuh kepentingan umum. Ini membuktikan sistem politik sedia ada tidak berjaya melahirkan pemimpin yang berkualiti. Jika ada pun pemimpin politik yang baik dan berprinsip itu bukan dicipta atau dilahirkan oleh sistem politik sedia ada. Ini adalah kerana latar belakang pendidikan, asuhan, bimbingan, keluarga, ilmu, pegangan dan keyakinan peribadi pemimpin tersebut yang dibentuk di luar sistem politik tetapi mereka kemudiannya menceburi bidang politik.
Maka apa yang kita dapat faham bahawa sistem politik Barat yang terbukti jauh terpesong daripada kebenaran ini, sebenarnya gagal melahirkan pemimpin yang berkualiti sebaliknya sudah menjadi kebiasaan pula kita lihat sistem politik inilah yang merosakkan peribadi pemimpin walau pun sebelumnya itu dia adalah seorang yang berkualiti.
Sebab itu sebelum terlambat kepada mana-mana ahli politik, penyokong parti politik atau penganut fahaman politik yang masih ada ruang hati terbuka agar meninggalkan kepercayaan dan kebergantungan kepada sistem yang semakin menuju kehancuran dan kepupusan ini.
Sebenarnya masalah politik yang sedia ada dan semakin mencengkam hidup masyarakat bukanlah kerana kesalahan pemimpin politik semata-mata tetapi yang paling jelas adalah kesilapan dan kerosakan akibat daripada sistem yang direka dan dicipta oleh akal manusia terutamanya akal manusia yang telah menolak kewujudan dan sistem daripadaTuhan.
Jadi jika kerosakan ini ingin diperbaiki sekadar dengan menukar pemimpin tetapi pemimpin yang baru itu masih dilahirkan daripada sistem politik sedia ada maka sudah tentu tidak membawa apa-apa kejayaan dan kemungkinan besar akan bertambah buruk berdasarkan seperti apa yang sedang kita saksikan sekarang.
Setiap perubahan mesti ada pemimpin. Pemimpin adalah faktor penentu kepada perubahan untuk kejayaan dan kebaikan. Oleh kerana pentingnya pemimpin untuk memimpin satu perubahan menyeluruh maka pemimpin tersebut mestilah yang benar-benar berkualti, berwibawa, mempunyai kekuatan minda, ilmu, strategi, pendukung, sistem dan akhirnya 'power' yang luar biasa. Hanya pemimpin yang lahir daripada sistem Tuhan mampu melakukan perubahan yang sangat diharap-harapkan oleh semua manusia pada ketika ini termasuk pemimpin-pemimpin yang sedang bergelut dengan 'dosa-dosa' mereka.
Tunggulah masanya semua sistem dan pemimpin-pemimpin yang berada dalam sistem karut ini jatuh berguguran bersama-sama. Mereka pasti akan jatuh setandan, hempap menghempap antara satu sama lain tidak lama lagi.
Selasa, 2009 September 29
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

0 comments:
Catat Ulasan