Rabu, 2009 September 09

Hanya Pemimpin Kerohanian Sebagai Penyelamat


Pemimpin kerohanian biasanya difahami sebagai pemimpin agama atau pemimpin aliran kejiwaan seperti ahli tasauf. Pemimpin kerohanian bermaksud tokoh yang menjadi idola, ikutan, contoh tauladan atau yang mempunyai pengikut fanatik. Pengaruh pemimpin kerohanian biasanya melangkaui batas bangsa, etnik, negara malah agama. Ketokohan dan kepimpinan pemimpin kerohanian kebiasaanya diterima kerana berjaya memenuhi keperluan rohani pengikutnya seperti rasa kasih sayang dan keharmonian jiwa.

Rasulullah saw adalah tokoh pemimpin kerohanian yang paling unggul. Rasulullah saw bukan sahaja sangat berjaya memenuhi keperluan kerohanian para sahabat tetapi sehingga ke hari ini umat Islam sangat terasa kasih sayang baginda. Perjuangan Rasulullah saw pada fasa pertama adalah membebaskan manusia dari kekafiran dan sebarang bentuk kemusyrikan terhadap Tuhan. Fasa yang berikutnya Rasulullah membawa manusia bebas dari sifat cinta dunia kepada mencintai Akhirat dan kemuncaknya mencintai Allah Tuhan Yang Maha Agung. Para sahabat adalah generasi pertama yang dilahirkan menerusi pimpinan dan bimbangan langsung daripada Rasulullah saw. Inilah generasi contoh sepanjang zaman.

Dalam sejarah dunia walau pun ada pemimpin yang disanjung dan dipuja dari sudut-sudut tertentu tetapi belum ada yang dapat menandingi kepimpinan Rasulullah saw. Wal hal sejarah juga telah mempaparkan kepada kita bahawa Rasulullah saw tidak meninggalkan apa-apa kemajuan lahiriah yang hebat-hebat seperti bangunan, kubu pertahanan, ciptaan atau rekaan alat-alat atau senjata yang pelik dan seumpamanya. Tetapi pengaruh dan kecintaan umat kepada Rasulullah kekal dan melimpah ruah sehingga ke akhir zaman ini. Inilah dia kesan kepimpinan kerohanian yang paling berjaya, hebat dan berpengaruh dalam sejarah dunia.

Tokoh-tokoh selepas Rasulullah yang berjaya menjadi ikutan dan rujukan umat sehingga kini terutama yang paling menonjol adalah khalifah yang empat dan diikuti di kalangan para mujaddid seperti Syaidina Umar Ibnu Aziz, Imam Syafie, Imam Abu Hassan Asaari, Imam Ghazali dan Imam Sayuti. Ke semua tokoh ini tiada meninggalkan apa-apa bentuk kemajuan lahiriah selain daripada perjuangan dan kepimpinan yang penuh kasih sayang sepanjang hidup mereka.

Melihat kemelut politik yang tiada tanda kesudahannya bahkan semakin hari semakin kusut memberi petanda bahawa zaman politik Barat menguasai manusia dan sistem hidup manusia semakin hampir berakhir. Kepimpinan politik hanya mampu membangunkan tamadun lahiriah semata-mata. Belum pernah kita dengar orang politik benar-benar berjaya memberikan kasih sayang, keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat. Biasanya orang politik sering menimbulkan perselisihan dan pertembungan.

Semoga cepat berakhirnya zaman penindasan dan  penzaliman ini. Zalim yang paling besar berlaku di tengah-tengah umat kini ialah tidak mengenali Tuhan. Bila Tuhan tidak dikenali maka sudah tentulah Tuhan tidak ditakuti dan cintai. Bila Tuhan sudah tidak ditakuti maka yang ditakuti mestilah selain dari Tuhan. Takut kepada selain dari Tuhan itulah kezaliman yang paling besar dan paling dahsyat.

Hanya pemimpin kerohanian yang telah terbukti berjaya mengenalkan manusia kepada Tuhan sehingga Tuhan benar-benar ditakuti dan dicintai sepenuh hati. Mereka yang benar-benar telah diproses dengan takut dan cintakan Tuhan sahaja layak menyelamatkan manusia dan sistem hidup manusia yang sedang porak peranda, kucar kacir dan sedang menjunam menyembah bumi. Selain daripada mereka yang takut dan cintakan Tuhan tidak ada apa harapan yang patut kita sandarkan selain semakin hari semakin menjerumuskan kita ke dalam neraka dunia sebelum neraka di Akhirat kelak yang lebih dahsyat.

0 comments: