Malu rasanya untuk menulis berkaitan rasa dan perasaan dengan Tuhan. Menulis secara teori sama sekali tidak serupa jika dibandingkan merasainya dengan hati atau jiwa. Dalam perkataan lain mengungkap ilmu rasa berTuhan perbezaannya macam langit dengan bumi berbanding mereka yang dianugerahkan mengalami dan tenggelam dalam rasa-rasa berTuhan secara hakiki.
Menerangkan bagaimana manisnya gula tentu sekali tidak sama dengan rasa manis gula yang dirasai oleh lidah. Itulah perumpamaan topik yang ingin ditulis kali ini.
Terpanggil menulis mengenainya adalah kerana sangat teruja dengan pencapaian dan peningkatan rohani Sheikh Nizamuddin Abuya Ashaari Muhammad yang direzekikan Allah merasai nikmat rasa asyik dengan Tuhan. Asyik atau rasa 'mabuk' dengan kebesaran dan kehebatan Tuhan. Kenikmatan dan kemanisan dalam mencintai dan takutkan Tuhan sehingga tenggelam dalam kebesaran Tuhan yang tiada tandingannya. Ini adalah antara bukti kebenaran bahawa Abuya adalah orang Tuhan yang mampu memproses manusia kembali 'bersama' Tuhannya.
S Nizam diberi anugerah oleh Allah pada suatu dinihari bertempat di sebuah 'biara' rohani akhir zaman dengan muqaddimahnya diperlihatkan kepada beliau gambaran keadaan beberapa orang yang sedang 'mabuk' dengan Tuhan. Pengalaman ini dilaluinya dalam keadaan antara jaga dengan tidur tetapi beliau sedar semua perkara yang berlaku termasuk berkesempatan mengejutkan isterinya untuk bersama menyaksikan detik-detik manis yang terlalu istimewa itu.
Setelah diperlihatkan suasana yang terlalu hebat lagi mengkagumkan itu, lantas terluncur dari bibirnya mengiakan apa yang selama ini sering didengar,"Memang patutlah orang akan berkata mereka(yang mabuk dengan Tuhan)itu gila..." lalu disambut kata-kata puja dan puji kepada kekasihnya seperti subbahanallah dan masyaAllah yang mendayu-dayu, sayu dan bertalu-talu.
Keheningan sekitar jam 3 subuh itu tiba-tiba menjadi begitu meriah dan tentunya teramat indah dengan pujian dan rintihan keasyikan seorang hamba yang sedang dilamun kemanisan merasai kebesaran Tuhan tanpa mampu membayangkan keadaan sebenarnya kepada kita. S Nizam yang sudah tidak mampu mengawal kegembiraannya memecahkan kesunyian kala subuh itu dengan keseronokan bagai 'tidak sedar diri'. Oh hebatnya rasa cinta dan takutkan Tuhan jika walau pun sedikit tidak mampu mereka yang merasainya mengawal perasaan lantas lahirlah kelakuan yang 'bagaikan orang gila' dikatakan oleh mereka yang tidak mengerti apa itu perasaan 'asyik dengan Tuhan'.
Semasa S Nizam menceritakan pengalaman yang dilaluinya hampir sejam itu kepada saya beberapa hari selepas itu, beliau memberikan perumpamaan bagaimana keadaan orang yang terlalu gembira sehingga tidak dapat mengawal kelakuannya dalam melahirkan rasa gembira tersebut.
Sebagai contoh kata beliau, bagaimana gembiranya seorang pemain bolasepak ketika berjaya menjaringkan gol kemenangan dalam satu perlawanan besar dan utama di peringkat antarabangsa. Mungkin sahaja penjaring gol tersebut akan membuka baju, berlari, melompat dan melakukan apa-apa aksi sehingga di suatu ketika kita melihatnya tidak ubah macam orang gila. Tapi itulah kepuasaan dan kenikmatan yang diluahkan oleh seorang pemain bolasepak semasa mengecapi nikmat menjaringkan gol kemenangan.
Itu baru nikmat dunia yang jika kita bahaskan secara terperinci bukanlah terlalu besar dan hebat pun!
Maka perasaan yang dialami oleh S Nizam terlalu jauh berbanding apa yang dimisalkan itu.
S Nizam dalam suatu pertemuan lain membayangkan kerinduannya menunggu rezeki atau anugerah besar itu lagi. Dengan menyatakan bahawa perasaan asyik atau mabuk atau fana dengan Tuhan terus membunuh dan memusnahkan segala rasa lazat selain kelazatan bersama DIA.
Saya menyimpulkan pada peringkat ini bolehlah dikatakan bahawa S Nizam menanti-nanti saat dipanggil Tuhan ke 'singgahsana' Yang Maha Agung.
Cerita Syaidina Ali yang terkenal bilamana betisnya terkena anak panah maka sahabat-sahabat akan menunggu sehingga Syaidina Ali mengangkat takbir untuk bersembahyang sunat. Sebaik sahaja Syaidina Ali mengangkat takbir maka sahabat pun mencabut anak panah yang terbenam pada betisnya tanpa sedikit pun Syaidina Ali menunjukkan tanda rasa sakit sehingga selesai sembahyang barulah Syadina Ali sedar bahawa anak panah telah dicabut keluar. Begitulah contoh bagaimana Syaidina Ali tenggelam dalam kebesaran Tuhan. Bukan sekadar khusyuk biasa, tetapi khusyuk luar biasa atau khusyuk khawasul khawas. Inilah antara contoh kisah mereka yang asyik dengan Tuhan.
Berbezanya mungkin apa yang berlaku terhadap Syaidina Ali ialah beliau bila-bila masa boleh masuk ke 'mahligai singgahsana' Tuhan untuk bersama DIA berbanding S Nizam baru di peringkat menunggu bilakah Tuhan akan menjemputnya memasuki 'mahligai' kebesaran Tuhan untuk bermesra dengan DIA.
Seperti orang yang terlalu rapat hubungan peribadinya dengan Raja, maka bila-bila masa di boleh pergi dan masuk ke istana lalu berjumpa dengan raja berbeza dengan seorang yang hanya Raja baru kenal melalui 'orangnya' maka perlulah menunggu jemputan atau pelawaan raja untuk memasuki istana lebih-lebih lagi untuk bersama dengan Raja.
Tetapi bagaimana pula dengan kita, adakah raja kenal atau tidak? Bagaimana Raja boleh kenal kita sedangkan kita pun belum kenal raja!
Carilah wakil Raja untuk memudah dan meyelamatkan kita dalam mengenali Raja seterusnya berharap Raja mengakui kita antara orang-orang DIA hasil 'sokongan' wakilNya.
Isnin, 2009 Ogos 17
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

0 comments:
Catat Ulasan