Selasa, 2009 Ogos 18

Polemik Kelab Poligami

Sejak Kelab Poligami Ikhwan dilancarkan pada 1 Ogos 2009 pelbagai reaksi dari semua peringkat masyarakat samada positif maupun negatif.

Pelancaran kelab poligami ini juga mengundang reaksi spontan beberapa tokoh terutama menteri yang bersangkutan hal ehwal wanita setelah diajukan persoalan tersebut oleh wartawan.

Apa yang menariknya poligami yang selama ini sering dipandang hina, bermasalah, kurang sesuai dalam masyarakat, menjadi isu hangat bagi kebanyakan para isteri, kononnya punca perceraian, tiada keadilan kepada wanita, menjatuhkan martabat kaum hawa dan wanita sebagai alat pemuas nafsu sebaliknya kini sangat mengkagumkan bila mana sebuah kelab yang mengumpulkan para suami dengan isteri-isteri mereka yang telah berjaya mengamalkan poligami sehingga kebahagian rumahtangga yang mereka kecapi jauh lebih indah dari sebahagian besar pasangan yang tidak berpoligami.

Kelab Poligami Ikhwan yang dicetuskan oleh Abuya Ashaari Muhammad adalah himpunan model keluarga berpoligami yang berjaya memutih malah menjernihkan amalan yang sangat dianjurkan oleh Allah swt seperti mana maksud firmanNya,

"Hendaklah kamu kahwini perempuan-perempuan itu dua, tiga atau empat dan jika kamu takuti tidak mampu berlaku adil maka kahwinilah satu..."

Ayat ini termasuk ayat perintah, ayat suruhan walau pun menurut ulama suruhan itu tidak membawa maksud wajib, namun tetap ianya merupakan suruhan atau anjuran Tuhan kepada hamba-hambaNya.

Ini memberi faham kepada kita bahawa berpoligami bukan sekadar perbuatan yang dibenarkan tetapi sangat dianjurkan Tuhan. Sesuatu yang jika bos suruh kita lakukan walau pun bukan mesti kena buat, kita akan berbangga jika dapat melakukannya inikan pula jika sesuatu perkara itu Tuhan yang anjurkan kita berbuat, lebih tentu perlu bersyukur dan merasa bangga kerana dapat mengikuti perkara yang dianjurkan Tuhan.

Bagi mereka yang benar-benar beriman dan hatinya benar-benar merasa bahawa Tuhan Maha Agung maka apa saja yang datang dari Tuhan mereka akan anggap ianya besar tanpa mengira kedudukan wajib atau sunat. Kedudukan wajib adalah sesuatu yang mesti dibuat sementara sunat eloklah dibuat. Tetapi tetaplah rasa berbangga kerana wajib dan sunat itu juga adalah kerana dan untuk Allah juga. Hakikatnya kedua-duanya dari Allah, Tuhan Yang Maha Agung!

Kembali kepada persoalan poligami, ia adalah perbuatan yang sangat dianjurkan oleh Allah menurut tafsiran ayat di atas. Rasulullah yang merupakan tafsiran Al Quran yang hidup atau sebagai nas pratikal juga sangat membuktikan kebenaran pendapat ini. Sejumlah tiga perempat daripada kalangan sahabat Rasulullah adalah pengamal poligami. Ini kerana mereka termasuk yang sangat memahami kehendak ayat yang menerangkan anjuran Allah dan juga tafsiran yang dipraktikkan oleh baginda Rasul.

Kalau yang demikian persoalan poligami bukan sekadar amalan beristeri lebih atau kerana semata-mata tuntutan hawa nafsu lelaki kepada wanita tetapi jauh lebih besar, mulia dan ada sesuatu yang tersirat sehingga ianya sangat dianjurkan oleh Allah swt.

Untuk lebih memahami kedudukan anjuran Tuhan ini, mari kita lihat ayat tersebut yang menyatakan jika kamu takuti tidak mampu berlaku adil, maka hendaklak kahwin satu. Secara sinisnya orang yang hanya berkahwin satu atau lebih tepat lagi takut atau menolak terus untuk berpoligami adalah mereka yang takut untuk berlaku adil, ertinya mereka sememangnya tidak mampu adil. Jadi orang yang takut berlaku adil jelasnya mereka tidak adil. Sedangkan sifat adil adalah sangat mendekati taqwa.

Kelab Poligami Ikhwan berjaya mengangkat kembali anjuran Tuhan kepada tempat yang selayaknya kerana setiap apa sahaja yang datang dari Tuhan adalah jauh lebih baik lagi utama.

Sudah semestinya kejayaan memperjuangkan anjuran Tuhan ini menjadi pukulan kepada musuh-musuh Tuhan terdiri daripada Yahudi, Nasrani dan mereka yang menyambung lidah keduanya itu samada secara sedar maupun tidak, secara sengaja atau pun jahil. Sejak beberapa lama mereka berjaya mempropagandakan bahawa poligami adalah amalan songsang sehingga masyarakat Islam sendiri merasa hina dan jijik.

Kelab Poligami Ikhwan yang julung-julung kali mampu dilancarkan ini bukan sembarangan tetapi berjaya menghantar mesej besar kepada mereka yang sudah pun merasai bahangnya!

0 comments: