Muktamar PAS sudah selesai. Tahniah dan syabas kepada mereka yang dipilih menyertai barisan kepimpinan baru. Semoga bertambah rasa kehambaan kepada Tuhan kerana didorong rasa tanggungjawab. Syaidina Umar Al Khattab sering berkata kepada dirinya,"Apakah yang akan kamu jawab di hadapan Nya kelak?(yakni di hari Akhirat)".
Kepada yang tidak terpilih semoga bersyukur kerana bebanan anda diringankan Tuhan. Tuhan lebih sayang anda sehingga tidak dikurniakannya amanah yang lebih besar. Sedangkan amanah sedia ada pun masih ramai yang culas dan tewas. Jawatan adalah kewajipan yang mendatang (wajib 'aradhi). Tambahan tanggungjawab. Jika demikian tidak perlu ada rasa kecewa atau putus asa. Bahkan gembira dengan kejayaan orang lain tanda keikhlasan kita dalam perjuangan.
Perpaduan adalah lebih utama. Dalam jamaah dan dalam masyarakat. Jika ada suara yang menghina laungan perpaduan, ini satu yang sangat menghairankan. Apa maksud kita berjuang jika perpaduan bukan menjadi salah satu tujuan. Biar pun terpaksa terkorban demi perpaduan perlu kita perjuangkan.
Rasulullah saw sangat pentingkan perpaduan. Jika ada pihak musuh menghulurkan kerjasama atau menerima perdamaian, maka Rasulullah saw sedia menerima dengan lapang dada. Kadang-kadang dilihat seolah-olah perdamaian lebih menguntungkan musuh. Namun akhirnya tetap juga lebih menguntungkan Islam. Itulah hikmahnya mereka yang memperjuang dan mempertahankan kasih sayang, perpaduan dan perdamaian.
Perpaduan di kalangan orang politik biasanya sekadar slogan. Perpaduan menjadi slogan kempen dan strategi politik. Perpaduan hanya pada perkara-perkara luaran atau permukaan sahaja. Akal dan hati tidak bersatu dan berpadu.
Perpaduan pada peringkat fikiran lebih susah dibangunkan berbanding perpaduan dalam konteks fizikal atau lahiriah. Perpaduan hati atau roh jauh lebih rumit dan sulit untuk dibina.
Perpaduan hati terbina di atas rasa kasih sayang. Hanya dengan sifat kasih sayang yang telah mendarah mendaging dalam diri mampu membina perpaduan sejati. Perpaduan inilah yang terjadi di Rasulullah dan para sahabat. Mereka hidup seperti satu keluarga. Malah mereka hidup seperti tubuh badan yang satu. Jika paha kanan dicubit, paha kiri juga terasa sakitnya. Inilah perpaduan hati yang begitu jitu dan padu sekali. Bagaimana ianya terbina?
Kasih sayang adalah buah daripada mencintai Tuhan. Kita diperintahkan supaya mencintai Tuhan faedahnya bukan untuk Tuhan. Tuhan tidak perlukan cinta kita. Sebaliknya kita yang perlu mencintai Tuhan dan kita sangat perlu kepada cinta Tuhan. Tuhan tidak perlukan cinta kita. Tetapi kenapa kita diperintah supaya mencintai Tuhan?
Orang yang mencintai Tuhan mereka sudah tentu hidup berkasih sayang. Kasih sayang adalah keperluan fitrah manusia. Manusia sangat perlukan kasih sayang dalam hidup. Tanpa kasih sayang, manusia sentiasa hidup dalam derita. Melalui kasih sayang manusia akan hidup bahagia. Kasih sayang dapat menyatukan manusia tidak kira apa bangsa dan status keturunan, sosio ekonomi atau budayanya. Maka faedah daripada mencintai Tuhan akan kembali kepada manusia iaitu kebahagian hidup. Hidup bersatu dan berpadu.
Isnin, 2009 Jun 08
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

0 comments:
Catat Ulasan