Isnin, 2009 Jun 22

PAS kini kuat

Lontaran idea Presiden PAS untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan mungkin didorong oleh keyakinan bahawa PAS berada pada kekuatan yang sesuai untuk tujuan itu. Dato' TG Haji Hadi berpendapat bahwa jika berlaku kerjasama PAS-UMNO, tentulah kepimpinan dan ahli-ahli PAS akan menguasai suasana dan keadaan sebaliknya bukan UMNO.

Berdasarkan beberapa perkara jika diperhatikan adalah menjurus kepada keadaan ini;

1. Dalam Pakatan Rakyat PAS bukan parti dominan tetapi dilihat lebih cenderung sebagai pak turut dan menjadi gurkha dalam PRK atau menjadi tenaga kerahan dalam menjayakan mana-mana majlis PKR atau DAP.

2. Pendekatan dan pendirian beragama pemimpin dan ahli PAS menjadi alat atau diperalatkan oleh DAP dan PKR terutamanya bagi mendapat sokongan Melayu terhadap kerjasama pembangkang tersebut.

3. PAS dalam muktamarnya telah meluluskan beberapa usul yang mendapat tentangan dan kritikan terbuka PKR dan DAP. Sedangkan selama mengadakan kerjasama PAS jarang dilihat mengkritik rakan mereka samada PKR atau pun DAP sekali pun sesetengah pendirian mereka sangat bercanggah dengan prinsip PAS.

4. PAS yang mula mendapat sokongan bukan Islam tentulah terdiri daripada mereka yang tidak 'tulin semangat' Cina dan Indianya. bagi mereka yang 'tegar' kecinaan atau keindiaan, sukar untuk difahami kenapa mereka menyokong PAS kecuali jika dilihat PAS hanya sekadar parti politik pilihan akhir.

5. Kekuatan dan sokongan rakyat kepada PAS sepatutnya digunakan sepenuhnya untuk memaksa UMNO tunduk kepada PAS jika mereka bergabung atau berkerjasama. Jentera PAS terbukti lebih komited berbanding jentera UMNO-BN.

6. Presiden PAS mungkin lebih yakin berjaya menundukkan orang Melayu UMNO berbanding ahli PKR atau DAP.

7. Pada masa ini kepimpinan UMNO sepatutnya yang lebih takutkan PAS berbanding ahli biasa mereka. Sejak beberapa tahun dulu lagi sudah terdapat ramai ahli UMNO yang mengundi PAS dalam setiap kali pilihanraya.

8. Ahli PKR dan DAP lebih sukar di'pulih'kan oleh PAS kerana kerjasama yang wujud dalam Pakatan Rakyat sebenarnya lebih banyak melibatkan persefahaman antara kepimpinan parti masing-masing. Kerjasama ini demi kepentingan dan agenda parti masing-masing.

9. Sepertimana BN, Pakatan Rakyat hanya wujud ikatan lahir semata-mata. Tiada persefahaman dan keselarasan fikiran dan hati dalam sudut aqidah, syariah dan akhlak. Keyakinan dan dasar yang bertentangan antara satu sama lain cuma berkerjasama dalam kepentingan dan tujuan untuk mendapatkan kuasa politik.

10.Jika berlaku kerjasama UMNO dan PAS kemungkinan ahli UMNO lebih mudah dijinakkan adalah besar. Sebahagian ahli UMNO menganggap kuasa Melayu sebagai perisai agama Islam. Tanggapan ini tentunya salah oleh sebab itu jika PAS berjaya mempengaruhi ahli UMNO dengan berhikmah, maka mereka sedia menukar kepercayaan tersebut. Sepatutnya kita mesti yakin bahawa dengan kekuatan Islam dapat membela bangsa penganutnya.

11. Jika PAS yakin sedang berada pada tahap lebih kukuh berbanding UMNO sewajarnya tidak perlu takut kepada UMNO dalam menjalin kerjasama atau penggabungan sekali pun.

12. Apakah PAS lebih rela berkerjasama dengan PKR dan DAP demi mendapatkan sedikit perkongsian kuasa tetapi dalam banyak keadaan lebih sebagai pak turut dan tenaga kerahan?

13. Pertelingkahan isu cadangan kerjasama PAS-UMNO dilihat telah membongkar tembelang tokoh-tokoh dalaman PAS. Mereka yang mempunyai semangat kuasa dan pengaruh lebih daripada membela Islam dilihat ada kegusaran yang ketara. Kenapa?

14. PAS rugi jika tidak mengambil kesempatan sewaktu UMNO berada dalam keadaan terlalu lemah. Sepatutnya PAS lebih berani dan berusaha mendominasi politik tanahair untuk mendapatkan sokongan padu orang Melayu/Islam yang sememangnya mempunyai sentimen tertentu dalam beberapa isu berbangkit sejak akhir-akhir ini. Peluang PAS terbuka luas tetapi cukup menghairankan kerana dipersempitkan oleh beberapa tokoh kepimpinan dalam PAS.

15. Presiden PAS tentu sedang membaca situasi yang sesuai untuk menjayakan misi dan visi setelah lontaran idea kontroversi beliau mendapat perhatian di luar jangkaan samada pihak luar maupun dalam parti. Isyarat melalui muktamar baru-baru ini menunjukkan presiden terbukti cukup 'gagah' untuk meneruskan cadangan tersebut.

16. PAS yang sering berbangga dengan dasar Islamnya selama ini diharap akan berjaya menebus maruah Islam dengan menjadi pemimpin yang mencorak dan mewarnai iklim politik tanahair setelah sekian lama menjadi pak turut dan anak kerahan. PAS tentu tidak rela selamanya dimanipulasi oleh parti yang pada suatu ketika adalah musuh ketatnya.

0 comments: