Hampir di seluruh dunia manusia sedang menghadapi penyakit kecewa. Kecewa dengan isteri atau suami, kecewa dengan kekasih, kecewa dengan majikan, kecewa dengan rakan, kecewa dengan keluarga, kecewa dalam pelajaran, dalam perniagaan, dalam kerjaya dan pekerjaan, dalam pergaulan dan bermacam-macam bentuk kekecewaan lagi yang sedang melanda manusia.
Bekas Presiden Korea Selatan sanggup membunuh diri kerana kekecewaannya. Bintang filem samada di Timur maupun Barat juga sering mengakhiri kekecewaan dengan membunuh diri. Jika tidak pun mereka akan berfoya-foya, berpeleseran dan hilang kawalan diri hanya kerana kecewa atau terlalu kecewa.
Dalam negara kita juga penyakit kecewa begitu ketara sedang melanda. Kecewa dengan sistem pendidikan seperti protes terhadap PPSMI. Kecewa dengan sikap majikan sehingga ada saja tuntutan yang dibuat oleh golongan pekerja. Kecewa dengan keadaan ekonomi. Kecewa dengan sistem kewangan mengakibatkan ramai yang terjebak dengan kekejaman ah long. Kecewa dengan sistem sosial dibuktikan dengan banyaknya gejala rempit, rogol, zina, lari dari rumah, dadah dan macam-macam lagi.
Terkini rakyat Malaysia terlalu kecewa dengan pemerintah dan sistem pemerintahan itu sendiri. Sistem pentadbiran kerajaan pusat dan negeri, sistem politik dan tidak terkecuali sistem beraja. Berbagai cara dan peristiwa yang berlaku menggambarkan kekecewaan ini. Demonstrasi, tunjuk perasaan, protes, mogok lapar, lapuran polis dan macam-macam cara manusia melahirkan rasa kecewa mereka.
Keputusan pilihanraya kecil DUN Penanti antara kayu ukur kekecewaan rakyat terhadap sistem pilihanraya demokrasi. Setelah negara menyaksikan rentetan PRK yang silih berganti, rakyat mulai muak atau meluat dengan keadaan politik tanah air. Tidak lama lagi ada satu lagi PRK iaitu di Manik Urai. Apakah setelah rakyat menyatakan kekecewaannya di Penanti, maka di Manik Urai akan berkecai lerai segala kekecewaan?
Hanya yang pasti semua ini bukan terjadi secara kebetulan. Tuhan yang Maha Pencatur sedang melakukan percaturan langsung terhadap hati-hati manusia. Hati-hati manusia sudah terlalu kecewa disebabkan kehilangan Tuhan. Kini manusia sedang tercari-cari, dari manakah akan datang sinar cahaya keTuhanan untuk menyelamatkan mereka daripada kekecewaan?
Isnin, 2009 Jun 01
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)


0 comments:
Catat Ulasan