Khamis, 2009 Mei 21

Ulama yang tak sempurna...

Ibnu Jauzi mengatakan bahawa tidak sempurna ulama itu jika masyarakat hanya bergantung ilmu kepadanya. Sedang dalam masa yang sama ulama tersebut bergantung hidup dengan pihak zalim atau dengan sistem hidup yang zalim.

Jelaslah kepada kita bahawa tidak sempurna seorang ulama jika hanya boleh syarah ilmu Islam tetapi tidak berjaya mewujudkan sistem hidup Islam bermula dengan keluarga seterusnya sistem itu juga dapat memberikan perlindungan sekurang-kurangnya kepada jemaah atau pengikut-pengikutnya.

Ulama yang yang boleh syarah ilmu Islam tetapi hidupnya sendiri bergantung kepada sistem yang zalim adalah ulama yang dipertikaikan kebenaran ilmunya. Jika Islam hanya benar pada ilmu tetapi tidak perlu dipraktikkan, maka tentulah Rasulullah saw tidak mendapat tentangan kaum musyrik. Penentangan yang dilakukan terhadap Rasulullah saw adalah kerana Rasulullah bukan sekadar membawa ilmu atau wahyu, tetapi wahyu tesebut dizahirkan dalam kehidupan sehingga tercetus satu sistem baru yang berlainan sama sekali dengan sistem hidup masyarakat jahiliah.

Masyarakat jahiliah bukanlah masyarakat yang jahil ilmu pengetahuan. Sebelum Rasulullah saw lahir, masyarakat pada ketika itu telah pun mencapai kemajuan material seperti sistem ekonomi dan perdagangan antarabangsa yang pesat, sistem politik, sistem pembangunan dan pertanian yang berjaya dan seumpamanya. Tetapi semua sistem itu tidak menjadikan Allah sebagai sumber segala-galanya. Tuhan hanya keperluan semasa bukan keperluan sepanjang masa. Tuhan hanya dirujuk untuk perkara-perkara tertentu bukan menjadi rujukan semua perkara. Tuhan hanya dijadikan alat untuk hidup bukan dijadikan matlamat hidup.

Kemusyrikan mereka bukan sahaja kerana menyembah selain daripada Allah tetapi secara totalnya menolak sistem yang Allah turunkan. Sebab itu ahli kitab pun bila Rasulullah saw menyeru mereka tetap berpaling kerana Tuhan bukan lagi matlamat mereka tetapi telah dijadikan alat untuk mereka meneruskan kehidupan. Jika Tuhan menjadi matlamat tentu saja bila datang seruan Tuhan, maka merekalah yang lebih awal menerima dan menjadi galang ganti perjuangan membesarkan Tuhan. Tetapi tidak malah berlaku sebaliknya merekalah merupakan antara tokoh penentang yang Allah ceritakan dalam Al Quran.

Maka ulama yang menjadikan ilmu Islam sekadar alat meneruskan kehidupan bukan menjadikan kehidupan sebagai alat memperjuangkan Tuhan dan Islam adalah ulama hipokrit. Hingga kini kita jarang bertemu ada ulama yang sanggup gadaikan seluruh hidupnya untuk membangukan sistem hidup Islam dalam seluruh aspek kehidupan. Ulama yang lantang bersuara dan bercakap Islam terutamanya di media massa hanya mereka yang mengaburi mata dan hati pencari kebenaran. Hakikatnya mereka tidak pun menzahir atau mengamalkan sistem hidup Islam sekalipun hanya di peringkat keluarga, apatah lagilah hendak diperjuangkan hingga terkorban masa, tenaga, harta dan nyawa lagilah mustahil. Inilah ulama yang ada ilmu Islam tetapi ilmunya mati tiada roh. Oleh kerana ilmunya tiada roh maka tidak mampu dibangunkan dalam kehidupan realiti. Hanya sekadar bercakap dan bersyarah Islam. Ulama begini ditakuti termasuk ciri yang menepati isyarat hadis bermaksud, takutilah kamu kepada ulama suk lebih daripada kamu takutkan singa liar yang lapar.

0 comments: