Jumaat, 2009 Mei 29

Ceraikan isteri kerana kekasih...

Dunia artis tidak sunyi dari gosip. Fitnah, jatuh-menjatuh dan mengadu domba juga perkara biasa. Dunia yang hanya ada nilai dunia. Bukan sahaja dunia artis yang terus dalam nilai dunia, tetapi dunia politik, ekonomi, kebudayaan, pendidikan, kemajuan dan serba serbinya sudah hilang nilai akhirat. Lebih menyedihkan dunia agama atau dunia ulama' pun semakin berat nilai dunianya berbanding nilai akhirat. Inilah bukti manusia semakin jauh dengan Tuhan.

Cintakan isteri, cinta yang normal dan dibolehkan. Perasan suka kepada pasangan berlainan jantina yang samada kepada lelaki atau wanita bukan muhram adalah fitrah. Bermain cinta dan pergaulan bebas lelaki dan wanita bukan muhram adalah dilarang dan berdosa.

Lelaki dan wanita yang bercinta selepas berkahwin terbukti lebih berkat dan bahagia rumahtangganya. Lihatlah pasangan yang disusun oleh keluarga atau pihak ketiga dalam perkahwinan mereka. Kebanyakannya kekal sehingga ke anak cucu. Cuma terjadi juga pasangan yang tidak panjang jodohnya. Terbaru, pasangan pemain badminton negara Roslin Hashim yang hanya bertahan kurang dua minggu.

Baru-baru ini kita dihangatkan kembali dengan isu pasangan suami isteri artis berimej agama. Ustaz Akhil Haiy dikaitkan dengan cinta tiga segi bersama penyanyi Waheeda. Isu yang telah berlarut selama dua tahun kini sedang menunggu untuk meletup. Inilah contoh mudah bagaimana memahami peranan nafsu dan syaitan selaku musuh batin setiap anak Adam.

Syaitan sentiasa mencelarukan fikiran dan perasaan terhadap sesuatu yang dihalalkan. Syaitan juga akan menggambarkan dan menghias dengan penuh keindahan terhadap sesuatu yang dilarang atau ditegah oleh Allah. Nafsu yang sememangnya selalu mengajak kepada kejahatan menambah keinginan dan kecenderungan untuk memilih yang haram. Bisikan dan ajakan syaitan dan nafsu sukar dikesan tetapi sangat berkesan. Bisikan dan bujukan nafsu dan syaitan mengalir bersama perasaan dan keinginan manusia.

Di sinilah kita perlukan pimpinan. Perlunya kepada pemimpin adalah untuk memandu dan memimpin agar kita selamat. Selamat di dunia dan selamat di akhirat. Pemimpin yang boleh menyelamatkan kita di dunia lebih mudah dicari. Walau pun begitu masih ramai pemimpin yang gagal memberikan keselamatan di dunia ini kepada rakyat atau orang bawahan mereka. Terbukti dengan banyaknya tunjuk perasaan dan protes tanda tidak puas hati rakyat kepada pemimpin mereka.

Mencari pemimpin untuk keselamatan hidup di dunia pun hakikatnya terlalu sukar betapalah mencari pemimpin yang dapat menyelamatkan nasib kita di Akhirat. Lebih sukar dan lebih sulit lagi. Melalui ilmu dan sejarah telah membuktikan bahawa hanya para Rasul dan mujaddid sahaja mampu berperanan sebagai penyelamat manusia di dunia dan di Akhirat.

Nabi-nabi dan para Rasul berjaya membawa manusia kembali kepada fitrah semulajadi kejadiannya. Fitrah kejadian manusia adalah mencintai Tuhan. Tuhan yang Maha Baik adalah idola dan merupakan kekasih Agung. Selepas tiadanya nabi dan Rasul, mujaddidlah yang berperanan sebagai penyelamat. Mujaddid adalah Rasul lil Rasul. Rasul yang bukan Rasul. Rasul pada sifat tetapi bukan pada istilah. Sifat Rasul adalah sebagai penyelamat umat. Maka mujaddid juga merupakan penyelamat. Rasul menerima wahyu tetapi mujaddid tidak menerima wahyu. Mujaddid diberi ilham oleh Tuhan. Mereka ini hakikatnya adalah orang Tuhan atau Tuhan melantik mereka sebagai wakilNya.

Menjadikan Tuhan sebagai cinta Agung adalah hakikat matlamat dan buah kepada perjuangan para Rasul dan juga para mujaddid. Jika Tuhan telah menjadi kekasih yang tertinggi, waktu itu apa jua penghalang cinta hakiki ini perlu dipisah atau diceraikan daripada diri kita. Hatta jika isteri menjadi pengacau dalam mendapat cinta abadi ini perlu kita talakkan. Tetapi siapa yang dapat memutuskan perkara serumit dan sesulit ini?

Mujaddid juga merupakan mursyid adalah pemutusnya. Jika kita menerima arahan mursyid agar menceraikan isteri kesayangan, maka di waktu itu hakikatnya mursyid sedang menyelamatkan kita daripada mencintai selain Tuhan. Itulah cara mursyid menyelamatkan hati atau roh pengikut setianya. Kasih sayang mursyid adalah kasih sayang Tuhan jua!

0 comments: