Rabu, 2009 April 08

Rasuah dan Rokok

Rasuah perbuatan keji lagi mungkar. Pemberi dan penerima rasuah sama jahat dan sama sahaja hukumnya di sisi Islam. Rasuah berlaku kerana adanya penawaran atau permintaan. Kedua-dua pihak ada kepentingan dan dapat keuntungan.

Penawaran berlaku selalunya bila pihak yang memberi merasa akan memperoleh keuntungan daripada pemberiannya. Permintaan pula sering terjadi bila pihak yang berkuasa atau pemegang amanah boleh memberi untung atau faedah kepada pihak yang berurusan dengannya.

Jika demikian perlakuan rasuah sukar dibendung oleh undang-undang dan penguatkuasaan semata-mata. Ini kerana pihak penguatkuasaan anti rasuah pun terdedah dan masih ada ruang untuk ditawar atau meminta rasuah sebagai penyelesaian kes.

Dalam Islam mencegah dan membasmi kemungkaran atau maksiat bukan bergantung kepada undang-undang dan penguatkuasaan. Undang-undang dan penguatkuasaan atau lebih dikenali hudud adalah sebagai pagar. Iaitu memagar manusia yang telah jinak dan lunak hati mereka dengan Tuhan. Bukan memagar manusia yang hati mereka masih terlalu liar dan nafsunya masih terlalu rakus dan serakah.

Manusia ada roh, akal, nafsu dan jasad lahir. Roh atau hati kalau sudah liar maka apa hukuman menanti pun orang seperti ini tidak takut dan gentar. Akal pula jika sepanjang masa mencari jalan melakukan kejahatan, tentulah semakin hari semakin canggih kejahatan yang mampu dilakukannya. Nafsu yang memang semulajadinya bersifat rakus, tamak dan haloba tidak mungkin berjaya digertak dengan undang-undang dan anggota penguatkuasa. Hanya jasad lahir sahaja yang mungkin dapat dipenjara, digari, disebat, digantung dan ditembak mati.

Sebagai contoh saya ketengahkan isu rokok. Dalam Islam jumhur ulama mengharamkan amalan merokok. Merokok melibatkan pembaziran, ketagihan, kerugian, sia-sia, suka berkhayal, membahayakan kesihatan dan tiada sedikit pun faedah atau kebaikannya. Sehingga kini kerajaan telah membelanjakan berjuta Ringgit Malaysia untuk kempen berhenti merokok. Larangan dan tegahan telah dikuatkuasakan. Tidak cukup dengan itu kotak rokok pula dimestikan mencetak gambar-gambar yang menyeram dan menjengkelkan perokok. Harga dan cukai rokok juga dinaikan dari semasa ke semasa. Persoalannya apakah hasilnya?

Jumlah perokok makin bertambah. Pelajar sekolah berlumba-lumba mengikuti contoh orang lebih dewasa dalam kerja bodoh ini. Kenapa ini terjadi? Sedangkan untuk merokok tidak mendapat untung apa-apa malah menghabiskan sia-sia.

Jika perbuatan merokok yang jelas tidak berfaedah dan membazir serta membahayakan kesihatan pun sukar dibendung apatah lagi rasuah. Rasuah pada lahirnya memang menguntungkan kedua belah pihak. Pada lahirnya rasuah tidak perlukan kos tetapi terus untung bagi penerima. Bagi pemberi pula hanya mengeluarkan modal awal untuk membolot untung yang lebih besar.

Kesimpulannya jika hati atau roh, akal dan nafsu tidak dididik sehingga jinak maka selagi itu kejahatan dan maksiat tidak mungkin dapat dibenteras malah semakin menjadi-jadi. Oleh kerana persoalan roh, akal dan nafsu adalah urusan Tuhan maka hanya dengan kaedah Tuhan sahaja dapat menjinak dan melunakkannya.

Dalam sejarah dunia hanya para Rasul, mujaddid, guru mursyid dan ulama 'amilin sahaja yang berjaya mengubah hati dan sifat buruk manusia. Mereka ini sahaja yang berjaya mendidik manusia daripada jahat kepada baik, daripada bersifat kebinatangan berubah bersifat umpama malaikat. Inilah kenyataannya bahawa kaedah atau pendekatan undang-undang dan penguatkuasaan selamanya tidak mampu membenteras gelaja rasuah.

Jika UMNO, MCA, MIC, PKR, PAS, DAP dan lain-lain parti-parti politik benar-benar ingin membenteras rasuah maka dicadangkan semua pemimpin dan ahli yang komited berhenti merokok dahulu. Jika rokok yang jelas haram, tidak memberi faedah dan lagi teruk membahayakan kesihatan pun tak mampu nak tinggal apa lagilah rasuah yang sememangnya menguntungkan!

0 comments: