Isnin, 2009 April 06

PRK dan Kabinet Najib

PRK
Esok malam keputusan tiga PRK insyaAllah akan diketahui umum. Kemungkinan keputusan PRK 1-2 (BN-PR) adalah tinggi. Pada umumnya persepsi rakyat belum berubah secara mendadak untuk menyokong BN. Tetapi ada beberapa faktor kemungkinan keputusan akan menjadi 2-1. Jika keputusan 0-3 tentulah sesuatu yang amat mengejutkan dan mencabar PM baru. Ini juga petanda bebanan Najib untuk 'memutihkan' persepsi rakyat terhadapnya adalah tugas utama yang amat sukar sekali.

Keputusan PRK ini juga akan mengubah senarai terakhir kabinet Najib. Tentulah pada masa ini senarai akhir telah pun dikemaskinikan. Namun jika keputusan PRK merupakan sesuatu yang menggemparkan, pasti ianya menyumbang kepada penilaian semula barisan tersebut.

Kabinet Najib
Siapa pun barisan yang ditampilkan sudah bukan menjadi isu utama. Tetapi bagaimana kombinasi dan komposisi anggota kabinet yang dilantik dapat memulihkan keyakinan rakyat kepada pemerintah. Persoalan utama kepada masaalah yang timbul adalah faktor manusia dan sistem. Mampukah barisan yang ditampilkan nanti akan dilihat sebagai mereka yang bersih dan tentunya yang dipercayai dan diyakini amanah dalam tanggungjawab mereka? Begitu juga apakah PM dan kabinet barunya nanti benar-benar mempunyai sistem baru yang lebih baik untuk digantikan dengan sistem yang sedia ada.

Sistem pendidikan, sistem ekonomi, sistem kewangan, sistem budaya, sistem masyarakat, sistem politik seperti sistem pemilihan pemimpin dan sebagainya. Adakah PM mempunyai pasukan yang berwibawa bagi mencari formula atau kaedah terbaik memperbaiki sistem yang sedia ada yang jelas semakin merosakkan dan sedang berhadapan dengan krisis nilai terburuk dalam sejarah.

Faktor Sistem
Sistem ekonomi contohnya sudah kedengaran pendokong dan pengamal sistem kapitalis juga hilang keyakinan kepada sistem mereka. Bahkan mereka telah pun menyalahkan sistem tersebut sebagai punca kepada keruntuhan ekonomi dunia pada masa ini.

Sistem kewangan dunia juga sedang lantang dipertikaikan oleh tokoh ekonomi dan kewangan dunia. Dr Mahathir sendiri telah secara terang-terangan memperlecehkan sistem perbankan konvensional yang diamalkan seluruh dunia terutamanya di negara maju.

Sistem pendidikan negara yang sering dicemuh oleh rakyat sedang hilang nilai dan hala tujunya. Ke manakah arah pendidikan negara. Pada suatu ketika sistem pendidikan hanya dilihat melahirkan manusia yang ada nilai kormesial. Manusia diiktiraf sebagai berpelajaran jika sijil yang dimilikinya ada nilai 'jawatan' atau kerja yang mempunyai gaji lumayan. Faktor moral dan jati diri manusia dalam sistem pendidikan menjadi agenda sampingan bukan keutamaan. Maka lahirlah manusia yang cerdik tetapi rakus nafsunya. Lahir mereka yang bijak pandai tetapi sombong, ego, bongkak, penipu, rasuah, gila pangkat, gila wanita, gila harta dan gila dunia. Inilah akibat sistem pendidikan negara yang dilagang dengan akal semata-mata.

Jika faktor manusia dan sistem ini tidak dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin, maka tiada apa harapan yang boleh diharapkan daripada keputusan PRK dan juga rombakan kabinet baru. Lebih menyedihkan lagi, PM ke 6 ini adalah tokoh yang sememangnya BUKAN menjadi harapan majoriti rakyat terutamanya yang terlalu cintakan kebenaran.

0 comments: