Selasa, 2009 April 07

Perjuangan Belum Selesai

sambungan Manusia Diciptakan...

Bila manusia keluar dari alam rahim maka bermulalah perjuangan. Manusia hidup bukan atas perancangan atau kehendaknya sendiri. Tetapi kenapa manusia dihidupkan? Jawapan kepada persoalan kenapa manusia ini dicipta atau dihidupkan atau pun didatangkan kenalah merujuk kepada Maha Penciptanya iaitu Allah swt Tuhan sekelian alam.

Tuhan yang menciptakan manusia tentulah Tuhan sendiri tentukan kenapa, mengapa dan kemana haluan ciptaanNya ini. Inilah pandangan akal yang waras dan hati yang tulus ikhlas.

Melaui Al Quran Allah ada menyatakan seperti yang bermaksud, "Tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri kepadaKu...".

Dalam ayat yang lain Allah berfirman yang bermaksud,"Sesungguhnya Aku akan jadikan khalifah di muka bumi.."

Inilah dua peranan manusia dicipta dan dihidupkan.

Peranan Pertama: Menjadi hamba Allah. Allahlah tujuan atau matlamat hidup manusia. Semuanya kerana dan untuk Allah. Seluruh jiwa raga, hidup dan mati hanya untuk Allah semata-mata.

Manusia mesti menjadi hamba Allah melalui ibadah asas iaitu rukun Iman dan rukun Islam. Ibadah fadhoilul'amal pula merupakan ibadah tambahan yang utama. Ibadah ini terlalu banyak iaitu yang bersifat sunat dan sunnah. Ibadah umum lebih luas lagi iaitu perkara yang harus dalam urusan kehidupan dari sekecil kecil perkara hingga sebesar-besar urusan perlu menempuh lima syarat supaya menjadi ibadah.

1. Niat mesti betul iaitu kerana Allah semata-mata.
2. Perkara yang dilakukan mestilah harus/mubah dari segi syariat
3. Perlaksanaan urusan tersebut mesti menurut jalur syariat
4. Natijah atau hasil/buah dari urusan berkenaan disalurkan sesuai dengan syariat
5. Dalam melaksanakan urusan tersebut TIDAK meninggalkan ibadah asas atau perkara asas dalam Islam.

Maka melalui seluruh ibadah yang tiga cabang tadi manusia berjalan menuju kepada matlamat menjadi orang yang bertaqwa atau muttaqqin. Allah hanya menjamin keselamatan dan kesejahteraan di dunia dan di Akhirat bagi orang bertaqwa. Tiada satu jaminan pun yang Allah tegaskan bagi mereka yang hanya Islam.

Peranan Kedua: Sebagai Khalifah Allah di muka bumi. Umpama duta Allah ke muka bumi. Ertinya manusia perlu memperjuangkan Tuhan dan hak-hak Tuhan. Seluruh urusan hidup dan kehidupan mesti diselaraskan dengan kehendak Allah swt. Untuk tujuan itu Tuhan telah mengutuskan Rasul-RasulNya memperkenalkan manusia kepada Tuhan. Bila manusia telah benar-benar kenal Tuhan maka terbitlah rasa cinta dan takutkan Tuhan dalam hati sanubari. Dengan takut dan cintakan Tuhan seluruh peraturan Tuhan sangat dijaga dan diamalkan sungguh-sungguh. Inilah contoh teladan bagaimana menjalankan peranan kedua manusia.

Sebagai hamba dan khalifah Allah manusia dibekalkan dengan panduan iaitu Al Quran dan Sunnah. Selepas kewafatan Rasulullah, Al Quran dan Sunnah masih kekal hingga ke hari ini. Cuma pada hari ini yang tinggal kedua-duanya itu hanyalah berbentuk ilmu yang tersemat dalam tulisan atau hafalan. Dalam bentuk praktikal hanya di sudut-sudut atau aspek-aspek tertentu sahaja.

Pada hari ini manusia sudah kehilangan Tuhan, pemimpin dan kasih sayang. Walaupun ada panduan namun hanya berbentuk ilmiah tanpa role model. Rasulullah adalah role model yang hidup di zamannya. Peribadi Rasulullah, ahli keluarga serta sahabat-sahabat besar sudah cukup untuk menjadi contoh ikutan dalam seluruh aspek kehidupan harian. Apa saja persoalan yang timbul dalam kehidupan terus dirujukkan kepada Rasulullah. Namun kebanyakan hanya melihat dan memerhatikan sikap Rasulullah sahaja pun sudah dapat menyelesaikan banyak persoalan. Rasulullah adalah Al Quran yang hidup.

Maka di zaman ini Al Quran dan Sunnah hanya dalam bentuk kaku dan beku. Al Quran dan Sunnah sudah tidak lagi menjadi amalan atau satu cara hidup. Maka bagaimanakah manusia di zaman ini dapat menjadi hamba dan khalifah Allah dengan sebenar-benarnya?

Perjuangan belum selesai. Setelah tiadanya Nabi dan Rasul, umat ini masih ada jaminan setiap awal kurun pasti ada mujaddid. Mujaddid adalah bayangan Rasul. Mujaddid adalah photocopy peribadi Rasulullah. Mujaddid adalah mereka yang memberi nyawa kepada Al Quran dan Sunnah di zamannya. Mujaddid adalah Al Quran dan Sunnah yang hidup di zamannya. Peribadi, ahli keluarga dan para ikhwan mujaddid akhir zaman merupakan contoh teladan dan ikutan umat zaman ini. Pada mereka ada petunjuk yang realiti. Mereka adalah pejuang kebenaran di zaman ini. Mujaddid akhir zaman adalah pemimpin yang Tuhan janjikan untuk kegemilang Islam di zaman ini. Islam akan kembali gemilang berdasarkan faktor janji atau jadual Tuhan. Pemimpinnya, masanya dan tempatnya semua telah diisyaratkan oleh Rasulullah sejak lebih 1400 lalu. Inilah masanya. Hanya menunggu saat dan detik kemenangan janji Tuhan. Nanti manusia akan terpimpin dan dipermudahkan Allah menjadi hamba dan khalifah yang sebenarnya berkat dan karomah golongan bertaqwa yang digelar ikhwan di akhir zaman ini. Perjuangan sedang berjalan dan belum selesai.

0 comments: