Memancing ikan stail kampung ada satu kaedah untuk mengesan jenis ikan, jumlah dan tahap 'kelaparan' mangsa. Sebelum memancing, sejenis 'uras' biasanya diperbuat daripada hampas kelapa goreng disiramkan sekadarnya dalam sungai atau kawasan memancing. Uras yang mempunyai aroma tersendiri akan mula membangkitkan 'semangat' ikan yang sedang lapar. Biasanya seluang, lampam dan beberapa jenis ikan sungai akan segera timbul menyambar uras dengan galaknya. Selepas meneliti jenis ikan yang ada, umpan dan mata kail yang sesuai akan digunakan oleh sipemancing. Ini hanya tamsilan.
Dalam politik semasa DS Najib sudah menaburkan 'uras'nya. UMNO dan BN mungkin tidak menurunkan mana-mana calon di Penanti. Itu semacam uraslah. Tabur dulu, kemudian tengok reaksi. Menarik dan seperti yang diharapkan telah mengundang pelbagai reaksi pro dan kontra.
Strategi DS Anwar
DS Anwar memang sangat berminat dengan suasana riuh rendah. Jika ada PRK tentu boleh adakan gerakan riuh rendah. Maka pakar strategi PKR Saifuddin Nasution telah mengacah Najib sebagai pengecut. Ini reaksi yang menyembunyikan rasa agak kecewa jika benar-benar UMNO dan BN memulaukan PRK Penanti.
Lim Guan Eng sebagai KM Pulau Pinang sememangnya cerdik, sederhana dan rasional. Kebanyakan ulasan dan pandangan beliau mempamerkan sikap seorang yang jujur dan berprinsip. Beliau tidak gembira dengan stail politik Anwar tetapi menyerahkan semula pendekatan tersebut kepada Penasihat PKR itu.
Strategi Anwar akan bertemu buku dengan ruas. Anwar 'tewas' dengan mentor politiknya Tun Dr Mahathir memang wajar. Tun Pak Lah bukan lawan sebenarnya. Najib dengan Anwar mempunyai sejarah karier politik tersendiri yang panjang.
Anwar memilih jalan kontroversi, berliku dan penuh dengan gimik. Mula terserlah dengan memimpin pelajar berdemontrasi hinggalah kepada mencetuskan hura hara dalam negara semasa pemecatan beliau. Membina populariti sebagai seorang pejuang Islam kerana sering membawa contoh kepimpinan Syaidina Umar r.a dalam siri ceramahnya. Demi survival politik kini Anwar bersikap sangat liberal. Liberal bahasa sopan. Bahasa yang mudah difahami adalah bermuka-muka. Bukan sekadar talam dua muka tapi talam banyak muka. Itulah sebenarnya sikap orang liberal.
Anwar hidup dengan gaya liberal, gimik dan kontroversi. Jika keadaan suram, sunyi dan tenang Anwar mati kutu. Jadi dia akan cuba cetuskan keadaan atau habitat yang selesa untuknya. Isu atau gimik yang menimbulkan suasana riuh rendah. Anwar bukan memancing tetapi 'merunduk' ikan. Beliau akan mengocak air sehingga keruh, ikan kecemasan dan panik, maka banyaklah yang masuk perangkap.
Strategi DS Najib
Najib muka baik, tertib, tenang tetapi sangat berstrategi. Beliau cepat mengesan sesuatu pergerakan bawah air. Sekali riak air, tau jantan betinanya. Bukanlah sehebat itu mungkin. DS Najib mempunyai laluan politik yang tersusun, berperingkat-peringkat dan 'nampak bersih'. Dalam karier politik beliau tidak pernah disabitkan dengan salah laku. Itulah jalan yang dipilih oleh Najib.
Semasa DS Anwar membina Team Wawasan, Najib menjadi penyokong kanannya. Memang patut beliau berganding dengan Anwar kerana sejak daripada Pemuda lagi mereka telah bersama. Tetapi Najib tidak terpalit dengan 'kemusnahan' Anwar seperti mana Zahid Hamidi. Najib selamat dalam banyak situasi genting. Apakah ramuan Najib?
Jika dilihat melalui persepsi rakyat umum terhadap Najib, nasib tentu tidak menyebelahi beliau. Sejak beberapa lama dulu lagi, Najib sering diselubungi isu dan skandal. Perempuan terutamanya. Isu kematian wanita model Monggolia menjadi kemuncak tanggapan umum terhadap Najib jadi begitu buruk, hodoh, keji dan benci. Walau pun begitu, Najib masih berpeluang menduduki kerusi PM. Kenapa?
Najib menggunakan pendekatan halus, bersahaja, tolak ansur tetapi runcing. Bagaikan sembilu. Menusuk dan sangat berbisa. Hidupnya dihiasi dengan lakunan, saduran, berselaput dan hipokrit. Pakaian luarnya cantik tetapi dalam busuk dan hangit!
Hakikatnya Anwar dan Najib mempunyai kesamaan. Lain luar lain di dalam. Tuhan hanya sekadar slogan dan siulan. Bukan keyakinan dan pegangan. Inilah produk yang lahir melalui sistem demokrasi. Jika Komunis menafikan wujudnya Tuhan, demokrasi pula tidak tentu siapa Tuhan mereka. Tuhan diperalat bukan menjadi matlamat. Dusta dan dosa bukan hitungan dalam kancah politik barat. Sangat jahat dan dahsyat.
Strategi Agung dan Raja-Raja
Seri Paduka Yang Di Pertuan Agung bersama Permaisuri yang bertudung berangkat ke Chile dan akan ke Uruguay juga. Sultan Perak menyatakan bahawa Raja di atas politik dalam titah sempena hari keputeraan yang ke 81 baginda.
Situasi politik semasa telah memaksa untuk menerima semula peranan istana. Termasuk di Thailand. Taksin yang dulunya bertentangan dengan Raja, kini merayu agar pihak Raja memainkan peranan demi keamanan dan ketenteraman politik Thailand. Inilah senario yang menyaksikan kembalinya kuasa Raja-Raja khususnya dalam negara.
Sultan Mizan berjiwa agama. Pendidikan formal dan informal yang dilalui sangat mematangkan baginda. Almarhum Ayahanda baginda juga sangat beragama. Senangkah hati baginda mendapat memanda Perdana Menteri yang bersalut noda?
Baginda Agung sejak awal menaiki tahta telah mengkaji resepi terbaik bagi menjamin Islam akan selamat berada dibawah naungan pemerintahannya. Pernah baginda meluahkan keyakinan tersebut kepada bonda baginda. Baginda akan berperanan demi agama!
Peranan siapa?
Kemelut ekonomi, politik dan budaya semakin memuncak. Seluruh dunia, termasuk dalam negara kita. Angkara siapa sehingga terjadi tiba-tiba. Ini semua Tuhan punya rencana. Bukankah Tuhan ada menyatakan yang bermaksud," Kamu membuat tipudaya dan Tuhan juga ada tipudaya, sesungguhnya tipudaya Tuhan adalah sebaik-baik tipudaya.."
Tuhan sedang merasakan pada manusia akibat daripada tipudaya manusia sendiri. Manusia mengenepikan Tuhan dalam urusan mereka. Bila mereka tersepit barulah mereka kembali kepada Tuhan. Bukankah mereka cuba menipudaya Tuhan? Maka rasakanlah tipudaya Tuhan pula. Tuhan pulangkan semua masaalah kepada kebongkakkan manusia semula.
Siapa yang kena? Mereka yang cuba menipu orang dan menipu Tuhan!
Isnin, 2009 April 20
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan