Jumaat, 2009 April 03

Najib PM ke 6 - Sukacita atau Dukacita?

Hari ini mantan PM ke 5 telah bersara sebagai PM sekali gus di anugerahkan Tun, begitu juga isterinya.

PM ke 6, Najib Razak telah selamat mengangkat sumpah dihadapan YDP Agung petang tadi. Hampir seluruh saluran media eletronik menyiarkan acara tersebut secara lansung.

Hari ini penghulu segala hari nisbah seminggu. Jumaat penuh rahmat dan berkah. Itulah yang kita yakini sebagai mana diberita Rasulullah.

Pada hari ini sebahagian rakyat merasa amat sukacita. Mereka tentunya terdiri daripada pembesar yang menunggu habuan masing-masing. Konco-konco dari semua lapisan yang mengharapkan limpahan nikmat juga menumpang rasa seronok. Selain mereka hanya yang suka menang sorak sahaja terikut-ikut merasa gembira terutama yang ketagih berita dari media arus perdana.

Namun kebanyakan rakyat jelata tidak merasa apa-apa perubahan dan kesan terhadap peristiwa yang berlaku pada hari ini. Mereka hanya ada mata untuk melihat. Fikiran dan perasaan sentiasa bergelut dengan kehidupan harian. Susah senang, perit jerih keringat tiada siapa ambil peduli hanya ditanggung diri sendiri. Inilah hakikat mereka yang hidup berasaskan tulang empat kerat atau memerah keringat demi menyambung hayat.

Para penentang bercampur rasa. Hiba dan suka silih menerpa. Peluang menghujani cerca semakin terbuka. Tokoh utama negara terlalu banyak noda. Sekali pun tidak pernah dibuktikan secara nyata, namun persepsi hodoh rakyat kepadanya sudah terlalu lama. Bagaimana pun kuasa akan diguna, bagi menutup bangkai bernyawa. Inilah cabaran musuh Najib, untuk mengheret beliau bersama mereka.

Hari pertama MCA sudah pun mendesak dan meminta-minta. Najib pasti tidak dapat bertahan lama. Jika untuk memuaskan hati semua, segala harta dunia dicaing pun tak akan dapat sama rata. Inilah formula yang tiada pada orang yang cinta dunia. Mereka tidak faham bagaimana menjinakkan nafsu serakah manusia. Semakin diberi, dihulur semakin menjadi jadi kemaruk dan halobanya.

Maka pada hari ini orang yang merindui kebenaran muncul dan menjelma semula amat berdukacita. Kenapa manusia sebegini masih 'direstui' mengepalai negara tercinta. Bukan kerana hasad dan iri hati kepadanya. Paling mendukacitakan kerana merasa diri sangat berdosa. Hingga Tuhan belum lagi menunaikan janji-janjiNya. Bukankah akhirzaman Islam akan kembali bertahta. Bermula dengan kuasa sebuah negara. Kita yakin negara tersebut adalah Malaysia. Masanya sudah tiba, sepatutnya terjadi bila-bila masa sahaja. Tentu ada sebabnya sehingga tergendala. Seolah-olah Tuhan sedang menduga kita. Yakin atau ragu dengan janjiNya, atau semakin menggandakan rintihan, harapan, penghambaan kepadaNya. Taubat dan sedekah berlipat ganda kerana ia lebih tajam dari doa. Inilah perasaan sebilangan kecil hamba yang cinta dan rindu kepada kebenaran yang nyata. Terutama ketuanya, Fatta Attamimi yang lebih masyhor disebut Abuya.

Mungkinkah Najib akan segera tersungkur sebelum kuasa sempat diguna?

0 comments: