Sejak Najib memegang jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia sudah beberapa kali media arus perdana menyiarkan aktiviti Najib turun padang. Berjalan di tengah kota Kuala Lumpur, menaiki pengangkutan awam dan singgah makan di gerai tepi jalan. Inilah antara contoh pendekatan yang Najib ingin tonjolkan berhubung slogan perubahan, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.
DS Najib semakin ghairah melakukan perubahan fizikal. Perubahan struktur kabinet, kementerian dan kini kepada sektor awam pula. Perubahan struktur dalam UMNO juga sedang giat dilaksanakan. Ketua Perhubungan Negeri telah banyak ditukarkan. Beberapa perubahan dalam undang-undang tubuh UMNO juga khabarnya akan diubah tidak lama lagi. Ini semua perubahan fizikal.
Umpama mengubah susunan perabot dalam rumah. Jika perubahan besar bolehlah ibarat mengubahsuai plan rumah secara keseluruhannya. Mungkin beberapa bilik dimansuhkan atau menambah beberapa ruang baru. Boleh jadi dapur dipindahkan ke sebelah hadapan atau bilik tidur utama diturunkan dari tingkat atas ke bawah. Demikianlah perubahan fizikal yang dimaksudkan.
Bolehkah perubahan fizikal mencorak semula sikap dan tingkah laku ahli rumah yang sedang bersengketa? Mampukah perubahan fizikal menukar persepsi jiran-jiran yang semakin meluat dan membencinya?
Jika hanya perubahan fizikal dilakukan, bukan sahaja kepemimpinan dan anggota UMNO tidak berubah dari sudut sikap dan tingkah laku malah persengketan antara mereka pasti akan menjadi bertambah parah. Hanya masa dan keadaan yang akan membuktikan kebenaran ini.
Kebencian dan perasaan meluat rakyat terus membara dan tidak mampu dibendung hanya dengan perubahan fizikal.
Perubahan minda, jiwa, sikap dan perangai adalah sesuatu yang dituntut pada masa ini. Memang tiada pemimpin yang mampu mengubah minda, jiwa, sikap dan perangai manusia kecuali mereka yang Allah berikan ilmunya. Sebab untuk mengubah manusia daripada jahat kepada baik, daripada suka bergaduh sesama sendiri kepada berkasih sayang dan daripada mementingkan diri kepada mengutamakan orang lain hanya mampu dilakukan oleh orang Tuhan. Apakah Najib boleh berbuat demikian?
DS Najib sedang berusaha untuk mengukuhkan kedudukannya yang begitu goyah dan rapuh. Beliau akan melakukan berbagai tindakan drastik. Dalam masa yang sama Najib tidak akan berdiam diri dengan musuh-musuhnya terutama dalam parti sendiri. Masa yang begitu suntuk menjadikan Najib hampir tiada kesempatan membaiki semua kelemahan dan kerosakan dalam parti dan kerajaan.
Perkembangan semasa yang kita lihat kepimpinan dan ahli UMNO sendiri masih mempertikaikan banyak tindakkan DS Najib. Sifat dan sikap peribadi Najib masih menjadi keraguan dan kesangsian rakyat. Malah barisan kepimpinan kabinet Najib mula mendapat kritikan. MT UMNO yang dilantik juga nampaknya mula mengecewakan sesetengah pihak dalam UMNO. Apakah suasana suram dan kelabu ini mampu dijernihkan dengan perubahan demi perubahan yang DS Najib lakukan?
Najib mungkin tidak sedar bahawa beliau sedang menuruni puncak pesada kekuasaan yang baru sebentar didudukinya. Apakah Najib turun menggelonsor atau menggunakan lif?
Betapa malangnya suatu perjalanan yang begitu panjang dan teratur hanya seakan-akan sempurna untuk beberapa ketika sebelum menjunam ke jurang yang dalam. Inilah ramalan yang tidak perlukan kepercayaan tetapi masih boleh difikirkan, apakah ada kemungkinan benarnya?
Selasa, 2009 April 28
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)


0 comments:
Catat Ulasan