Rabu, 2009 April 22

Mana Lebih Bahaya; Semangat Perkauman atau Semangat Ideology

Terjadinya berbagai jenis kaum atau bangsa-bangsa di dunia adalah ketetapan Allah, Tuhan Yang Maha Pencipta. Setiap kejadian yang Tuhan jadikan tentu ada hikmahnya. Hikmah yang tersirat dan tersurat. Maka silaplah kalau kita menjadikan wujudnya berbagai kaum atau bangsa sebagai punca masaalah.

Tuhan jadikan bangsa-bangsa di dunia agar manusia hidup saling kenal-mengenal. Saling bantu membantu. Saling hidup berkerjasama dan bertolak ansur. Kehidupan manusia bertambah menarik dan indah dengan wujudnya pelbagai kaum di alam buana. Bayangkan jika seluruh dunia didiami oleh hanya satu bangsa sahaja!

Dunia dari sejak Nabi Adam telah menyaksikan bahawa semangat perkauman BUKAN punca masaalah besar. Terjadinya peristiwa membunuh yang pertama dalam sejarah manusia bukan kerana semangat perkauman. Bahkan mereka yang membunuh dan terbunuh terdiri daripada adik beradik kandung satu ayah dan satu ibu. Itulah yang dapat disaksikan apabila Qabil membunuh Habil yang keduanya adalah putera Nabi Adam dan Siti Hawa.

Jika begitu apakah punca masaalah manusia yang pertama dan utama? Jawapan yang ringkas dan tepat adalah nafsu. Nafsu yang dibantu oleh syaitan dan iblis menjadikan manusia sangat cintakan dunia. Maka semangat CINTA DUNIA merupakan ibu segala kejahatan. Rasulullah pernah menggambarkan kepada kita yang bermaksud,"Cinta dunia kepala segala kejahatan".

Dalam tulisan ini saya tidak memperincikan huraian tentang cinta dunia. Secara ringkasnya cinta dunia adalah cinta kepada selain cinta Tuhan dan untuk Tuhan! Akibat cinta ditujukan bukan kerana dan kepada Allah maka cinta itu akan membawa kepada cinta dunia. Antara contoh cinta dunia ialah cinta pangkat, jawatan, kekuasan, harta, wang, kekayaan, wanita, glamour, gila puji, gila nama dan seumpamanya.

Semangat ideology pula adalah platfom merealisasikan cinta dunia. Tokoh pemimpin biasanya menggunakan landasan sesuatu ideology atau fahaman politik untuk memenangi pemikiran dan perasaan rakyat. Kenyataan yang terjadi ialah ideology atau fahaman poitik adalah penyumbang besar kepada masaalah pergaduhan, permusuhan dan seterusnya peperangan di dunia.

Dalam sejarah negara Malaysia sendiri terjadinya rusuhan kaum hanya pada Mei 1969. Itu pun sebenarnya bukan kerana kaum yang terlibat suka bergaduh sesama mereka. Tetapi beberapa pemimpin kaum tertentu memperalatkan kaum masing-masing. Pemimpin kaum membakar semangat kemarahan dan kebencian terhadap kaum lain. Tercetuslah huru-hara akibat daripada propaganda pemimpin kaum tertentu sebenarnya demi kepentingan mereka semata-mata.

Seperti di Bosnia, sebelum pemimpin Crotia dan Serbia memperalatkan kaum mereka, tiga kaum utama boleh hidup berjiran dengan aman. Tetapi apabila pemimpin-pemimpin kaum yang dirasuk gila kuasa memperalatkan kaum mereka terjadilah apa yang dunia saksikan kononnya peperangan saudara dan penghapusan etnik. Hakikatnya adalah peperangan kerana gila kuasa atau cinta dunia yang menghambat jiwa pemimpin mereka.

Di Malaysia kita telah saksikan kerana ideology atau fahaman politik berlaku perpecahan kasih sayang antara ahli keluarga, saudara mara dan penduduk sekampung. Kerana berlainan fahaman politik sanggup memutuskan silaturahim bahkan bermusuhan hingga ke liang lahat. Atas alasan berlainan parti atau fahaman politik tidak boleh berbincang atau bermuzakarah sekali pun demi kebaikan agama Islam. Inilah bahana ideology atau fahaman politik. Penyokong parti politik yang membuta tuli sanggup bersikap dan bertindak ganas, kasar dan bengis kepada penyokong parti lawan sekali pun satu bangsa dan satu agama. Apakah ini yang dikatakan lebih baik dari sifat perkauman yang Allah ciptakan secara semulajadi?

Sememangnya naluri manusia akan lebih cenderung kepada mereka yang ada banyak persamaan. Maka jika sesama bangsa lebih mudah bertolak ansur itu adalah sifat semulajadi. Namun sikap bertolak ansur sesama bangsa perlu dididik supaya diluaskan kepada mereka yang berlainan bangsa. Inilah yang dianjurkan oleh ajaran Islam yang mulia.

Hakikat sebenar yang tidak dapat ditolak bahawa perkelahian, pergaduhan, permusuhan dan peperangan yang berlaku di seluruh dunia sejak dulu hingga sekarang kebanyakannya berpunca daripada cinta dunia termsuk semangat ideology atau politik. Ideology adalah ciptaan manusia yang menolak peraturan dan peradapan dari Tuhan. Ideology adalah ciptaan manusia yang menolak sistem Tuhan. Ideology diciptakan untuk membunuh jiwa beragama oleh musuh Islam terutamanya oleh orientalis. Maka perjuangan politik berlandaskan ideology tidak kira ideology mana sekali pun adalah pemusnah agama, bangsa dan kemanusiaan.

Sebab itu menurut fahaman politik Barat, "Politic Is Dirty" atau POLITIK ITU KOTOR(JIJIK/NAJIS/BANGKAI). Benarlah sabda Rasulullah bahawa dunia ini bangkai. Maka hanya anjing-anjing yang kelaparan akan memburunya. Orang politik menyuburkan cinta dunia mereka dengan beralasan memberi khidmat kepada masyarakat. Benarkah?

Kenapa untuk memberi khidmat yang baik sanggup bergaduh dan bermusuh? Kenapa bukan sahaja bergaduh antara parti dengan parti tetapi juga sesama dalaman parti pun bergaduh? Benarkah orang yang boleh memberi khidmat kepada rakyat ialah mereka yang berjaya menumbangkan musuh walau dengan apa cara sekali pun?

Rasulullah boleh berkhidmat kepada musuh baginda. Dalam sejarah agung Rasulullah terdapat satu kisah seorang wanita Yahudi yang selalu menyakiti Baginda dengan membuang najis dan duri di jalanan Rasulullah. Pada suatu hari Rasulullah dapati jalan yang biasa dilaluinya tidak ada najis atau duri. Maka melalui maklumat yang disampaikan tahulah Baginda bahawa wanita Yahudi tersebut sedang sakit berat. Rasulullah lalu menziarahinya. Sewaktu wanita Yahudi tersebut melihat kedatangan Rasulullah, gementarlah hatinya lalu bertanya, "Wahai Muhammad, apakah engkau mahu membalas dendam terhadanya perbuatanku?" Rasulullah menegaskan tidak tetapi cuma ingin bertanya adakah apa-apa yang boleh Rasulullah bantu beliau. Maka terpegun dengan akhlak Rasulullah, Islam wanita Yahudi berkenaan.

Inilah contoh pemimpin Agung yang dikagumi oleh seluruh bangsa di dunia termasuk musuh Islam sekali pun. Maka jangan mudah terpedaya dengan tokoh politik yang sanggup menghina, mencaci, memaki, bergaduh, bermusuh dan bersengketa hanya kerana fahaman politik. Hujah agama cuma sebagai alat untuk menyembunyikan cita-cita politik kerana sifat cinta dunia.

Jelaslah bahawa semangat ideology atau fahaman politik lebih bahaya dan telah pun menyumbang kepada kerosakan dan kemusnahan yang lebih besar berbanding semangat perkauman yang bersifat semulajadi. Jika berlaku juga semangat perkauman sebagai punca pergaduhan sebenarnya semangat tersebut diperalatkan oleh mereka yang cinta dunia dan gila kuasa.

0 comments: