Cerita 1. Baru-baru ini ada seorang artis dengan bangganya berkata bahawa penyanyi rock banyak masuk syurga kerana mereka jujur. Beliau berkata demikian sewaktu memberi komen kepada peserta yang menyertai pemilihan program di bawah kendaliannya. Inilah hujah ikut akal dia.
Cerita 2. Ada seorang artis wanita mendakwa dia menggunakan rawatan kecantikan adalah kerana bersyukur dengan nikmat Tuhan. Artis ini juga mengatakan bahawa kecantikan adalah nikmat Tuhan yang patut dikongsikan bersama dengan sesiapa saja.
Cerita 3. Seorang kawan pernah memberi komen kenapa sibuk-sibuk pasal haram merokok. Ini soal peribadi, bukan ambil duit orang. Kalau budak-budak nak merokok biarkan kalau mereka mampu, melainkan jika menyusahkan orang lain atau emak bapaknya.
Inilah antara contoh kebanyakan hujah menggunakan akal semata-mata. Sebab itu hanya dengan akal, walau bagai mana cerdik sekali pun manusia itu tetaplah mereka dikira ahli fitrah jika tidak menerima seruan kebenaran yang datang melalui Rasul.
Kedatangan setiap Rasul kepada kaumnya sebagai pembawa wahyu. Kandungan wahyu adalah persoalan tauhid dan syariat. Tauhid adalah ilmu mengenal dan menghubungkan diri dengan Allah Tuhan Rabbul'alamin. Syariat pula adalah peraturan yang Tuhan tetapkan khusus kepada makhluk bernama manusia. Sebagai contoh, bila manusia mencipta sesuatu barangan seperti kereta maka akan disertakan juga dengan katalog atau manual. Katalog atau manual barangan adalah panduan penggunaan dan penjagaan yang tepat dan selamat. Itulah tujuan katalog kerana hanya yang merekacipta tahu kekuatan serta kelemahan barangan ciptaan mereka.
Tuhan Yang Maha Mencipta lagi Maha Bijaksana tentulah lebih hebat lagi. Oleh kerana manusia adalah makhluk ciptaan Tuhan maka sudah tentu bersamanya ada katalog atau manual. Sebab itu setiap zaman dan setiap kaum Tuhan utusankan para Rasul. Hanya sanya Nabi Muhammad saw adalah Rasul kepada semua kaum dan Rasul sepanjang zaman. Maka tanpa Rasul bagaimana cerdik sekali pun manusia itu tetap dikira sebagai ahli fitrah kerana hanya dengan akal manusia tidak akan menemui kebenaran.
Maksud kebenaran ialah mengenal dan menghubungkan diri dengan Tuhan juga mengatur hidup dengan tepat dan selamat sebagai mana yang Tuhan kehendaki. Kenapa hanya dengan akal manusia tidak mampu menemui kebenaran?
Akal manusia kemampuannya sangat terbatas dan terhad. Kemampuan akal manusia antara satu dengan lain tidak sama. Akal manusia tidak mudah untuk diselaraskan dalam banyak perkara. Kebanyakan manusia hanya mampu berfikir perkara yang dapat dilihat, dirasa dan dialaminya sahaja. Terlalu sedikit manusia mampu memikirkan perkara yang berbentuk teori, abstrak dan lebih-lebih lagi perkara ghaib.
Allah yang menciptakan manusia dan akal manusia Maha Mengetahui kekuatan dan kelemahan manusia. Maka dengan sebab itu Allah datangkan katalog atau manual manusia melalui para RasulNya. Para Rasul membawa katalog berbentuk ilmiah yakni wahyu dan juga praktikal iaitu contoh teladan.
Sebab itu kita lihat dengan akal manusia mampu membina tamadun material sehingga menerokai angkasaraya. Manusia yang berjaya membangunkan tamadun kebendaan dengan akal tetapi menolak wahyu telah musnah kemanusiaan mereka. Di Barat contohnya mereka sangat mengagungkan kemampuan dan pencapaian akal. Apa yang kita dapat saksi ialah berpandukan akal mereka menghalalkan apa juga cara hidup termasuk berbogel di khalayak ramai seperti tiada beza dengan binatang. Bukan sahaja boleh ditonton oleh orang di sekiling mereka, malah dengan kecanggihan teknologi internet dapat dilihat sehingga serata dunia. Inilah akibat jika manusia hanya bergantung pada akal semata-mata.
Jika hanya dengan jujur sahaja boleh masuk syurga maka buatlah kejahatan besar mana sekalipun tetapi mengaku. Mengaku kejahatan tanpa rasa bersalah dan menyesal adalah keegoan yang paling tinggi. Syaitan mengaku bersalah tetapi tidak mahu bertaubat. Maka nerakalah padahnya.
Memanglah kecantikan wanita itu diciptakan Tuhan untuk di nikmati. Tetapi kenalah mengikut peraturan. Hanya kepada suami sahaja. Di situlah terletaknya harga diri dan kehormatan wanita. Jika tidak maka mampukah untuk wanita itu berkongsi dengan sesiapa sahaja yang ingin bukan sekadar melihat kecantikan tetapi lebih dari itu?
Sesuatu kejahatan seperti merokok adalah bersifat racun. Rosak lagi merosakkan. Mudharat lagi memudharatkan. Sebab itu kita bukan sahaja disuruh tinggalkan kejahatan tetapi juga mencegah dan menghalang kejahatan daripada berlaku. Jika kita melakukan kejahatan di tengah masyarakat kejahatan tersebut akan berjangkit juga akhirnya. Samada kesan secara langsung atau tidak langsung, itu saja bezanya.
Jadi jangan ikut akal semata-mata. Lebih-lebih lagi janganlah agama diolah menurut akal kita, sebaliknya akal kita yang patut dan wajib menurut dan patuh kepada agama.
Jumaat, 2009 April 24
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)


0 comments:
Catat Ulasan