Ahad, 2009 April 12

Alat Dan Matlamat

Matlamat hidup manusia adalah untuk mendapat keredhoan Allah. Allah adalah cinta agung. Segala-galanya untuk dan kerana Allah jua. Ringkasnya setiap peribadi perlu menjadi orang yang bertaqwa.

Sebagai khalifah Allah di muka bumi hendaklah menegakkan kalimah Allah. Kalimah Allah dalam ertikata yang ringkas adalah hukum-hakam yang Allah telah tetapkan. Hanya ada lima hukum iaitu wajib, haram, sunat, makhruh dan harus(mubah). Inilah matlamat perjuangan hidup selaku hamba Allah dan khalifahnya.

Dalam memperjuangkan matlamat tersebut mesti dilaksanakan dalam dua bidang utama. Pertama hubungan dengan Allah dan kedua hubungan dengan manusia. HabblumminAllah wa habblumminannas. Itulah dua bidang yang perlu ditegakkan matlamat tersebut.

Adapun alat untuk ditegakkan matlamat itu bermula dari diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya alam sejagat. Dalam diri termasuk ilmu, masa, tenaga, harta, pangkat dan apa saja yang kita ada mesti dijadikan alat untuk menegakkan matlamat. Begitu juga dalam keluarga ada isteri-isteri, anak-anak dan kehidupan berkeluarga.

Sebagai contoh untuk mudah difahami, jika kita ada ilmu maka mestilah kita tegakkan hukum-hukum Tuhan pada ilmu tersebut. Mana ilmu yang wajib dipelajari mesti dipelajari, yang wajib di ajar mesti diajarkan, yang wajib diamal mesti diamalkan begitulah seterusnya. Jika ada pangkat pula, apa yang wajib kita laksanakan maka mesti dilaksanakan sesuai dengan pangkat kita. Jika kita ada anak buah, maka soal fardhu ain anak buah mesti diambil tahu. Jika didapati ada anak buah yang belum lengkap ilmu fardhu ainnya, maka wajib diajarkan atau diadakan kelas fardhu ain. Bila masuk waktu solat wajib mengajak anak buah bersolat sama atau memberi peringatan secara berhikmah agar menunaikan solat fardhu. Begitulah seterusnya.

Maka fahamlah kita bahawa apa saja nikmat kurniaan Tuhan adalah alat untuk kita menegakkan matlamat hidup. Alat untuk menegakkan hukum hakam Allah yang lima seterusnya mendapat keampunan dan keredhoan Allah. Inilah matlamat hidup manusia yang mempunyai dua peranan iaitu sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi.

0 comments: