Jumaat, 2008 November 14

MERENUNG SEJENAK

Setelah melihat perkembangan politik, ekonomi dan isu semasa seluruh dunia sejak kebelakangan ini, maka beberapa kesimpulan boleh dibuat antaranya;

1. Manusia semakin jauh meninggalkan Tuhan yakni Allah. Tuhan telah dijadikan keperluan bermusim bukan keperluan sepanjang masa.

2. Manusia semakin mengenepikan peranan Tuhan dalam hidup mereka. Semua perkara dilihat dan dibaca tanpa mengambil kira peranan Tuhan. Persoalan politik, ekonomi dan isu semasa seperti bencana alam sudah tidak lagi dihubungkan dengan Tuhan. Seolah-olah Tuhan sudah tidak lagi berperanan.

3. Ulama, cendikiawan, cerdik pandai, pendakwah, ustaz dan guru agama tidak lagi berperanan mendidik manusia mengenal Tuhan. Terutamanya mereka yang diberikan peluang bercakap dan bersiaran di media cetak dan elektronik.

4. Maka jelaslah manusia sudah berTuhankan akal fikiran dan nafsu semata-mata. Mereka sangat mengagungkan idea, fikiran dan fakta. Sedangkan akal adalah makhluk ciptaan Tuhan yang kemampuannya sangat terbatas sekali. Buktinya akal manusia boleh cedera, sakit, buntu, celaru, keliru dan gila. Sebenarnya akal tidak berdiri sendiri. Akal adalah makhluk ciptaan Tuhan.

5. Penganalisa dan pengulas politik atau isu semasa jarang mengaitkan kejadian dan peristiwa yang berlaku sebagai pengajaran dan peringatan Tuhan. Mereka lebih mengutamakan fakta kejadian, bukan iktibar. Sedangkan Tuhan menceritakan kisah para nabi di dalam Al Quran tidak menjadikan angka atau tarikh keutamaan. Tetapi pengajaran dan peringatanlah yang paling utama!

6. Fakta seperti angka dan tarikh jika diberikan sebanyak mana pun tidak akan mengubah sikap dan peribadi seseorang. Jelasnya fakta, angka atau tarikh tidak mungkin mampu mengubah sikap manusia.

7. Kesedaran, pemahaman, contoh tauladan dan ilmu merupakan antara yang dapat memotivasikan manusia untuk mengubah sikap dan melakukan anjakan jiwa.

8. Allah berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, sehinggalah mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka”.

9. “Apa yang ada dalam diri mereka”, iaitu hati. Bermaksud hati perlulah diubah terlebih dahulu iaitu daripada bersifat mazmumah (keji) kepada bersifat mahmudah (terpuji).

10. Zaman IT adalah zaman maklumat. Maklumat tidak membina insane. Yang membina insane atau insaniah adalah ilmu. Ilmu perlu dipelajari, difahami, diyakini, diamalkan, dihayati seterusnya diperjuangkan. Sedangkan maklumat hanya sekadar pengetahuan atau mental exercise.

11. Ilmu perlu diterjemahkan dengan sikap dan cara hidup. Maklumat hanya tinggal dalam fikiran tidak mungkin dapat dihayati dalam kehidupan. Inilah perbezaan ilmu dengan maklumat yang tidak diambil peduli.

12. Tanpa ilmu manusia hidup berpandukan akal semata-mata. Nafsu yang jahat tidak mungkin dapat ditundukkan hanya dengan akal. Nafsu perlu dididik dan dilawan, itulah mujahadahtunnafsi. Hanya dengan ilmu yang tepat dapat membantu untuk mendidik nafsu.

13. Untuk mendapat ilmu, perlukan guru dan belajar bersungguh-sungguh. Ilmu sahaja tidak memadai. Pimpinan sangat diperlukan untuk dapat mengamalkan ilmu. Setinggi mana pun ilmu dimiliki seseorang masih perlukan pimpinan. Untuk memahami dan mendidik jiwa yang terlalu rumit dan rahsia perlu mendapat pimpinan guru mursyid.

14. Umat Islam perlukan pemimpin yang mampu membawa hati dan roh kepada Tuhan sehingga mendapat rasa cinta dan takutkan Tuhan. Rasa cinta kepada Tuhan akan mendorong manusia berkasih sayang sesama manusia.

15. Apakah manusia belum sedar lagi tentang isyarat dan peringatan Tuhan? Seluruh system hidup ciptaan manusia sedang menuju kehancuran. Lihatlah alam semesta pun sedang menurut perintah Tuhan dengan menyampaikan pesanan agar kembali kepada Tuhan.

16. Larilah kepada Tuhan dan sekali kali jangan lari dari Tuhan. Carilah orang Tuhan yang memang sentiasa bekerja membawa manusia kepada Tuhan. Penyelamat manusia di dunia dan Akhirat yang datang setiap zaman seperti sabda junjungan.

Sabtu, 2008 November 08

Ketuanan Rakyat : Fahaman Karut Lagi Kolot

Ketuanan Rakyat adalah fahaman karut lagi kolot. Fahaman ini dilihat terlalu kabur kerana belum jelas dasar dan prinsip-prinsipnya. Perjuangan ketuanan rakyat adalah mirip atau menyamai fahaman liberal dan sosialis. Fahaman atau ideologi ini kononnya mahu memberi peluang keadilan dan kesamarataan kepada seluruh lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Marilah kita sama-sama berfikir perkara-perkara di bawah ini;

1. Rakyat memilih pemimpin tidak kira apa agama dan bangsa pemimpin tersebut. Maka pemimpin yang dipilih sudah tentu mengikut kaca mata dan selera rakyat. Jelasnya mengikut keyakinan agama, tahap akademik dan pengalaman rakyat.

2. Jika majoriti rakyatnya bodoh, maka tentulah mereka memilih pemimpin yang bodoh juga. Jika majoriti rakyatnya suka rasuah, maka pemimpin yang dipilih tentulah juga dari kalangan yang suka bagi rasuah.

3. Mungkin terdapat pemimpin yang telah dipilih oleh rakyat cuba membuat sesuatu rancangan untuk mengubah minda atau sikap rakyat sedangkan tindakan demikian kadang-kadang boleh mengundang kemarahan atau kebencian rakyat.

4. Jika terjadi demikian rakyat akan mengancam untuk menjatuhkan pemimpin tersebut. Hasilnya pemimpin yang dipilih tidak akan berbuat apa-apa perubahan jika menimbulkan kemarahan atau kebencian rakyat.

5. Sekiranya sesebuah negara itu jumlah penduduk yang bijak hanya sedikit, maka rakyat yang bijak tidak mungkin berjaya memilih pemimpin yang bijak. Jika mereka yang bijak berjaya menjadi pemimpin tentulah kerana telah berjaya memanipulasi kebodohan rakyat. Ketuanan rakyat sudah tiada lagi.

6. Sekiranya terjadi majoriti rakyat adalah bijak dan pandai, maka tentulah mereka akan memilih pemimpin yang bijak dan pandai juga. Persaingan di kalangan bijak pandai belum menjamin tidak berlakunya penyelewengan dan rasuah. Sedangkan jenayah rasuah kerap berlaku di kalangan bijak pandai terutama jika mereka berkuasa.

7. Jika kriteria pemimpin yang patut dan wajar dipilih adalah di kalangan mereka yang bijak pandai, maka tentulah rakyat kena lebih bijak untuk boleh menilai siapa yang bijak atau tidak. Jika rata-rata rakyatnya tidak pandai maka bagaimana mereka dapat menilai orang yang bijak dan pandai untuk dipilih sebagai pemimpin?

8. Jaminan seseorang yang akan memimpin tidak berlaku penyelewengan dan rasuah bukanlah ditentukan oleh kebijaksanaan dan kepandaian sebelum menjadi pemimpin. Terjadinya pemimpin menyeleweng dan rasuah adalah kerana peluang yang terbuka di hadapan mata setelah berkuasa.

9. Kebiasaannya pemimpin yang dipilih oleh rakyat mempunyai dua kumpulan rakyat. Penyokong dan penentang atau yang tidak menyokong.

10. Belum terbukti bahawa pemimpin yang dipilih rakyat mampu memenuhi dan menyamaratakan peluang kepada semua rakyat. Kebiasaan yang terjadi pemimpin yang dipilih rakyat akan menunaikan kehendak penyokongnya terlebih dahulu. Ini kerana penyokong sentiasa mendesak dan mengancam supaya membalas budi atau undi mereka.

11. Kumpulan yang menggunakan konsep ketuanan rakyat biasanya sebelum berkuasa lagi telah menidakkan kumpulan rakyat yang tidak menyokong mereka. Mereka telah bersikap tidak adil dan tidak sama rata terhadap golongan yang belum menerima ideology sosialis itu. Apakah jika setelah mendapat kuasa mereka boleh berlaku adil atau sama rata?

12. Konsep Ketuanan Rakyat adalah hujah golongan yang cuba memanipulasi rakyat sebenarnya. Belum pernah terbukti bahawa rakyat dapat menguasai pemimpin setelah berjaya dipilih menjadi pemimpin.

13. Pemimpin yang telah dipilih oleh rakyat melalui sistem ideology apa sekalipun akan menggunakan pendekatan paksaan. Mereka akan memaksa rakyat mengakui, menerima dan tunduk kepada ideology dan kepimpinan mereka. Sekurang-kurangnya kepada golongan rakyat yang tidak sependapat atau sefahaman. Masihkah ini dinamakan ketuanan rakyat yang memperjuangkan konsep sama rata?

14. Idea kononnya rakyat berkuasa atau ketuanan rakyat sebenarnya bertujuan mempengaruhi, mengelirukan dan memanipulasi rakyat. Maksud tersirat golongan yang memperjuangkan kuasa rakyat adalah bertujuan menumbangkan pemimpin sedia ada justeru mengharapkan rakyat memilih mereka atau kelompoknya untuk menjadi pemimpin atau berkuasa.

15. Berdasarkan pengalaman mana-mana kerajaan yang dijatuhkan atau bertukar tangan, pemimpin yang baru dipilih juga tidak diterima sepenuh hati oleh seluruh rakyat. Yang sering terjadi ialah pemimpin yang dipilih atau menggantikan pemimpin yang dijatuhkan semakin meloyakan rakyat terutama setelah dilihat pemerintahannya juga tidak membela dan menyelamatkan rakyat.

16. Negara seperti Indonesia, Philipine dan Thailand adalah contoh negara yang berjaya menukar pemimpin mereka melalui kuasa rakyat. Sehingga kini hidup sebahagian besar rakyatnya masih mundur dari sudut kebajikan, sosial, ekonomi, pendidikan malah politik. Sedangkan rakyat telah menggunakan kuasa mereka kononnya untuk mendapatkan pemimpin yang adil dan memberikan keselamatan serta kesejahteraan. Apa yang terjadi setelah melalui masa dan keadaan yang mengecewakan, majoriti rakyat kini tidak lagi peduli siapakah yang memimpin negara mereka.

17. Negara-negara yang mengamalkan dasar sosialis kebanyakannya mendapat pemimpin yang berkuasa secara diktator. Contohnya Saddam Hussein dan banyak negara lain yang mengamalkan dasar sosialis. Ketuanan rakyat adalah ciptaan sosialis dan komunis.

18. Di bawah ideology ketuanan rakyat keyakinan dan kefahaman agama terutamanya Islam menjadi musuhnya. Keadaan ini terjadi oleh kerana Islam merupakan agama wahyu mempunyai kekuatan tersendiri. Islam juga merupakan cara hidup lengkap yang tiada tandingannya.

19. Hakikatnya ketuanan rakyat adalah menafikan keTuhanan. Mereka yang memperjuangkan ketuanan rakyat tidak meyakini wahyu Tuhan yang mampu dan sangat praktikal untuk mendapat keadilan dan kesaksamaan. Mereka tidak faham bahkan tidak yakin dengan ajaran Islam dan Tuhan itu sendiri.

20. Islam menentukan bahawa pemimpin adalah mewakili Tuhan untuk menguruskan rakyat. Bukan rakyat yang harus menentukan hala tuju sseeorang pemimpin atau sesuatu kepimpinan.

21. Tuhan Yang Maha Mengetahui dan Maha Pengasih menjadikan manusia dengan peraturan yang secucuk dan sepadan dengan kejadiannya. Maha Baiknya Tuhan kerana bukan sekadar telah menjadikan makhlukNya tetapi menyediakan peraturan dan peradaban yang menjamin kesejahteraan dan keselamatan baik di dunia mau pun di Akhirat nanti.

22. Manusia yang Tuhan jadikan mempunyai empat unsur iaitu akal, nafsu, hati dan jasad lahir. Melalui ajaran ideology mereka hanya berjaya mengesan dan cuba memenuhi tuntutan akal dan nafsu manusia. Hanya Islam yang diwahyukan oleh Allah kepada RasulNya memandu dan membimbing bagaimana manusia dapat mendidik dan memenuhi tuntutan dan keperluan akal, nafsu, hati(roh) dan jasad.

23. Manusia juga secara fitrahnya inginkan pembelaan, perlindungan, kasih sayang, keadilan, kedamaian dan kesejahteraan hidup tanpa mengira apa bangsa dan agama sekali pun. Maka Allah melalui ajaran Islam telah menggariskan bagaimana manusia dapat memiliki ketenangan dan kebahagian hidup samada secara individu maupun hidup bermasyarakat.

24. Ideology ketuanan rakyat hanya bertunjang kepada akal dan kepimpinan manusia tanpa bersandar kepada Tuhan. Mampukah seorang pemimpin mengawal diri dan rakyatnya mematuhi serta mentaati seluruh peraturan dan undang-undang tanpa paksaan?

25. Melalui iadeology apa sekali pun, setiap pemimpin pasti memerlukan penguatkuasa undang-undang dan peraturan agar seluruh rakyat dapat mematuhinya. Jika tiada anggota penguatkuasa undang-undang, sudah tentu tiada rakyat yang akan patuh dan taat kecuali jumlah yang kecil.

26. Undang-undang yang bergantung kepada sistem penguatkuasaan oleh manusia inilah yang menjadi masaalah kepada dunia. Dunia zaman IT yang dipenuhi oleh bijak pandai telah berjaya menggubal undang-undang dan peraturan yang canggih. Tetapi bagaimana dengan penguatkuasaannya?

27. Oleh kerana mekanisma penguatkuasaan undang-undang sangat berkait rapat dengan faktor manusia, maka faktor utama adalah manusia itu sendiri.

28. Apabila seorang pemimpin yakin bahawa mereka dapat menguasai rakyat dengan tipu helah dan muslihat licik atau dengan paksaan maka waktu itu tiada lagi faktor yang dapat menghalang mereka daripada melanggar undang-undang atau melakukan penyelewengan.

29. Begitu juga dengan anggota penguatkuasa yang mempercayai bahawa mereka telah dilindungi oleh undang-undang tidak lagi takut melanggar undang-undang atau melakukan penyelewengan.

30. Ketuanan rakyat kononnya boleh mengubah atau menentukan jatuh naiknya pemimpin sering berjaya di'beli' atau dibeloti oleh pemimpin pilihan rakyat sendiri. Ini kerana slogan ketuanan rakyat itu sendiri adalah modal pemimpin membeli keyakinan rakyat untuk menaikkan mereka sebagai pemimpin.

31. Pihak yang prejudis dengan kemampuan Islam dalam menunaikan tanggungjawab dan tuntutan keadilan kepada manusia adalah mereka yang keliru dan tertipu. Keliru antara kelemahan umat Islam yang telah jauh dengan Tuhan dengan keindahan dan kesempurnaan ajaran Islam itu sendiri. Tertipu kerana mereka menyangka akal manusia mampu meneroka dan berdiri sendiri untuk memenuhi fitrah kejadian manusia. Sedangkan akal itu merupakan makhluk ciptaan Tuhan dengan kemampuan yang sangat terbatas. Buktinya kenapa akal juga boleh rosak, gila, lemah dan berpenyakit?

32. Tuhan melalui RasulNya telah membuktikan secara praktikal kesempurnaan, kemampuan dan keindahan Islam dalam membina sebuah masyarakat manusia yang indah dan bahagia hidupnya. Selama 700 tahun Islam berjaya memayungi umat manusia seluruh dunia. Hanya apabila umat Islam daripada pemimpin hingga kepada umum rakyatnya semakin jauh dengan Tuhan, maka Tuhan biarkan musuh meratah dan mengganyang umat Islam. Maka tibalah giliran kejatuhan Islam sehingga kini.

33. Belum pernah dunia menyaksikan mana-mana ideology mampu menandingi sejarah kegemilangan Islam. Baik dari segi ajaran, tamadun, empayar maupun kisah kehidupan peribadi dan keluarga penganutnya.

34. Islam berjaya melahirkan manusia yang menempa sejarah agung di kalangan pemimpin seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Osman, Saidina Ali, Saidina Ubaidullah Ibnu Jarrah, Khalifah Umar Ibnu Aziz, Salehuddin Al Ayubi dan Sultan Muhammad Al Fateh. Bahkan ribuan tokoh telah dipaparkan oleh sejarah tentang keunikan dan kehebatan akhlak, keilmuan, kepimpinan dan ketokohan mereka di bidang masing-masing.

35. Islam juga berjaya melahirkan bukan sekadar individu malah masyarakat yang terdiri dari pelbagai kaum, agama, bangsa dan negara bernaung dengan berpadu, bertolak ansur, berkasih sayang dan aman damai dibawah payung Islam.

36. Belum pernah terjadi ideology ketuanan rakyat berjaya mencipta sejarah seumpama ini. Hatta jumlah sebesar satu peratus dari apa yang pernah dicapai oleh Islam pun belum terbukti.

37. Setelah Islam jatuh dan berbagai ideology muncul untuk menggantikannya sehingga kini apa yang dunia saksikan adalah kehancuran sifat-sifat kemanusiaan berlaku di mana-mana. Manusia sudah sama taraf haiwan kerana hidup hanya menurut akal fikiran dan nafsu semata-mata.

38. Kini kelompok yang kononnya memperjuangkan ketuanan rakyat juga tidak ubah berkelakuan sama taraf binatang. Bahasa, perangai, penampilan dan kefahaman menolak Islam sebagai agama Tuhan yang selamat lagi menyelamatkan adalah sifat buruk melebihi sifat binatang. Inilah gagasan karut lagi kolot kerana kembali kepada hidup tanpa sifat kemanusiaan yang telah dibina oleh Rasulullah saw.

39. Tamadun manusia yang berperikemanusiaan adalah tamadun yang diasaskan permulaannya oleh Rasulullah saw. Tuhan dengan kasih sayangNya mengutuskan setiap zaman seorang utusan untuk membawa manusia kepada kesejahteraan dan kebahagian hidup. Melalui utusan Tuhan, manusia akan terpimpin akal, nafsu, hati dan jasadnya melaksanakan segala peraturan tanpa perlukan penguatkuasaan. Setiap individu akan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan demi keselamatan di dunia lebih-lebih lagi di Akhirat.

40. Utusan Tuhan melalui metod dakwah dan tarbiah memimpin manusia agar mengenal Tuhan. Apabila manusia telah kenal Tuhan Yang Maha Baik lagi Maha Hebat maka manusia akan jatuh cinta dan takutkan Tuhan. Melalui cinta dan takutkan Tuhanlah mereka akan berlumba-lumba mengerjakan amal taqwa. Yakin bahawa dengan usaha taqwa Tuhan akan selamatkan hidup di dunia dan di Akhirat.

41. Amalan taqwa yang dikerjakan secara individu dan bermasyarakat akan melahirkan tamadun material yang gagah dan hebat. Sistem hidup yang dilagang kerana mencari keredhoan Tuhan menjadikan Tuhan sebagai matlamat segala-gala amalan dan perbuatan. Maka tiada lagi kemungkaran, maksiat, jenayah, penyelewengan, penindasan dan penzaliman. Hiduplah manusia dengan aman damai dan harmoni.

42. Manusia yang telah kenal Tuhan akan melaksanakan tanggungjawab mereka tidak kira manusia suka atau tidak. Mereka sanggup mengorbankan kepentingan diri demi Tuhan kerana memenuhi kehendak dan keperluan orang lain. Ajaran seperti ini tiada dalam ideology mana pun termasuk ketuanan rakyat.

43. Mereka yang sangat kenal Tuhan mampu memberikan kasih sayang sesama manusia kerana menghayati sifat kasih sayang Tuhan.

44. Melalui lidah Rasulullah saw di akhirzaman ada janji Tuhan bahwa Islam akan kembali gemilang. Sudah tentu pemimpin yang akan menerajuinya juga adalah orang yang dijanjikan. Maka atas keyakinan inilah umat Islam wajar bergembira dan berusaha menagih janji Tuhan.

45. Perjuangan politik seperti PAS, PKR, UMNO, DAP dan lain-lain parti yang mengamalkan fahaman bercampur baur, caca marba, kalut, keliru dan haru biru semakin menyorot ke sudut kehancuran. Lihatlah ketidaktentuan sistem politik dan ekonomi global. Maka mereka yang berjuang di atas landasan sistem ciptaan otak manusia akan sama-sama menerjah gaung kemusnahan.

46. Kemenangan perjuangan kebenaran semakin hampir dan menjadi kenyataan. Kepada siapa yang belum mendengar atau belum mengenali pemimpin dan golongan yang Tuhan janjikan di akhirzaman masih belum terlambat. Sebelum peristiwa menggemparkan berlaku terutamanya di tanah air kita Malaysia, wajarlah mereka yang mempunyai fikiran waras untuk meneliti perkembangan ini. Jangan sampai nanti, sudah terhantuk baru terngadah.

Rabu, 2008 November 05

Pak Lah, Khairy, Obama Dan Kambing Hitam

Pak Lah merupakan pemimpin yang mencipta dan mempunyai sejarah tersendiri. Pernah di'pulau'kan dan dikeluarkan dari kabinet Mahathir akibat bersekongkol dengan team B. Pak Lah dan Sanusi merupakan tokoh yang mempertahankan Tun Ghafar semasa pertandingan dengan Anwar Ibrahim dan Team Wawasan dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Pak Lah yang merupakan tokoh 'beragama' dan dianggap bersih dalam UMNO yang telah berjaya melepasi pelbagai peringkat ujian tetapi kecundang di penghujung karier politik dengan menjadi PM paling dibenci dan dipandang rendah oleh setiap lapisan rakyat.

Sementara Tun Mahathir pula pernah menerima pelbagai gelaran dan penghinaan rakyat semasa berkuasa namun ternyata apabila beliau bersara, jutaan rakyat masih menagih pandangan dan pimpinan Tun. Apakah yang menyebabkan rakyat berubah daripada mengecam kepada berterima kasih bahkan menyanjung Tun Mahathir?

Pak Lah tewas dengan ujian isteri, anak, menantu, jawatan, harta dan kekayaan. Pendek kata, seseorang yang mampu berhadapan dengan pelbagai rintangan lain sehingga mencipta nama yang bersih tetapi gagal bila berada di puncak atau persada kuasa. Sebaliknya Tun telah bersedi mengundurkan diri daripada persada kuasa diwaktu nama sedang harum dan boleh pula meminta maaf atas keterlanjuran beliau. Inilah antara kelembutan dan keegoan dua manusia berbeza.

Dalam dunia ini orang yang ingin menjadi pemimpin terlalu ramai. Yang layak menjadi pemimpin tidak ramai. Yang berjaya menjadi pemimpin sedikit. Yang menjadi pemimpin berjaya lebih sangat sedikit. Tetapi yang benar-benar dilahirkan sebagai pemimpin adalah mereka yang terbilang sahaja. Mereka adalah yang dijanjikan Tuhan dan dilahirkan sememangnya untuk memimpin manusia.

Kita di Malaysia menyaksikan orang yang sangat berstrategi seperti Anwar akhirnya menjadi Ketua Pembangkang. Sasaran beliau untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia kian jauh malah semakin tersasar. Inilah antara contoh pertembungan strategi manusia dengan ketentuan Tuhan.

Khairy Jamaluddin yang naik melonjak secara tiba-tiba sekarang juga semakin diketepikan secara beransur-ansur. Walau pun mendapat sokongan hasil sogokan seperti pihak media arus perdana dan konco-konconya, tetapi jelas KJ menuju gaung politik UMNO. Khairy hanya mungkin mampu menang Ketua Pemuda tetapi berhadapan dengan tindakan tatatertib berkaitan politik wang. Tetapi yang lebih jelas, Khairy akan jatuh bersama wang dan strategi bongkak beliau seperti Qarun yang tenggelam dengan hartanya ditelan bumi. Khairy merupakan contoh pemimpin muda yang mudah jatuh.

Barack Obama mungkin mencipta sejarah Amerika dan dunia khususnya. Amerika yang akan diterajui oleh Obama sedang menuju ke arah kejatuhan, kemelesetan, keruntuhan dan seperti berada di ambang maut. Obama sudah pasti bukan penyelamat sebenar ekonomi dan negara Amerika yang berada dalam keadaan seperti singa tua sedang nazak. Obama mungkin akan bertahan untuk beberapa minggu sebelum rakyat Amerika akan mula menyerang beliau. Inilah sejarah yang mungkin akan dicipta oleh Obama.

Kalau sebelum ini hampir setiap Presiden Amerika yang baru naik akan menyusun strategi dan mengamalkan dasar menyerang terutamanya kepada negara-negara Teluk dan Islam.

Tetapi kita akan lihat bahawa Obama akan terpaksa menggunakan pelbagai strategi bertahan. Obama akan menerima serangan bertubi-tubi dan bertali arus dari rakyat dan masaalah-masaalah dalaman Amerika. Masaalah ekonomi, sosial dan politik pasti semakin mengancam dan menghuru-harakan Amerika sebaik sahaja selesai pilihanraya Presiden.

Rakyat akan kembali menumpukan perhatian kepada dasar dan strategi Presiden baru mereka. Pada waktu itu, kemelut kehidupan yang sedia mengancam menuntut penyelesaian segera. Dunia juga akan mendesak Amerika mengatasi masaalah ekonomi yang semakin memberi kesan buruk kepada kebanyakan negara. Apakah Obama mempunyai kuasa ajaib untuk melakukan semua itu?

Sebenarnya kenaikan Obama nanti adalah merupakan satu keajaiban Tuhan. Tuhan ada caranya untuk menjatuhkan musuh besar Tuhan ini. Amerika yang tidak mungkin tumbang dari serangan luar akan menghadapi keruntuhan dari serangan dalaman. Obama adalah pemimpin kulit hitam yang akan menjadi 'kambing hitam'.

Sebelum ini kebanyakan pemimpin dunia melahirkan kambing hitam mereka demi menyelamatkan kepentingan politik mereka. Dengan melahirkan seekor 'kambing hitam' ramai pemimpin berjaya mengekalkan kuasa mereka. Maka cara yang sama Tuhan gunakan kambing hitam untuk menjatuhkan musuh Tuhan, Amerika.

Marilah kita tunggu peristiwa kejatuhan Amerika yang telah pun diberitahu kepada kita sejak lebih 15 tahun lalu melalui sebuah buku bertajuk "BARAT DI AMBANG MAUT". Buku berkenaan yang telah diterjemahkan kepada beberapa bahasa utama dunia telah mengengahkan hujah ilmiah, sejarah dan fakta yang menyokong kenyataan bahawa Barat Di Ambang Maut. Kepada mereka yang pernah membacanya, sila teliti semula dan lihatlah kebenaran yang berlaku di hadapan mata kita sekarang.

Isnin, 2008 November 03

Najib : Antara Janji Dan Skandal

Datuk Seri Najib Tun Razak telah memenangi Presiden UMNO tanpa bertanding disahkan menerusi kuota pencalonan yang beliau perolehi. Ini membawa maksud Najib telah layak dikatakan Presiden UMNO yang baru menggantikan Pak Lah.

Persolan yang timbul ialah siapakah yang benar-benar berkuasa sebagai Presiden UMNO sebelum selesai proses penyerahan kuasa secara rasmi antara Pak Lah dengan Najib?

Najib telah pun berjanji dan berikrar untuk menunaikan tanggungjawab beliau selaku Presiden dengan sebaik-baiknya dalam ucapan penghargaan dan terima kasih beliau. Pada masa yang sama pencalonan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ketua Pemuda menarik perhatian ramai pemerhati dan penyokong mencari dan meramalkan siapakah team Najib.

Secara rambangnya pada peringkat pencalonan jelas menunjukkan mereka yang pernah mengkritik dan membidas Pak Lah mendapat sokongan majoriti. Cuma beberapa calon Naib Presiden yang mendapat undian terbanyak adalah antara muka baru dan terdiri daripada mereka yang sangat bersederhana dan berhati-hati mempamirkan sikap terhadap pertadbiran Pak Lah.

Najib telah pun berazam dan berjanji seperti mana disiarkan oleh Bernama;

"Saya berazam untuk menggalas amanah dan tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin bagi menangani segala cabaran yang sedang dihadapi oleh UMNO dan BN.

"Saya bersyukur dan terharu di atas kepercayaan yang telah diterjemahkan dalam bentuk pencalonan oleh 134 bahagian yang telah bersidang, sekali gus menandakan kemenangan tanpa bertanding bagi jawatan Presiden UMNO," kata beliau dalam laman blognya 1Malaysia.com.my. - BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=368856

Inilah dia janji Najib. Janji yang mudah dan terpacul dari mulut seorang bakal pemimpin negara. Kenapa begitu mudah berjanji?

Dalam sejarah kepimpinan terbaik dan terunggul iaitu terdiri daripada Rasulullah dan Khalifah Ar Rasyidin mereka tidak pernah semudah dan sewenang-wenangnya berjanji. Apa yang meluncur dari lidah Saidina Abu Bakar As Siddiq sejurus beliau dibaiah oleh kaum muslimin ialah;

" Aku bukanlah orang yang paling baik dikalangan kamu.......jika aku benar maka bantulah aku dalam menegakkan kebenaran...."

Inilah contoh ungkapan seorang pemimpin besar yang sangat cinta dan takutkan Tuhan. Mereka cukup berhati-hati untuk berjanji itu dan ini kerana mereka sangat faham tentang tuntutan sesuatu 'janji'. Jika memungkiri janji, maka padahnya bukan sekadar di dunia mewarisi sifat munafik, di akhirat akan dibenamkan ke dalam neraka, wal'iyazubillah.

Hakikatnya pemimpin seumpama ini tidak pernah gentar dengan ancaman rakyat yang akan menjatuhkan mereka. Pemimpin seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Omar dan Umar Ibnu Aziz adalah mereka yang sangat takut dan menderita dijadikan Amirul Mukminin. Mereka selalu meratapi nasib kerana menjadi pemimpin kaum muslimin. Kerana itulah mereka telah berjaya menjalankan amanah yang dipikul bukan kerana takut kepada rakyat tetapi mereka sangat takut kepada Tuhan. Jika hanya kebencian rakyat, secara sukarela mereka meninggalkan jawatan tersebut.

Umar Ibnu Aziz sewaktu diangkat menjadi Khalifah menolak beberapa kali dengan menangis teresak-esak dalam keadaan kesedihan dan kepiluan takutkan Tuhan. Namun rakyatlah yang inginkan beliau tetap menerima jawatan Khalifah. Umar Ibnu Aziz merasakan jawatan Khalifah adalah bebanan dan fitnah paling besar yang sukar ditangani kecuali mereka yang mendapat pimpinan Tuhan!

Inilah gambaran pemimpin yang selamat dan dapat menyelamatkan umat manusia. Pemimpin tersebut selamat dari tipuan jawatan dan kuasa yang ada dan dapat pula menyelamatkan rakyatnya daripada kezaliman dan penindasan.

Jika Najib mudah berjanji, percayalah Najib juga akan sangat mudah memungkiri janji. Untuk membuktikan kata-kata ini lihatlah bagaimana janji-janji beliau sebelumnya. Terutama janji beliau kepada Tuhan! Bukankah kita sering berjanji terutamanya dalam doa iftitah bahawa hidup dan mati kerana dan untuk Allah semata-mata? Tertunaikah janji tersebut?

Najib sering dikaitkan dengan skandal perempuan dan harta. Mungkin dalam hal kuasa Najib nampak lebih berhati-hati, sabar, tenang tetapi sangat berstrategi. Kenapa peribadi Najib selalu dikaitkan dengan skandal perempuan dan harta?

Penapian atau pembelaan diri melalui kaedah politik atau undang-undang tidak mampu membersihkan nama yang sedia tercemar. Melalui kuasa, orang politik mampu mengelirukan rakyat dengan hujah politik, propaganda media hatta undang-undang sekali pun demi memperlihatkan mereka bersih daripada sebarang skandal.

Tetapi persoalannya yang timbul kenapa Najib sering dikaitkan dengan skandal perempuan berbanding tokoh-tokoh UMNO lain? Keperibadian Najib yang dihubungkaitkan dengan banyak wanita bukanlah perkara baru,tetapi sejak sekian lama.

Ahli dan pemimpin UMNO umumnya menganggap itu adalah urusan peribadi beliau. Tidak perlu dikaitkan dengan kepimpinannya. Mereka telah memisahkan soal peribadi dengan politik. Ini kerana jika mereka menerima konsep peribadi yang baik dan bersih sahaja layak menjadi pemimpin, maka tiadalah yang layak dalam UMNO. Di kalangan ahli dan pemimpin UMNO sudah wujud persefahaman bahawa pemimpin yang terlibat dengan skandal perempuan dan harta terdiri daripada hampir semua peringkat. Daripada cawangan hinggalah kepada Presiden.

Hakikatnya dalam UMNO tiada yang bersih daripada skandal seumpamanya. Najib diterima secara majoriti ahli UMNO sebagai peneraju parti kerana mereka menganggap isu skandal Najib bukan isu politik tetapi isu peribadi. Hakikatnya Najib bukan diterima kerana peribadinya bersih daripada skandal. Tetapi UMNO itu sendiri tidak memilih mereka yang bersih kerana memang tiada pun yang benar-benar dianggap 'bersih'.

Ahad, 2008 November 02

Antara Bida'ah Terbesar

Bida'ah adalah sesuatu yang diada-adakan dalam urusan agama. Perbuatan bida'ah selalu dikaitkan dengan persoalan ibadah asas atau fadhoil'amal (amalan-amalan utama). Bida'ah dalam urusan agama mencakupi seluruh aspek kehidupan. Islam adalah cara hidup. Bila disebut cara hidup maka selain daripada cara hidup yang Islamik adalah bida'ah.

Antara bida'ah terbesar adalah mengatur hidup menurut hawa nafsu dan akal fikiran. Dalam istilah lain ialah mengambil ideologi tertentu sebagai amalan politik dan melaksanakan pentadbiran dan peraturan hidup tidak berpandukan Al Qur'an dan Sunnah.

Cara hidup yang tidak menuruti atau mencontohi Rasulullah seperti dalam keyakinan, ibadah, akhlak, perdagangan, pendidikan, pentadbiran, ekonomi, politik, kesihatan, pertanian, kebudayaan, bermasyarakat, pergaulan, kenduri kendara dan seluruh aspek hidup juga termasuk dalam bida'ah.

Antara bida'ah yang amat besar adalah mentadbir agama Islam menurut akal fikiran. Ertinya undang-undang dan akta yang digubal oleh manusia dijadikan kononnya undang-undang Islam dan dikuatkuasakan melebihi undang-undang dan peraturan Tuhan!

Sebagai contoh dalam masaalah berpoligami. Pihak tertentu sangat mementingkan peraturan yang digubal oleh manusia sehingga kebanyakan kes berpoligami yang sah menurut syarak tidak dapat diiktiraf kerana gagal melepasi peraturan manusia? Bolehkah kita katakan bahawa peraturan manusia telah mengatasi peraturan Tuhan? Inilah antara bida'ah yang jelas tetapi kabur bagi kebanyakan umat Islam terutamanya mereka yang terlibat dalam pentadbiran rasmi agama.

Semoga penjawat rasmi pihak berwajib agama diberikan hidayah dan taufik oleh Allah bagi meninggalkan kesesatan yang nyata mereka pertahankan selama ini. Kekeliruan dan kemusykilan yang sedang melanda orang-orang agama di seluruh dunia terutamanya mereka yang menjawat jawatan rasmi dan menerima upah daripada pihak pemerintah yang batil.

Sepatutnya Islam yang menyusun hidup dan menentukan bagaimana sesebuah pemerintahan atau pentadbiran patut dilaksanakan. Bukan sebaliknya, seperti apa yang berlaku sekarang pemerintah pula yang menentukan bagaimana Islam patut dilaksanakan!

Debat Politik dan Politik Wang

Khairy Jamaluddin menurut pengamatan saya bukan seorang tokoh politik atau bakal pemimpin masa depan yang baik. Berbangga dengan kelulusan university Yahudi dan kepetahan bercakap bukan syarat utama dan kekuatan sebenar untuk menjadi pemimpin. Berbekalkan status menantu PM merupakan antara pendorong sokongan pengampu beliau selama ini. KJ berjaya menyandang beberapa jawatan dalam politik dan NGO dalam masa yang singkat juga bukti bahawa beliau menggunakan pengaruh selaku menantu PM.

Biasanya kepimpinan seseorang akan menyerlah setelah melalui masa tertentu dan beberpa siri ujian kepimpinan sekali pun dengan satu jawatan sahaja. Jika seseorang berjaya menduduki berbagai kerusi di usia masih muda dalam masa yang amat singkat, biasanya kedudukan tersebut bukan hasil kewibawaannya. Jawatan itu selalunya adalah ihsan atau anugerah yang diberikan oleh pihak berkepentingan kerana ada udang di sebalik batu.

IImu kepimpinan walau pun boleh dipelajari secara teori, namun realiti kepimpinan jauh berbeza dengan teori kepimpinan. Sebab itu secara realitinya amat kurang pemimpin yang naik samada pemimpin kecil maupun yang besar terdiri daripada mereka yang pandai atau ahli teori. Kebanyakan pemimpin yang berjaya adalah mereka yang praktikal dan berpengalaman. Tun Dr Mahathir adalah termasuk katogeri orang yang sangat praktikal dan berpengalaman sekali pun beliau juga mahir teori kepimpinan.

Idea debat politik untuk menentukan atau memilih calon pemimpin adalah idea lapuk. Presiden Amerika umumnya naik kerana pandai dan memenangi hati pengundi melalui debat politik secara terbuka. Tetapi setiap kali Presiden baru naik pasti ada saja dasar atau pendekatan pentadbiran yang dipertikaikan oleh penyokongnya sendiri. Ini jelas terbukti beberapa dasar pentadbiran Presiden Amerika mutakhir yang mendapat tentangan daripada pengundi mereka sendiri selain daripada masyarakat antarabangsa.

Apakah kita masih merasakan idea debat politik merupakan pendekatan terbaik untuk menonjolkan kewibawaan bakat dan kemampuan seseorang calon pemimpin?

Rasuah politik tidak mungkin dapat dihapuskan. Jangankan untuk dihapus, diperbaiki atau dikurangkan pun mustahil dapat dilakukan melalui ajaran politik Barat. Menurut ajaran politik Barat, kepimpinan sesuatu yang direbutkan. Menjadi pemimpin melalui proses menawarkan diri, menonjolkan diri, mendakwa dan menjanjikan kemampuan diri dan paling buruk menafikan kemampuan lawan sekalipun jelas pihak lawan ada kalanya jauh lebih berkemampuan.

Pendek kata mengikut kaedah politik Barat, seseorang yang akan menjadi pemimpin perlulah 'menawarkan diri' kepada pengundi mereka. Bila ada penawaran, maka adalah permintaan. Dalam perniagaan biasanya jika penawaran melebihi permintaan harga akan turun. Dalam politik, bila ramai yang menawarkan diri untuk menjadi pemimpin, maka harga pemimpin tersebut juga semakin merudum. Sebagai mana dalam pasaran barangan yang berlaku lambakan, maka untuk menarik minat pembeli, penjual akan membuat berbagai bentuk hadiah atau tawaran hebat. Begitu juga dalam politik, bila dah ramai yang mencalonkan diri, maka akan berlakulah tawar menawar dengan para pengundi. Inilah hakikat politik Barat yang jauh tersasar daripada kebenaran.

Politik Barat tidak menjanjikan pemimpin yang naik mempunyai saringan dan menurut garis panduan kelayakan yang tertentu. Tiada digariskan ciri-ciri pemimpin dan sifat-sifat pemimpin yang patut dijadikan ukuran dalam memilih pemimpin. Lebih-lebih lagi tiada kitab rujukkan untuk panduan seorang pemimpin menjalankan tanggunjawab mereka dan apa balasan jika gagal dalam tugas mereka. Mereka hanya diancam dengan undi pengundi sahaja. Jika undi boleh disusun, diatur atau dibeli, maka dengan sendirinya ancaman kepada pemimpin itu hilang.

Sebenarnya setiap pemimpin yang naik melalui undi tidaklah dapat ditentukan baik buruknya selain daripada menilai pegangan dan penghayatan agamanya. Maka sebab itu setiap ahli politik jika mereka tiada pegangan agama yang kuat, maka tiadalah ukuran untuk kita menentukan samada baik atau buruknya. Ringkasnya, jika seorang tokoh politik tidak jelas keyakinan dan penghayatan agamanya, jelaslah tokoh tersebut bukan seorang yang baik untuk menjadi seorang pemimpin!

Sabtu, 2008 November 01

Semangat Perkauman dan Kepartian vs Penghayatan Islam

Semangat perkauman atau bangsa ditolak oleh Islam. Fitrah manusia adalah sama tidak kira apa bangsa sekali pun. Sebab itu manusia melalui fitrahnya juga menolak semangat kebangsaan.

Manusia tidak kira apa bangsa fitrahnya inginkan kasih sayang, pembelaan, keadilan, kemakmuran, kesejahteraan dan keselamatan. Ertinya manusia tidak boleh memperjuangkan kasih sayang, perpaduan, keadilan, kemakmuran, kesejahteraan dan keselamatan di atas nama bangsa tertentu. Jika perjuangan tersebut dilagang berdasarkan bangsa, akan ada bangsa lain yang merasa kurang selesa dan terancam.

Semangat kepartian juga merupakan sebahagian bentuk perkauman. Puak dan kumpulan tertentu samada atas nama politik atau perjuangan telah menyemarakkan perpecahan dan perselisihan. Ini terjadi jika dasar perjuangan atau kumpulan tersebut bersifat setempat atau menjurus bidang tertentu sahaja. Maka perjuangan yang mengutamakan puak, kaum atau kumpulan masing-masing adalah merupakan antara bentuk perpecahan.

Parti yang berjuang hanya atas nama Islam juga tidak terkecuali. Mereka lebih mengutamakan semangat parti sendiri dan memusuhi parti lain sekali pun sesama Islam. Semangat membela penyokong dan ahli parti lebih utama daripada membela penghayatan Islam. Hanya boleh bertolak ansur dengan penyokong atau ahli parti yang tidak bersembahyang tetapi amat keras dan kasar dengan penyokong atau ahli parti lawan walaupun mereka bersembahyang. Inilah keadaan semangat kepartian melebihi penghayatan Islam yang berlaku dalam parti yang berjuang atas nama Islam.

Hanya Islam yang dihayati dalam seluruh aspek kehidupan secara lahir dan batin mampu membawa kedamaian dan kesejahteraan hidup kepada semua bangsa manusia. Islam secara teori dan praktikalnya sudah pernah menempa sejarah kegemilangan membawa keadilan dan keselamatan sejagat. Belum pernah terjadi kepada mana-mana ideologi atau isme yang mampu mencetuskan keharmonian hidup berbanding Islam hatta kepada penganut ajaran tersebut sekali pun.

Perjuangan Islam yang mampu direalisasikan dalam kehidupan lahir dan batin sahaja alternatif kepada sistem hidup yang sudah rosak di zaman ini. Islam yang mampu dihayati mestilah didahului dengan memperjuangkan Tuhan. Bagi pejuang kebenaran sepanjang zaman, memperjuangkan Tuhan adalah agenda pertama dan utama.

Perjuangan kebenaran yang memperjuangkan Tuhan selalunya dipelopori dan ditunjangi oleh Orang Tuhan. Itulah hakikat perjuangan kebenaran. Selain daripada itu semuanya perjuangan karut, palsu dan penipu.

Masaalah

Semua orang tidak suka kepada masaalah. Sama ada masaalah kecil lebih-lebih lagi masaalah besar. Tetapi dalam relaiti kehidupan seharian, manusia sentiasa berhadapan dengan masaalah. Tiada henti dan tiada berkurangan. Jika dapat diselesaikan satu masaalah, menjelma pula masaalah lain. Begitulah seterusnya. Kenapa manusia tidak mampu lari daripada masaalah?

Masaalah paling utama manusia ialah tidak kenal Tuhan dan tidak faham kerja Tuhan. Bila Tuhan tidak dikenali, maka sifat dan kerja Tuhan lebih lagi tidak dapat difahami. Kerana masaalah tidak mengenal Tuhan diambil mudah atau langsung tidak diendahkan, maka timbullah masaalah yang sepatutnya bukan masaalah. Inilah punca masaalah manusia.

Orang yang benar-benar kenal Tuhan, mereka akan faham kerja Tuhan. Seluruh yang telah, sedang dan bakal terjadi semuanya adalah ketentuan Tuhan. Tuhan menjadikan sesuatu tidak sia-sia sekali pun setengah butir zarah atau nano sekali pun. Maka punca masaalah manusia adalah kerana tidak kenal Tuhan seterusnya tidak memahami kerja Tuhan.

Jika demikian, perlulah manusia kembali kepada akar masaalah atau punca segala masaalah sebelum menyelesaikan masaalah-masaalah yang lain.